Berubah Lepas 3 Bulan

Apakah reaksi anda sekiranya seseorang itu memberitahu yang dia mengajar di sebuah sekolah di negeri paling maju di Malaysia tetapi mempunyai pelajar yang masih tidak boleh membaca dan menulis?

Malah ada separuh daripadanya langsung tidak memahami bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris walaupun ayat yang ringkas.

Berdepan situasi berkenaan tentunya memberikan gambaran mengenai masa depan pelajar ini di kemudian hari sekiranya mereka terus dibiarkan dalam keadaan buta huruf.

Kesannya, ada yang tercicir dan menyertai kumpulan yang menjalankan aktiviti sosial seperti samun, ragut, gangsterisme serta terbabit dengan dadah. Ia berpunca daripada pendidikan sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menyertai ‘geng’ tertentu untuk menempatkan diri dalam kumpulan itu.

Menyedari perlunya membuat perubahan dalam hidup serta memberi peluang kedua di sekolah, apa yang dilakukan sekumpulan pelajar Universiti Help harus dipuji dan diberikan sokongan.

Ia bermula apabila pengasas Teach For Malaysia, Brian Geh Wei Guan tidak mempunyai tenaga pengajar mencukupi bagi memenuhi keperluan pengajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah, Kapar, Selangor. Dia kemudiannya bertemu dengan Pow Yih Ling, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Universiti Help untuk berbincang mengenai bantuan kepada pelajar ini.

Menerusi daya usaha serta semangat yang tinggi untuk membantu pelajar, terhasillah Projek Re:ed yang tujuan asalnya adalah mengumpul sukarelawan bagi membantu dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, Inggeris dan Matematik.

Menurut Pow yang juga pengasas Projek Re:ed, kali pertama berkunjung ke SMK Tengku Idris Shah, dia terkejut melihat keadaan kelas yang rosak seperti pintu tercabut, pagar rosak, kipas patah dan cermin tingkap yang pecah. Ini menunjukkan kebanyakan pelajar tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, sebaliknya gemar dengan aktiviti lain.

Dia difahamkan ramai pelajar datang daripada keluarga miskin dan buta huruf. Mereka terdiri daripada anak-anak susah, ibu bapa yang sudah berpisah serta adik-beradik yang ramai. Ibu bapa yang tidak dapat memberi perhatian kepada pelajaran akan menyumbang kepada faktor keciciran di sekolah.

Ujian kemahiran asas untuk Bahasa Melayu oleh Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS) yang ditadbir tahun lalu mendedahkan seramai 198 daripada 1,050 pelajar pada sesi tengah hari sekolah adalah buta huruf.

“Ini bermakna ramai pelajar tidak mempunyai kemahiran asas membaca dan menulis bagi membolehkan mereka berfungsi di kelas biasa. Ramai yang tidak menguasai kemahiran asas walaupun selepas menamatkan pendidikan formal. Ini sekali gus mengekalkan kitaran kemiskinan dan buta huruf dalam kalangan mereka pada setiap tahun,” katanya.

Menerusi aktiviti sukarelawan, kelas tambahan direka bagi memberikan perhatian peribadi yang dianggap sangat penting kepada mereka. Sukarelawan akan mengajar dalam kumpulan kecil iaitu tiga hingga lima pelajar sama ada untuk Bahasa Inggeris atau Matematik. Modul yang disediakan juga bersesuaian dengan tahap akademik bagi kedua-dua mata pelajaran.

Jelasnya, walaupun kira-kira 200 pelajar gagal ujian asas literasi, selepas tiga bulan diberi pendedahan oleh sukarelawan ada pelajar yang melompat gred dua ke gred tiga dalam tempoh itu. Sudah tentu ia satu pencapaian yang sangat membanggakan.

Senario ini menunjukkan mereka mempunyai keinginan belajar namun tidak berpeluang disebabkan latar belakang keluarga, pelajar yang terlalu ramai di kelas sehingga tidak berkesempatan mendekati guru dan mendapatkan pemahaman dengan lebih jelas.

“Saya sedar pelajar ini perlu dibantu oleh seberapa ramai guru atau secara sukarela bagi menutup jurang di antara pelajar pandai sekali gus membebaskan mereka daripada perkara yang tidak mereka peroleh di kelas,” jelasnya yang pada mulanya berjaya mengumpulkan tujuh sukarelawan daripada Universiti Help.

Lama-kelamaan hebahan menerusi laman sosial Facebook menyebabkan lebih ramai ingin menyertainya, antaranya pelajar Universiti Monash dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sekarang mencecah 130 sukarelawan dengan jumlah pelajar buta huruf melebihi 100 orang.

Walaupun jumlah sukarelawan mampu memenuhi keperluan pelajar, masalah yang terpaksa dihadapi adalah dari segi kekurangan kenderaan membawa sukarelawan ke sekolah.

“Sekarang kami menggunakan van universiti untuk membawa sukarelawan ke sekolah yang mana pada satu masa van hanya dapat menghantar 30 pelajar. Ini menyebabkan kami tidak dapat menggunakan tenaga pengajar secara optimum,” katanya.

Ikhlas mengajar

Mereka sanggup mengajar tanpa sebarang imbuhan namun bagi Pow dan kumpulannya, mereka berasa apa yang dilakukan adalah tanggungjawab sosial.

Jika tidak dimulakan sekarang, bila lagi? Jika dilihat dalam konteks yang lebih luas, projek ini mampu menangani masalah buta huruf serta tidak mengenal angka dalam kalangan pelajar.

Ini kerana kitaran kemiskinan ini harus dipecahkan supaya mereka tidak terikat dengan keadaan hidup serba kekurangan daripada satu generasi ke generasi akan datang. Projek ini bertujuan membawa pelajar buta huruf kembali ke landasan yang betul.

“Apa yang diinginkan adalah supaya mereka dapat membaca dan memahami buku teks serta mempunyai kemahiran aritmetik yang tinggi. Projek Re:ed juga mampu menutup jurang di antara pelajar bijak serta meletakkan di mana mereka sepatutnya berada sekarang.

“Realitinya dalam kalangan pelajar buta huruf, mereka berada di antara tiga hingga enam tahun ke belakang daripada akademik sebenar dan apabila memasuki sekolah menengah, mereka akan terus tercicir,” katanya.

Selepas lima bulan mengajar, maklum balas diterima menunjukkan kebanyakan mereka ingin belajar tetapi tidak memahami pengajaran di kelas. Ini berikutan ada guru mengajar pada peringkat yang lebih tinggi daripada sepatutnya, ditambah pula dengan masa yang sangat terhad menjadikan pelajar tidak berpeluang mendapatkan pengajaran secara eksklusif.

Tidak hairan apabila ada antara mereka berharap supaya mendapat sedikit perhatian peribadi bagi memastikan mereka berjaya seperti pelajar lain.

“Matlamat Projek Re:ed ini pada akhirnya adalah untuk mempunyai pelajar yang lulus ujian Matematik dan menguasai bahasa Melayu dan Inggeris pada akhir tahun sebagai mengukur pencapaian mereka,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

588 views