Boleh Digunakan Di Mana Saja
Apakah peralatan senaman paling berkesan untuk membantu menguatkan otot? Bagi yang sering mengunjungi gimnasium, terdapat pelbagai peralatan senaman yang boleh digunakan sebagai pengganti kepada bebanan tubuh. Antaranya bola, dumbbell dan yang terkini, sejenis tali regangan diperbuat daripada getah dan mempunyai kadar rintangan yang tinggi.
Apabila ditarik, talinya meregang manakala individu yang memegang tali itu akan cuba melawan rintangan dengan cuba menariknya sekuat mungkin.
Istimewanya, ia bukan saja digunakan di gimnasium, malah di mana-mana saja asalkan tempat yang kukuh dan kuat seperti tiang atau pokok. Malah ia boleh dipakai sama ada di rumah dengan meletakkan pada kaki meja atau sofa serta pintu almari.
Bagi yang sering berjoging di taman, tali regangan boleh digunakan dengan menyangkutnya pada dahan pokok atau di pejabat, menjadikan senaman ini lebih mudah dan berkesan.
Namun bagi mereka yang baru kali pertama mencuba, harus bijak mengendalikan tali ini agar tidak mencederakan diri sendiri. Oleh kerana ia sejenis tali yang kuat meregang dan kukuh, pengguna harus kuat menarik dengan sepenuh tenaga dan tidak melepaskan tali sesuka hati sehingga boleh mencederakan diri sendiri.
Ini kerana sekiranya tarikan menjadi sangat kuat dan tali dilepaskan serta-merta, dikhuatiri tali akan membidas muka atau anggota tubuh. Cara paling selamat adalah dengan melepaskan tali sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan.
Sama seperti peralatan senaman lain, tali regangan ini turut memberikan kebaikan kepada individu, malah mampu membuang sehingga 400 kalori dalam sejam bergantung kepada corak senaman. Dengan memberi tumpuan kepada bahu, lengan dan dada, penggunaan tali regangan ini berupaya mengurangkan sehingga 200 kalori. Namun gabungan antara senaman kardio dan tali regangan memberikan kesan lebih hebat, sekali gus penurunan kadar kalori yang banyak.
Menurut jurulatih senaman, Nazura Mohd Ramli, ramai yang bertanya mengenai keberkesanan penggunaan tali regangan sama ada boleh membina otot seperti senaman bebanan yang lain.
“Dalam apa juga senaman membabitkan latihan otot, ia memerlukan bebanan. Misalnya untuk membina otot dada memerlukan angkat berat sekitar 15 kilogram dan akan ditambah sedikit demi sedikit sehingga bebanan paling maksimum.
“Latihan menggunakan bebanan ini menggunakan teknik lawan graviti bagi membina otot. Ini bermakna kita yang mengawal bebanan itu.
“Keadaan ini berbeza dengan tali regangan apabila menggunakan konsep teknik melawan rintangan pada tali. Jadi kita tidak mengetahui jumlah bebanan bagi melawan rintangan. Walaupun ada beranggapan otot sukar terbentuk atau mengambil masa yang lama, pengguna tali regangan ini bukanlah inginkan otot sehebat Malek Noor, mungkin inginkan lebih bertenaga dan otot lebih mantap berbanding tidak menggunakan tali regangan,” katanya.
Terdapat banyak faedah menggunakan tali regangan ini antaranya fleksibiliti, kemudahan, keselamatan dan keberkesanan.
Lebih banyak langkah senaman dipelajari, lebih banyak kelebihannya, sekali gus mendorong untuk menambah pelbagai pergerakan senaman sama ada di gimnasium atau di rumah. Antara kebaikannya termasuk:
Senaman dengan kos paling berkesan
Sama ada anda membeli secara individu atau satu set, tali regangan adalah tambahan peralatan yang murah dan boleh dilakukan di rumah. Bahkan ia dijual bersama set latihan berpandukan video.
Boleh disesuaikan mengikut tahap kecergasan berganda
Tali regangan membantu menambah tahap rintangan berganda kepada ringan, sederhana dan berat. Anda boleh melaraskan jumlah rintangan ketika latihan dengan hanya mengendurkan tali pada tangan atau menggabungkan tali regangan menjadikan rintangan berganda bagi meningkatkan cabaran.
Ubah suai senaman biasa
Latihan menggunakan tali regangan biasanya berpandukan kepada kekuatan dan latihan. Sebagai contoh , jika anda berdiri dengan satu kaki dan tangan memegang tali, anda sudah menambah kekuatan pada otot lengan.
Kecil, ringan dan mudah disimpan
Bagi yang tidak mempunyai banyak ruang penyimpanan di rumah, tali regangan pilihan tepat. Anda boleh menggantungnya di bilik selepas bersenam atau menggulungnya untuk disimpan di dalam laci.
Tambahan pelbagai senaman
Lama-kelamaan sekiranya anda sudah mahir menggunakannya, otot mula menyesuaikan diri dengan apa saja senaman baru. Malah ini idea yang baik untuk menggabungkan latihan menggunakan mesin dan tali regangan. Dengan ini, masing-masing akan bekerja dengan cara sedikit berbeza.
Selamat digunakan walau di mana saja
Tali regangan menawarkan kekuatan tanpa risiko menjatuhkan bebanan pada kaki. Ia sesuai digunakan terutama mereka yang banyak membabitkan diri dengan aktiviti luar dan tidak mempunyai jurulatih peribadi.