Bersolek Sendiri Lebih Puas
DIAKUI kuasa magis penggunaan rona segar pada alat solek mampu membuai aura kejelitaan wanita. Ditambah pemilihan selendang serta pakaian sepadan menjadikan penampilan anggun menawan tidak kira sama ada ketika menghadiri acara rasmi atau kasual.
Walaupun tanpa perkhidmatan jurusolek profesional, anda mampu hadir memikat sekiranya mengetahui teknik memadankan warna bedak asas, pembayang mata serta gincu sepadan mengikut warna kulit.
Bagi Nur Ridzuani Alias, teruja melakukan solekan sendiri menyebabkan dia tekad mempelajari teknik asas solekan yang disifatkan sangat penting terutama ketika memilih paduan warna terutama pada solekan mata.
Bak kata pepatah, dari mata turun ke hati, pembayang mata rona ceria, celak serta maskara mampu membuatkan mata galak bersinar seterusnya menjadikan wajah berseri berbeza usia.
“Dulu saya juga seperti wanita lain, cetek pengetahuan mengenai ilmu solekan.
Selepas belajar, saya dapati banyak kesalahan yang sering saya lakukan terutama dalam pemilihan warna.
“Kebolehan bersolek menyenangkan tugas saya apabila perlu menghadiri pertunjukan fesyen yang memerlukan saya bersolek sendiri. Selain itu, saya tidak perlu bimbang dengan jemputan ke majlis rasmi atau kasual seperti perayaan, makan malam atau hari jadi kerana saya mampu tampil menawan tanpa perlu gusar pada wajah yang tidak disolek,” ujarnya yang menjadi model Muslimah sepenuh masa.
Menurut Nur Ridzuani, penting untuk mengetahui kekuatan wajah terutama warna dan jenis kulit kemudian barulah rona bedak asas disapu pada keseluruhan wajah.
Konsepnya sama seperti melakar warna pada sekeping kanvas yang memerlukan wanita berimaginasi mengenai tema pakaian serta tudung yang akan digayakan.
Jangan bimbang sekiranya salah memilih warna pembayang mata kerana semua ini boleh dikurangkan dengan mengalas rona pastel seperti coklat dan kelabu pada kelopak mata.
Selesai saja, sapukan pemerah pipi pada tulang pipi dengan memberikan senyuman ketika sapuan dilakukan untuk wajah tampak berseri. Pemilihan gincu dan pengilat bibir menjadikan wajah kekal anggun sepanjang masa. Elakkan gincu terlalu terang sekiranya anda tidak selesa dengannya.
Sebaliknya, pilih rona segar merah jambu berkilat bagi menampakkan bibir seksi dan merekah bak delima.
Jangan lupa pada bulu mata palsu dan maskara sekiranya anda ingin menghadiri majlis rumah terbuka dengan gaya moden. Ini kerana pemakaian bulu mata palsu serta maskara menjadikan solekan berbeza daripada biasa.
Panduan solekan
Sekiranya anda perlu ke majlis rasmi dan pada masa sama menghadiri acara kasual atau majlis rumah terbuka, pastikan warna digunakan tidak keterlaluan.
Pilih rona segar seperti merah jambu, biru, ungu dengan sedikit campuran coklat, kelabu atau krim pada pembayang mata.
Letakkan celak pada bahagian atas dan bawah mata bagi menonjolkan kecantikan semula jadi mata anda.
Elakkan memakai gincu merah terang kerana ini akan membuatkan anda seperti ingin menghadiri majlis tari menari, sebaliknya merah jambu bersama pengilat bibir sudah memadai.
Akhir sekali pastikan rona baju dan tudung sepadan dan sesuai mengikut acara yang akan dihadiri.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11