Bersih Tangan Benteng Bakteria

SIAPA lagi yang hebat di rumah apabila menguruskan urusan rumah tangga kalau bukan ibu kita. Bermula daripada menyiapkan keperluan suami hingga anak-anak, tugasnya diteruskan pula dengan pelbagai tugasan lain termasuk mengemas rumah, membasuh baju dan memasak.

Tujuannya cuma satu iaitu dia mahukan keperluan keluarganya terjamin daripada segi kebersihan dan kesihatan.

Berbicara mengenai dua aspek ini (kebersihan dan kesihatan), ramai golongan ibu menyangka jika mereka menyiapkan sendiri keperluan keluarga terutama penyediaan makanan di rumah maka segalanya akan selamat.

Namun, sebenarnya dengan langkah atau teknik memasak yang tidak betul, seluruh ahli keluarga terutama anak-anak boleh tercemar dengan masalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus mahupun bakteria.

Menerusi keupayaan mata kasar, virus atau bakteria memang tidak dapat dilihat apatah lagi disentuh. Bagaimanapun, ia adalah ancaman utama kepada punca atau penularan penyakit berjangkit seperti selesema, cirit-birit dan keracunan makanan.

Apabila anak-anak sakit akibat cirit-birit atau keracunan makanan misalnya, ibu bapa pasti menyalahkan banyak pihak di luar seperti keadaan persekitaran
di sekolah atau peniaga gerai tepi jalan.

Walhal jika didalami dengan teliti, masalah ini juga sebenarnya boleh berpunca dari rumah sendiri. Mungkin ada yang tertanya, bagaimana hal begini boleh terjadi sedangkan saya sudah memasak dan membersihkan rumah setiap hari?

Jangan terkejut sekiranya dinyatakan bahawa penyakit itu bermula dari dapur rumah anda sendiri, tempat anda menyediakan makanan untuk seluruh keluarga.

Malah, kajian Kembali Ke Sekolah yang dilakukan Majlis Kebersihan Global
mendapati pencemaran bakteria di tandas sekolah anak-anak adalah lebih rendah berbanding jumlah pencemaran bakteria yang boleh didapati di dapur rumah.

Hairan bukan? Tetapi itulah kebenaran yang harus dipercayai walaupun selama ini kebanyakan kita menganggap bakteria paling banyak ditemui di dalam tandas atau bilik air.

Pengerusi Majlis Kebersihan Global, Prof John Oxford, berkata melalui kajian Pencemaran Bersilang yang dilakukan pihaknya, keputusan mendapati pencemaran boleh berlaku semasa proses penyediaan dan penyimpanan makanan di dapur keluarga yang normal.

“Kajian menunjukkan orang ramai amat terdedah kepada ancaman penyakit bawaan makanan walaupun mereka makan makanan yang dimasak di rumah mereka sendiri.

“Ini kerana, perhatian yang kurang diambil terhadap disinfeksi semasa menyediakan makanan menyebabkan bakteria mudah berpindah daripada makanan mentah kepada permukaan sekunder seperti makanan yang sedia untuk dimakan serta pelbagai permukaan lain di dapur.

“Penemuan kajian mendapati 87 peratus daripada permukaan sekunder akan diliputi bakteria sekiranya langkah menjaga kebersihan tidak diamalkan. Ini menunjukkan bahawa makanan sedia untuk dimakan termasuk epal, anggur, lobak merah dan salad mentah boleh membawa ancaman jangkitan penyakit kepada ahli keluarga,” katanya mengenai kajian yang dilakukan dengan kerjasama jenama pakar kebersihan diri, Dettol.

Selain itu, bakteria juga berupaya merebak ke kawasan lain di rumah melalui sentuhan tangan. Sehingga 90 peratus daripada permukaan sentuhan tangan kita termasuk di radio, papan pemotong, botol, pisau dan televisyen boleh mengakibatkan pencemaran berkenaan.

Keadaan barangan ini yang tidak kerap dicuci membuatkan ia menjadi tempat pembiakan bakteria lalu mendedahkan ahli keluarga terutama kanak-kanak kepada risiko penyakit bawaan makanan dan berjangkit yang lain.

Contohnya, anda sebagai ibu memasak untuk juadah makan tengah hari yang merangkumi lauk ayam dan sayur-sayuran. Langkah tepat untuk mengelakkan anda dicemari oleh bakteria adalah dengan membasuh tangan, semua bahan mentah dan keperluan lain yang digunakan bagi proses berkenaan.

Anda juga disarankan untuk tidak menggunakan pisau atau papan pemotong yang sama bagi memotong sayur dan daging selain perlu membasuh tangan setiap 20 saat ketika menyiapkan bahan memasak.

Sementara itu, kajian Kembali Ke Sekolah mengenal pasti faktor motivasi mengenai amalan kebersihan diri dalam rutin harian yang boleh dipupuk oleh ibu kepada anak-anak mereka.

Keputusan menunjukkan bahawa memberikan pendidikan mengenai kebersihan kepada anak-anak di peringkat awal usia adalah penting kerana penerimaan mereka terhadap amalan itu lebih tinggi.

