Berkorban Demi Alam Sekitar

Wanita ini antara tenaga utama di belakang tabir yang membantu mereaslisasikan filem Jaws tampil di layar perak pada 1975.

Wanita ini juga ahli Order of Australia (AM) iaitu satu sistem penghormatan yang memberi pengiktirafan tertinggi bagi pencapaian dan perkhidmatan cemerlang bagi rakyat negara itu.

Bagai irama dan lagu, wanita ini sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan dunia lautan malah aktiviti menyelam menjadi rutin hariannya meskipun pada usia kini mencecah 79 tahun!

Pada masa sama, Valerie May Taylor tidak akan berhenti untuk menggesa penduduk dunia menyokong pemeliharaan serta pemuliharaan marin demi kepentingan dan keseimbangan hidup generasi akan datang.

Sejak lebih lima dekad lalu, Valeria dan mendiang suaminya, Ron, bertanggungjawab mendokumentasikan khazanah lautan menerusi pelbagai medium antaranya fotografi, filem dan lukisan.

Bagi mereka, hidupan marin sama pentingnya seperti hidupan lain dalam mengimbangi ekosistem alam, sekali gus menekankan program kelestarian sudah sepatutnya dimulakan oleh generasi hari ini.

“Ia boleh dianggap tragedi apabila generasi akan datang tidak akan tahu bagaimana indahnya dunia marin seperti yang saya lihat ketika masih kecil dulu,” katanya sebelum meneruskan bicara bagi mempromosikan program terkininya, The Coral Triangle, yang bersiaran pada jam 9 malam di saluran Animal Planet (Astro 556) mulai 14 Januari ini.

Usia sememangnya bukan penghalang dan kesempatan berbual seketika dengan wanita ceria ini jelas menceritakan mengenai kehidupannya yang seakan-akan tidak gentar dengan apa jua halangan dan cabaran.

Bermula sebagai pelukis cat, Valerie kemudiannya tertarik dengan aktiviti menyelam sebelum terjun ke bidang pemuliharaan alam sekitar khususnya hidupan marin dan bertindak sebagai jurufoto serta sinematografer.

Tidak tergambar cintanya pada dunia marin yang disifatkan penuh keajaiban tapi pada masa sama menyuntik rasa misteri yang perlu disingkap.

“Lautan merangkumi 73 peratus planet ini dan ia tempat misteri yang menjadi tempat tinggal ribuan makhluk aneh. Ketika saya mula aktif lebih 50 tahun lalu, tiada siapa tahu apa yang ada di bawah sana.

“Setiap kali saya dan suami menyelam ke dasarnya, kami pasti menemui sesuatu yang baru, yang sama sekali tidak pernah dilihat manusia lain sebelum itu.

“Itu antara keindahan marin yang tidak pernah membosankan saya hingga ke hari ini. Saya kini mampu mengatakan bahawa saya adalah manusia pertama melihat atau menjumpai satu-satu spesies laut dan ia antara kepuasan yang saya peroleh sepanjang melakukannya,” jelasnya.

Perbualan kami makin hangat dan berulang kali Valerie menegaskan dirinya bukanlah pakar biologi atau saintis marin yang kebanyakannya jarang turun ke dasar laut.

“Pertama sekali, saya penyelam yang suka menyelam bagi menyaksikan keindahan dasar laut. Kedua, saya rasa bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara apa yang ada di dasarnya kerana ia hidupan penuh menakjubkan.

“Saya bukan pakar biologi marin. Saya jurufoto yang menyelam ke dasar laut bagi merakam momen menarik lalu mempelajari apa yang ada di dalamnya.

“Dan setiap pengetahuan dan kemahiran saya ini hasil daripada pengalaman selama setengah abad mencari, menggali dan mendalami apa yang tersirat di sebalik hidupan itu.

“Saya mulai faham dengan tingkah atau tabiat hidupan itu tapi saya mungkin tidak tahu nama saintifiknya. Bagi saya itu tidak penting asalkan saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk memelihara dan memuliharanya.

“Saya ahli alamiah (naturalist), bukan saintis marin dan pengalaman baru-baru ini membuka mata saya bahawa ramai saintis marin di seluruh dunia ahli biologi marin tidak menyelam.

“Mereka melakukan kajian dengan hidupan yang tidak lagi bernyawa di makmal atau di muzium. Jadi apa yang mereka ketahui sama sekali berbeza dengan apa yang saya temui,” katanya.

Biarpun kefahaman, pengetahuan dan kepakarannya dalam bidang marin diakui organisasi dunia, wanita kelahiran Sydney, Australia ini mengatakan masih banyak yang perlu dipelajarinya.

“Setiap hari adalah proses pembelajaran bagi saya dan setiap hari ada banyak perkara yang perlu saya pelajari.

“Tapi perkara paling besar yang saya pelajari selepas beberapa dekad dalam bidang ini ialah betapa sedikitnya pengetahuan kita mengenainya.

“Manusia sentiasa berasakan mereka tahu semua perkara. Hakikatnya tidak. Hanya sedikit yang kita ketahui mengenai dunia marin dan setiap hari ada saja perkara baru yang berlaku dalam dunia itu.

“Setiap petang saya dan mendiang suami berbincang mengenai apa yang kami lihat dalam lautan, sambil merujuk kepada buku berkaitan.

“Tapi selalunya tidak banyak yang kami peroleh dalam buku itu. Jadi perkara terbaik ialah mempelajarinya sendiri dan berkongsi maklumat dengan yang lain.

“Selepas 50 tahun, masih banyak yang belum saya lakukan dan masih banyak yang perlu saya pelajari mengenai hidupan marin. Masalahnya kini saya mungkin tidak dapat hidup lebih lama untuk melakukannya,” katanya berseloroh.

Jelas bersara bukanlah frasa sesuai untuknya ketika ini.

“Apa yang akan saya lakukan jika bersara? Saya langsung tiada klu. Tidak, kita perlu terus bergerak. Saya harap akan terus bergerak hingga ke akhirnya.

“Kudrat saya mungkin tidak begitu mengizinkan untuk bergerak pantas tapi saya akan terus melakukannya. Dan saya rasa setiap perkara yang saya lakukan walaupun kecil amat penting dan mampu memberi impak kepada alam,” akhirinya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,542 views