Bina Keyakinan Diri
WANITA mana yang tidak ingin cantik, namun lain pula halnya dengan mereka yang terpaksa melalui pelbagai rawatan radioterapi dan kemoterapi akibat barah.
Kulit mereka kelihatan kering disebabkan kesan ubat-ubatan serta kusam dan tidak bermaya.
Justeru, jenama kecantikan diri terkemuka, Estee Lauder mengadakan bengkel Feel Better Beauty sempena kempen kesedaran barah payudara.
Bengkel ini bertujuan membantu wanita yang berhadapan dengan barah meningkatkan kembali keyakinan dan harga diri mereka melalui penggunaan mekap.
Peserta diajar teknik yang betul menggunakan pelbagai kombinasi warna dalam menghasilkan kesan mekap lebih menyerlah.
Menurut Pengurus Penjenamaan Estee Lauder, Katrina Liew, perkara paling penting perlu dititikberatkan sebelum memakai mekap dalam apa jua keadaan
ialah memastikan kulit wajah berada dalam keadaan bersih.
Sekiranya sudah mengenakan mekap, gunakan penanggal mekap terlebih dulu pada keseluruhan wajah, kemudian bersihkan muka bagi memastikan tiada lebihan kesan kotoran.
“Mungkin bagi sesetengah pihak, menggunakan mekap satu perkara yang cukup menguji kesabaran. Ini kerana ia perlukan ketelitian bagi menyempurnakan sapuan bedak, pembayang mata, pemerah pipi serta maskara.
“Tetapi percayalah, jika cara digunakan betul, ia boleh menjadi semudah satu, dua dan tiga. Tidak perlu mengenakan mekap dengan tebal, cukup sekadar menjadikan wajah lebih berseri serta kembali bermaya,” katanya.
Di samping itu, Katrina berkata, kempen kesedaran yang dianjurkan itu juga bertujuan menangani barah payudara melalui pendidikan dan penyelidikan perubatan.
“Pengesanan awal adalah langkah terbaik untuk mencegah barah dan ia perlu dilakukan tanpa sebarang alasan.
“Setiap wanita perlu bangkit dan berani, bukan sekadar berserah tanpa melakukan sesuatu untuk menangani keadaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05