Berniaga Sejak Di Menara Gading
Berbicara dengan wanita yang baru menjangkau usia 31 tahun ini sememangnya memberikan inspirasi kepada sesiapa saja terutama mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Bermula dengan hanya menjual satu jenama pakaian yang diambil daripada pereka lain, Nurul Huda Ibrahim sudah mampu menarik nafas lega apabila apa yang diusahakan kini mula menampakkan hasilnya.
Penulis sendiri yang mengikuti perkembangan perniagaan wanita ini berasa cukup bangga dengan pencapaiannya. Daripada satu butik yang terletak di Shah Alam, kini dia mempunyai bangunan dua tingkat yang terletak di lokasi sama menjual pakaian Muslimah secara runcit dan borong.
Ketika ditemui di pejabatnya, kelihatan beratus-ratus pakaian tersusun cantik dan beberapa pekerja giat menyediakan bungkusan untuk urusan penghantaran pakaian.
Katanya, setiap hari dia menerima ratusan tempahan daripada stokis, ejen ‘dropship’ dan tidak kurang juga dibeli secara runcit. Ini memaksa Nurul Huda menyediakan enam pekerja yang mempunyai tugasan masing-masing, daripada menyelia sehingga khidmat membungkus pesanan.
“Memang tidak menang tangan tapi saya gembira kerana inilah yang saya impikan untuk melihat jenama Muslimah dipakai wanita masa kini,” katanya sambil tersenyum manis.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif daripada Universiti Multimedia, menurut Nurul Huda, minat dalam perniagaan mula berputik ketika pada tahun akhir memandangkan ketika itu dia sangat suka menggayakan pelbagai jenis tudung.
“Oleh kerana ketika itu perniagaan menerusi dalam talian belum berkembang pesat, jadi sebagai pelajar multimedia saya menggunakan peluang yang ada untuk menjual tudung menerusi Internet. Saya mencari tudung yang kebanyakannya dihasilkan usahawan bukan Bumiputera lalu memasarkannya dengan memuat naik gambar yang digayakan saya sendiri,” katanya.
Menerusi sambutan menggalakkan daripada pelanggan, selepas melahirkan anak pertama, Armandsyah Gazi yang kini berusia lima tahun, Nurul Huda mula berjinak-jinak menjual pakaian Muslimah dan jubah.
Masalah mulai timbul apabila kebanyakan busana yang dibeli tidak memberikan keselesaan kepadanya. Ada yang terlalu ketat, jarang, tidak labuh dan menepati syariat Islam.
“Saya penggemar kemeja-T labuh. Sebagai wanita bertudung, saya memerlukan baju berlengan panjang dan labuh. Saya mula terfikir mengapa saya tidak hasilkan sendiri pakaian Muslimah yang mampu menambat hati ramai.
“Oleh itu, saya mula mereka pakaian Muslimah pelbagai corak iaitu baju berlengan panjang, labuh, tidak menampakkan bentuk punggung serta selesa dipakai,” katanya.
Buat permulaan, Nurul Huda melakukan promosi menerusi Internet dengan dirinya sendiri sebagai model. Tidak sangka pakaian yang dihasilkan mendapat sambutan sedangkan untuk meyakinkan pelanggan mengenai perniagaan alam maya juga menuntut pengorbanan. Ini kerana tidak ramai yang percaya mengenai pembelian secara dalam talian dan meyakinkan pembeli untuk mengeluarkan duit mereka membeli produknya.
“Apa yang saya lakukan adalah menjaga hubungan baik dengan pelanggan yang saya anggap seperti kawan sendiri. Dengan membina hubungan ini, lama-kelamaan mereka mulai percaya dan yakin dengan setiap rekaan yang saya hasilkan,” katanya yang memperkenalkan jenama Wafiyya bermaksud sempurna.
Tidak mahu berada di tempat yang sama, Nurul Huda tidak hanya menjual secara runcit, sebaliknya sejak 2011 lalu mulai mencari stokis yang menjual pakaian mereka di lokasi tertentu seperti Kota Tinggi, Johor; sekitar Selangor, Melaka, Pahang dan di Ipoh, Perak.
Bagi Nurul Huda, penjualan menerusi ejen stokis membolehkan dia berkongsi rezeki dengan peniaga lain terutama yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Begitu juga dengan teknik penjualan ‘dropship’ iaitu tanpa modal yang membolehkan ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap berusaha memasarkan pakaian Muslimah di tempat mereka.
Bermula dengan hanya satu rekaan, kini Nurul Huda sudah menghasilkan 185 rekaan terkini yang menarik perhatian ramai.
Harga untuk pakaian Muslimah bermula antara RM49 hingga RM62 manakala jubah dijual antara RM99 hingga RM132, mengikut ukuran. Menepati kehendak pelanggan yang mementingkan keselesaan, dia menggunakan material bermutu seperti kapas, denim lembut dan lycra.
“Pakaian saya kebanyakannya daripada fabrik kapas sesuai dengan cuaca di negara ini. Apabila dipakai ia tidak panas dan sesuai digayakan untuk semua acara,” katanya yang turut menjual tudung bawal dan selendang dengan harga yang amat berpatutan.
Bagi memenuhi permintaan pelanggan, pakaian yang dihasilkannya dihantar ke kilang untuk proses jahitan. Setiap minggu, antara empat hingga tujuh rekaan baru dimuat naik menerusi laman sosial sebelum diagihkan kepada stokis.
Semua gambar baju rekaan terkini pula dimuat naik ke laman sesawang pada setiap Khamis bagi membolehkan tempahan secara dalam talian dilakukan.
Sebagai pelopor kepada rekaan pakaian Muslimah moden, Nurul Huda sedar bukanlah sesuatu yang mudah meyakinkan pengguna untuk terus mendapatkan produk yang dihasilkan. Tetapi mereka ada cara tersendiri dengan menghasilkan rekaan bermutu, terkini, selesa dan menutup aurat agar jenama Waffiya by Dollscarf sentiasa di hati pelanggan.
Antara kelainannya adalah pakaian menyusu yang versatil bagi memudahkan ibu menyusukan bayi mereka.
Impian
Jika dilihat dari segi luaran, anak sulung daripada empat beradik berasal dari Johor Bahru ini walaupun seorang yang lembut, terlihat ketegasan dalam dirinya terutama membabitkan perniagaan. Ini kerana dia tidak mahu apa yang diusahakan hanya separuh jalan.
Oleh itu, dia sentiasa bersemangat memastikan apa yang diusahakan ini berjaya mencapai matlamat. Menjadikan ibu bapa sebagai sumber inspirasi dan pencetus semangat, besar harapan Nurul Huda untuk melihat jenama Muslimah, Wafiyya by Dollscarf dijual di luar negara terutama menembusi pasaran Timur Tengah.
“Saya menetapkan matlamat dalam jangka masa tertentu bagi membolehkan perancangan jangka panjang. Untuk itu, saya tidak boleh duduk diam dan berpuas hati dengan apa yang saya miliki kini, sebaliknya terus berusaha menghasilkan yang terbaik serta berkualiti buat pelanggan,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web class=”right”>Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29