Melalui kajian berkenaan, penyelidikan membabitkan anggaran 14,000 ibu kepada anak-anak berusia lima hingga 12 tahun di 14 negara termasuk Australia, Brazil, China, Perancis, India, Jerman, Kanada, Dubai, Arab Saudi, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Malaysia. Di Malaysia, satu pertiga daripada ibu risau anak mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit di sekolah.

“Kebimbangan utama mereka ialah anak-anak akan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut. Ini diikuti dengan penyakit bawaan makanan dan kemudian selesema bermusim.

“Kira-kira 89 peratus daripada ibu juga akan menasihati anak mereka mengenai amalan kebersihan yang baik seperti membasuh tangan dan menutup mulut menggunakan tisu ketika batuk.

“Sementara itu, 64 peratus daripada mereka akan memastikan anak-anak membasuh tangan selepas pulang dari sekolah manakala hanya 20 peratus yang akan menyah jangkit barangan sekolah anak mereka seperti beg galas terlebih dulu,” jelasnya.

Dalam bahagian kedua kajian berkenaan, tujuh sekolah diuji untuk mengesan tahap pencemaran bakteria. Hampir separuh daripada ibu apabila ditanya percaya bilik air mempunyai jumlah bakteria yang paling banyak di sekolah.

Namun, ujian bakteria menunjukkan perkara sebaliknya. Pencemaran di bilik air didapati tidak terlalu tinggi berbanding permukaan di kawasan makanan yang realitinya selalu tercemar.

Hal ini mendedahkan kanak-kanak, guru dan kakitangan sekolah kepada bakteria ketika makan melalui sentuhan tangan atau peralatan hidangan seperti sudu, garpu, pinggan dan bekas makanan.

Ancaman penyakit cirit-birit juga akan meningkat apabila perhatian tidak diberikan untuk menyah jangkit kawasan dan peralatan makanan. Hanya dua peratus daripada ibu percaya bekas makanan yang dibawa dari rumah boleh menyebarkan penyakit seperti keracunan makanan.

Fakta turut menyatakan setiap tahun, terdapat dua bilion kes penyakit cirit-birit yang dilaporkan. Malah, penyakit ini adalah punca kedua utama bagi kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan anggaran kematian 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun.

“Kita perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatan anak-anak dengan menggalakkan mereka untuk mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Kajian perkembangan kognitif mendapati, jika pendedahan kepada penyakit berjangkit dilakukan sejak bermula pada zaman kanak-kanak, ia boleh mendatangkan implikasi kepada pertumbuhan dan perkembangan otak apabila mereka meningkat dewasa.

“Menurut kajian, tempoh lima tahun pertama kehidupan adalah penting untuk pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhan. Otak anak yang baru lahir memerlukan 87 peratus daripada tenaga tubuh untuk pertumbuhan.

“Bagi kanak-kanak berumur lima tahun, otak menggunakan hampir separuh daripada tenaga tubuh. Sebarang persaingan lain untuk jumlah tenaga ini memberi kesan kepada keupayaan otak mereka untuk berkembang ke tahap kapasiti yang sepenuhnya,” ujarnya.

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka sihat dan berupaya menjalani kehidupan yang cemerlang apabila dewasa kelak. Oleh itu, penanaman sikap kebersihan diri yang baik ketika masih kecil menjadi langkah penting bagi membantu mereka kekal sihat.

Ini sekali gus membolehkan mereka meneruskan pembelajaran tanpa diganggu oleh penyakit berjangkit dan dapat menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal lagi sihat dengan sempurna.

Kesimpulan menerusi kajian mendapati, tangan menjadi salah satu penyebab utama pencemaran bersilang di rumah. Membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun antibakteria ketika menyediakan makanan adalah penting untuk mencegah penyakit bawaan makanan.

Pembersihan permukaan dan penyahjangkitan juga penting untuk memutuskan rantaian jangkitan. Oleh itu, amalan membersihkan tangan menjadi benteng pertahanan barisan pertama yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit berjangkit manakala pendidikan menjadi tonggak dalam memastikan perubahan yang positif mengenai aspek kebersihan di kalangan warga Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Komersil Malaysia dan Singapura Reckitt Benckiser, Nikhilesh Kalra, berkata kajian yang dijalankan bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara penyebaran bakteria dan mengenal pasti titik perubahan positif dalam amalan kebersihan diri di kalangan rakyat Malaysia.

“Misi Dettol adalah untuk membantu orang ramai meningkatkan tahap kebersihan diri di rumah dan dalam masyarakat itu sendiri. Justeru, kami bekerjasama dengan Majlis Kebersihan Global yang diterajui oleh pakar kebersihan terkemuka di dunia.

“Jadi, bolehlah mereka merumuskan langkah yang realistik dan praktikal mengenai kebersihan yang mudah untuk membantu kita semua mencegah jangkitan penyakit,” katanya.

Dettol juga komited dalam usaha menggalakkan amalan kebersihan kepada masyarakat bukan saja melalui barisan produknya yang bermutu, malah menerusi inisiatif mendidik orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,985 views