Berlari Pada ‘usia Tua’

SIAPA kata berlari hanya untuk golongan muda dan bertenaga? Memang ramai yang ragu-ragu dengan keupayaan diri sendiri apabila diminta mencuba aktiviti larian. Ramai juga yang lebih rela berjalan saja daripada memenatkan diri berlari.

Memang ia memenatkan tetapi bagi mereka yang teragak-agak untuk berlari terutama di kalangan mereka yang berasa diri sudah ‘tua’ untuk berlari, tiada apa yang menghalang kita untuk mencuba.

Pelari elit, Mark Williams membuktikan larian boleh disertai sesiapa saja tanpa mengira usia, asalkan masing-masing ada kemahuan.

Dia yang juga ketua jurulatih bagi Maraton KL Standard Chartered 2012 memulakan dunia lariannya ketika berusia 30-an. Kini pada usia 41 tahun, dia sudah banyak kali menempatkan dirinya dalam kelompok pelari yang berada di pentas podium sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Tapi sekarang saya tak bertanding untuk kategori terbuka lagi, maklumlah sudah masuk kategori veteran,” katanya memulakan perbualan ketika ditemui di taman rekreasi, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelari veteran tidak bermakna larian mereka perlahan berbanding pelari yang lebih muda, begitu pandangan penulis.

Malah ramai pelari veteran yang mencatat masa larian jauh lebih baik berbanding pelari muda walaupun dalam satu-satu perlumbaan larian, pelari veteran memperoleh masa tambahan untuk menyudahkan larian mereka berbanding pelari dalam kategori terbuka.

“Berlari boleh dianggap satu proses yang perlahan. Untuk membina stamina dan mencatat masa larian yang baik, ia perlukan masa. Lihat saja pelari veteran yang sudah berlari sekian lama, catatan masa mereka juga setanding malah sesetengahnya lebih baik daripada pelari yang jauh lebih muda,” kata guru sebuah sekolah antarabangsa di ibu kota ini.

Baginya, menceburi aktiviti larian pada usia yang bukan lagi muda sebenarnya satu langkah yang bijak.

“Apabila seseorang itu sudah menjangkau usia 30-an atau 40-an, sememangnya masa yang sesuai untuk mula membabitkan diri dalam bidang larian. Pada usia sebegini, lazimnya kita sudah tidak banyak menghabiskan masa keluar berhibur kerana kehidupan yang kian stabil terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga.

“Pada usia sebeginilah kita mula lebih prihatin pada kesihatan, malah larian boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian.

“Apapun, sama ada lelaki mahupun wanita, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira apabila mahu memulakan aktiviti larian. Perkara paling penting adalah melakukan pemeriksaan kesihatan bagi menentukan kita benar-benar sihat untuk berlari, sekali gus mengelakkan perkara yang memudaratkan diri,” katanya.

Bagi pembaca yang mahu mencuba aktiviti larian, dia turut mengingatkan kepentingan memanaskan badan diikuti senaman meregangkan badan.

“Jangan lakukan regangan badan ketika otot dalam keadaan sejuk. Sebaiknya, lakukan senaman aerobik ringan selama lima hingga 10 minit terlebih dulu misalnya berjalan pantas atau berjoging untuk melonggarkan otot dan memanaskan badan. Ini kemudian diikuti dengan beberapa gerakan untuk regangan badan sebelum memulakan larian,” katanya.

Untuk ruangan Sihat Cergas kali ini, Williams menurunkan beberapa panduan ringkas melakukan regangan dinamik iaitu regangan berserta pergerakan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

757 views