Buat Kajian Beberapa Tahun

Bukan senang hendak mendidik pelajar supaya dapat menerima apa yang diajar terutama bagi mereka yang berada di kelas tercorot.

Menyedari hal itu, Guru KAFA Sekolah Hidayah Kajang, Siti Khadijah Abd Ghaffar, membuat kajian dan menggunakan kaedah pengajaran teknik Rasulullah SAW yang boleh diterapkan di dalam pembelajaran seharian.

Kaedah ini bukan saja dapat mengubah sikap pelajar daripada nakal kepada lebih baik, malah merapatkan lagi hubungan di antara pelajar dan guru.

Kebanyakan pelajar kelas corot hanya datang ke sekolah untuk mendengar ilmu, tetapi tidak menyimpannya dalam fikiran kerana beranggapan hanya perlu pandai membaca dan menulis saja. Sebaliknya pelajar kelas pandai lebih fokus dan senang diajar.

Hal ini membuatkan guru berasa pening dan risau kerana prestasi pelajar kelas corot tetap sama walaupun menggunakan pelbagai kaedah termasuk memberi lebih fokus kepada mereka dari segi pengajaran.

“Melihat pencapaian antara pelajar kelas pandai dan corot jauh berbeza, saya membuat kajian selama beberapa tahun sebelum menemui kaedah pengajaran teknik Nabi Muhammad SAW.

“Teknik ini bukan saja dapat mengubah sikap mereka yang nakal kepada lebih baik, malah akan meningkatkan prestasi pembelajaran apabila mereka akan lebih fokus kerana menyayangi guru berkenaan.

Misalnya, Siti Khadijah berkata, beliau pernah mengajar sekumpulan pelajar tahun enam yang agak nakal, selepas mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad SAW ke atas mereka, beliau dapat perhatikan perubahan positif sedikit demi sedikit.

“Untuk menggunakan kaedah ini, kami akan duduk bercerita pelbagai maklumat sambil mereka membuat latihan. Cara ini membuat mereka berasa seronok untuk membuat latihan dan belajar kerana tiada tekanan. Jika pelajar tertekan akan memberi kesan bukan saja kepada pelajaran, malah turut menjejaskan emosi mereka dan menjadi lebih nakal,” katanya.

Katanya, pelajar juga harus didorong dengan pujian menggunakan teknik Nabi Muhammad SAW kerana mereka akan berasa seronok untuk datang ke sekolah walaupun dalam keadaan kurang sihat.

Usaha mereka hadir dalam keadaan kurang sihat satu tindakan yang harus diberikan ganjaran positif sama ada pujian atau sedikit hadiah walaupun ia tidak mahal.

“Ini bertujuan mendorong mereka untuk terus hadir ke sekolah dan tetap bersemangat menjalani pembelajaran walaupun dalam keadaan kurang sihat.

“Sebagai guru perlu pandai mengambil hati pelajar dan berikan pujian apabila mereka berbuat kebaikan. Itu adalah ganjaran tidak terhingga yang membuatkan pelajar berasa dihargai,” katanya.

Bagi membetulkan kekurangan dan kesilapan pelajar juga perlu mempunyai kaedah yang betul iaitu dengan tidak memarahi di depan pelajar lain kerana tindakan itu boleh menjatuhkan air muka mereka seterusnya membuat perkara yang tidak elok.

Guru lebih cenderung menegur, memarahi, membebel, menasihati, mengkritik, membandingkan dan menghukum pelajar, tetapi perkara itu tidak digalakkan.

Sepatutnya perbuatan pelajar itu harus ditegur secara nasihat iaitu guru menunjukkan cara yang betul dengan menerangkan atau membetulkan kesilapan dengan memberikan pujian.

“Saya mengaplikasikan cara itu apabila sentiasa memuji pelajar yang membuat kesilapan dan mereka dapat menerimanya dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.

“Sebagai guru, kita tidak boleh melihat keburukan pelajar semata-mata, carilah kebaikan mereka supaya mereka berasa lebih dihargai,” katanya.

Antara teknik pujian yang digunakan ialah:

1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan pelajar dan berikan pujian serta-merta secara terbuka supaya pelajar lain dapat mendengarnya.

Cara ini membuatkan pelajar berasa bangga dan akan berubah sikap pada masa depan. Mereka akan lebih menghargai guru apabila tidak mengulangi kesalahan dan mendengar kata.

2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan pelajar bukan ditujukan kepada diri pelajar itu.

Pujian bukan bermaksud memuji sikap pelajar, tetapi memuji kepada hasil kerja yang dilakukan. Pujian ini akan meningkatkan lagi semangat mereka untuk membuat lebih baik walaupun hasil kerjanya dalam kategori biasa.

3. Dalam pujian itu nyatakan kesan positif perbuatan yang dipuji iaitu kagum.
Tunjukkan kekaguman guru terhadap hasil kerja pelajar kerana ini akan memberi kesan positif bukan saja kepada kerja yang dilakukan, malah kepada sikap mereka.

Perasaan dihargai itu akan mengubah sikap mereka ke arah yang lebih baik seterusnya berjanji akan melakukan yang terbaik lagi.

Dorongan kata-kata positif perlu diberi iaitu ‘bagus’ dan isyarat ‘baik’ dengan menggunakan ibu jari kepada pelajar.

Apabila pelajar tidak bersemangat atau kurang tumpuan terhadap pelajaran, guru perlu mengetahui tahap tumpuan pelajar sama ada berada di tahap tinggi atau rendah.

Mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri lebih terdorong tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberi guru. Jadi guru perlu pandai mengambil hati pelajar supaya mereka rasa lebih dihargai.

Jika mereka kurang minat dalam pelajaran, beri nasihat dan disusuli dengan pujian yang boleh membangkitkan semangat pelajar untuk meneruskan pelajaran.

“Sebagai guru, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri apabila terus menghukum pelajar tanpa memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menjelaskan situasi.

“Saya berharap lebih ramai guru menggunakan kaedah ini kerana ia bukan saja baik untuk guru, malah kepada pelajar nakal dan tercorot,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,531 views