Buah Tangan Pereka Muda

MENGHASILKAN pakaian bukan hanya perlu dipelajari secara formal di sekolah fesyen, tetapi minat serta kesungguhan dalam rekaan akan menentukan kreativiti pereka.

Buktinya, ramai pereka tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang fesyen, namun mampu menghasilkan busana indah dan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Bagi pereka muda Mohamad Zakwan Mohamad Anuar, 21, kegemaran melihat himpunan fesyen era 20-an dan 30-an sama ada menerusi majalah mahupun pertunjukan fesyen membentuk dirinya menjadi lebih kreatif sekali gus menambah minat kepada bidang seni rekaan. Dia yang sedang menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, sejak berusia 12 tahun sudah mampu menilai keindahan pakaian bukan saja daripada segi corak, tetapi potongan serta perhiasan digunakan. Semua ini dipelajari menerusi pembacaan serta kegemaran melihat sesuatu yang cantik. “Ketika di sekolah rendah saya mengambil mata pelajaran ekonomi rumah tangga dalam bidang jahitan. Daripada situ sedikit sebanyak saya mempelajari asas jahitan dan mula menanam minat menjadi pereka fesyen satu hari nanti,” katanya.

Melihat potongan di bawah label Zakwan Anuar, ternyata dia mempunyai cita rasa tersendiri. Tanpa perlu mengenakan fesyen yang sarat, Zakwan memilih untuk menerapkan rekaan sederhana, ringkas dan kemas sama ada menerusi warna, fabrik mahupun perincian.

Mengambil inspirasi era 20-an sebagai latar, Zakwan memperkenalkan himpunan sedia dipakai dengan memberi tumpuan kepada seluar, jaket dan kemeja sebagai asas. Setiap padanan mengetengahkan konsep suai padan menerusi rekaan skirt dan gaun pendek pada fabrik polos serta bercorak. “Saya mengambil kira wanita moden masa kini yang aktif, namun sentiasa anggun dan cantik dalam penampilan mereka. Maka lahirlah koleksi yang memberi ilham kepada wanita menggayakan padanan untuk semua majlis,” katanya yang pernah mengadakan pertunjukan fesyen di pentas peragaan Stylo dan Minggu Fesyen Malaysia Antarabangsa (Mifa). Pereka kelahiran Pahang ini gemar melihat pertunjukan fesyen luar negara yang disifatkan sangat ke hadapan dan melangkaui masa. Mungkin apa yang dipaparkan tidak mampu ditiru seratus peratus namun kreativiti mereka harus dipuji. “Rujukan saya daripada pertunjukan fesyen antarabangsa kerana koleksi dipaparkan memberi ilham dalam menghasilkan rekaan. Daripada situ saya mengambil sedikit demi sedikit dan membuat pengubahsuaian daripada segi potongan dengan meletakkan ciri-ciri kemelayuan sebagai asas,” katanya yang meminati rekaan Radzuan Radziwill serta Tom Abang Saufi kerana unik dan bercita rasa asli. Melihat fesyen diketengahkan, keistimewaan Zakwan pada pemilihan fabrik broked yang jarang digunakan. Walaupun ia sedikit tebal, sekiranya pereka tahu menyesuaikannya ia tidak nampak janggal. Selain itu fabrik satin serta crepe turut menjadi pilihannya. “Saya banyak menggunakan broked pada jaket dan seluar kerana coraknya begitu unik dan berseni. Sekali pandang ia seakan berkilat dan nampak seperti corak songket,” ujarnya yang mula membuka butik yang dikongsi bersama lima pereka lain pada Julai 2012 lalu. Daripada segi warna, anak sulung empat beradik ini begitu meminati rona pastel seperti hitam dan putih serta malap namun mempunyai ‘kuasa’ apabila dipakai wanita. Bagi Zakwan, selain fabrik pemilihan warna sangat penting dalam menentukan ketahanan serta menonjolkan daya tarikan seseorang. Koleksi musim bunga dan panas 2013 ini ditujukan untuk semua golongan hawa bermula remaja sehingga penghujung 40-an.

Butik Seethrough dibuka dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Untuk setiap padanan harga, ia bermula di antara RM200 hingga RM800.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

3,579 views