Boleh Dilakukan Di Rumah

“Perut buncit, berlapis dan banyak lemak”. Ini antara ungkapan yang biasa didengar terutama bagi mereka yang menikmati juadah enak hari raya dan makan apa saja tanpa memikirkan pertambahan berat badan.

Wanita adalah golongan yang paling banyak merungut terutama pada bahagian perut yang mula menggeleber. Untuk itu, mereka menggunakan pelbagai cara untuk kembali langsing, antaranya dengan melakukan senaman bangun duduk dan tekan tubi. Namun kedua-kedua teknik ini lebih berkesan sekiranya dilakukan menggunakan bola senaman yang dianggap kaedah paling popular dan diamalkan bukan saja bagi mereka yang sering mengunjungi gimnasium tetapi rajin melakukannya di rumah.

Menurut jurulatih Zumba Fitness Malaysia yang juga jurulatih di Pusat Kecergasan Easy Fitness, Shah Bariah Hussain, bola senaman turut dikenali sebagai bola Swiss sempena negara pengeluarannya atau bola keseimbangan dan bola terapi.

Bola ini disediakan dalam empat ukuran utama iaitu 85 sentimeter (sm), 95sm, 105sm dan 120sm dengan diameter 35 hingga 85sm. Asalnya ia digunakan sebagai peralatan terapi bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah lemah anggota badan.

Disebabkan keberkesanannya, ia diperluaskan dalam pelbagai jenis senaman yang berfungsi untuk mengempiskan perut, mengecilkan paha serta membuang lemak pada bahagian tertentu badan.

Jelas Shah Bariah, senaman menggunakan bola berfungsi membuang lemak pada paha dengan cara berbaring dan meniarap di atasnya, mengangkat bola menggunakan kaki dan meletakkan kaki di atas bola sambil melakukan tekan tubi dan duduk bangun. Langkah ini dikatakan mampu meregangkan otot kaki, sekali gus memberikan tekanan pada bahagian perut.

“Selain paha, penggunaan bola senaman juga berfungsi membuang lemak pada bahagian bermasalah. Ini boleh dilakukan dengan berbaring di atas bola dengan kedua-dua kaki dijatuhkan ke lantai. Dalam kiraan lapan, tolak badan ke hadapan, angkat dada, luruskan kaki dan angkat tangan ke paras telinga. Kaedah ini membantu mengurangkan lemak pada otot perut sekiranya dibuat secara rutin,” katanya.

Selain berbaring, meniarap di atas bola juga satu kaedah mengempiskan perut. Sambil meniarap dada diangkat sedikit, kedua-dua tangan diletakkan ke telinga. Lakukan berulang kali dalam kiraan lapan sehingga rasa tegang pada otot perut. Bagi menguatkan otot kaki, anda boleh berbaring sambil meletakkan bola di celah kaki dan angkat. Kedua-dua tangan lurus di sisi.

Bagi mereka yang sering melakukan tekan tubi, ia boleh dilakukan bersama bola dengan meletakkannya di lantai kemudian letakkan kedua-dua kaki di atas bola, tangan di kepala dan angkat kepala dan bahu ke paras dada.

“Senaman ini mampu membakar lemak di bahagian bawah perut jika dilakukan secara rutin. Malah selepas melakukannya perut terasa sedikit tegang dan sakit namun lama-kelamaan ia akan hilang. Senaman ini juga sesuai untuk mengatasi masalah sakit belakang,” katanya.

Menyedari banyak kebaikan diperoleh daripada senaman bola ini, individu tidak hanya boleh melakukannya di gimnasium tetapi di rumah untuk kesan yang lebih optimum.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

794 views