Buat Keputusan Konsisten

Kanak-kanak meraung, menjerit, menendang troli dan mencampakkan barang di pasar raya pasti menjadi igauan ngeri bagi ibu bapa. Penulis sendiri masih terbayang-bayang perubahan emosi anak seorang teman yang tiba-tiba bergolek di pasar raya sambil menjerit dan menangis tanpa henti kerana si ibu enggan membelikannya permainan.

Sudahnya, penulis dan ibunya terpaksa membelikan juga permainan yang diingininya dengan harapan si kecil itu mula berhenti buat perangai.

Perasaan malu juga mula timbul kerana majoriti mata memandang pada kami dan tiada cara lain perlu dilakukan selain menuruti saja kehendaknya.

Nyata, tindakan itu bukanlah penyelesaian kepada masalah perubahan emosi atau tantrum ini.

Menurut Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Urmilah Dass, menurut saja kehendak si kecil kerana mahu menghentikan perangainya itu bukan saja membuatkan keadaan lebih buruk pada masa depan malah tidak memberi manfaat kepada anak terbabit.

“Perubahan emosi ini sememangnya perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak kerana ia satu cara mereka meluahkan perasaan bagi menarik perhatian ibu bapa.

“Tapi apabila ia mula kerap dilakukan, ibu bapa perlu sensitif atau peka dengan apa yang berlaku di sekeliling anak mereka hingga menyebabkan kanak-kanak itu mula meraung atau merengek.

“Jika sesekali ia berlaku itu mungkin petanda si anak mahukan perhatian tapi apabila ia berlaku secara kerap setiap kali permintaannya tidak dituruti, ibu bapa perlu berjumpa pakar untuk mengenal pasti masalah emosi yang dihadapi kanak-kanak itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Urmilah menjelaskan skil keibubapaan memainkan peranan penting dalam menanganinya.

“Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah cara membuat keputusan yang konsisten antara suami dan isteri. Dalam hal ini, suami tidak bertegas sama seperti isteri dan sebaliknya.

“Contohnya, apabila si anak mahukan sesuatu, ibunya melarang tapi apabila diminta pada bapa, dengan mudah kanak-kanak itu mendapat apa yang diingininya.

“Apabila situasi ini berlaku, si anak akan lebih sukar menerima arahan khususnya daripada satu pihak yang cuba menghalang perbuatan mereka.

“Pada masa sama, akan wujud konflik dalam hubungan suami isteri di mana mereka akan cuba menegakkan keputusan masing-masing.

“Sebaiknya, suami isteri perlu duduk berbincang terlebih dulu mengenai syarat atau peraturan yang perlu dikenakan ke atas anak-anak. Jika saling tidak bersetuju dengan cara masing-masing, jangan lakukannya di depan anak dan beralih ke ruang lain untuk berbincang,” ujarnya.

Rasa bersalah disebabkan jarang menghabiskan banyak masa dengan anak juga antara punca perubahan emosi ini.

Ibu bapa zaman ini sibuk membina kerjaya hingga pulang lewat malam yang akhirnya menimbulkan rasa bersalah dalam diri mereka. Bagi menutup rasa bersalah itu, majoriti dengan mudah memberikan apa saja yang diminta si anak hingga kanak-kanak itu terbiasa dengan keadaan itu.

Jadi apabila satu keinginannya tidak dipenuhi, kanak-kanak ini mula menunjukkan tanda protes dengan perubahan emosi yang ekstrem dan mendadak.

“Jika ini berlaku, ibu bapa perlu segera ambil langkah proaktif dengan menerangkan secara tegas kepada anak apa yang dilakukannya itu salah dan perlu diubah.

“Terangkan pada anak bahawa setiap perbuatan baik atau buruk akan dinilai dan diberikan ganjaran. Di sini wujudnya gerakan tindakan positif dan negatif, masa tamat dan hukuman. Tapi biasanya hukuman seperti memukul anak sebagai pengajaran adalah perkara akhir jika tiada lagi jalan lain untuk mengubahnya.

“Saya bagaimanapun tidak menyokong gerakan hukuman itu kerana ia bukan saja membuatkan keadaan lebih buruk tapi memberi kesan psikologi yang negatif dalam minda anak-anak,” ujarnya.

Gerakan tindakan positif dilakukan setiap kali si anak menunjukkan perangai baik.

“Apabila kanak-kanak itu melakukan sesuatu misalnya membawa pinggan ke sinki, pujilah mereka dan katakan anda bangga dengan kemampuan mereka.

“Nampak kecil tapi apabila setiap perkara positif yang mereka lakukan mendapat perhatian ibu bapa, secara automatik emosi dan perangai mereka juga berubah menjadi lebih baik.

“Bagi gerakan tindakan negatif pula, ibu bapa terlebih dulu perlu memberitahu anak-anak apa yang akan dilakukan jika mereka menunjukkan perangai buruk.

“Tetapkan terlebih dulu peraturan dalam dan luar rumah dan tegaskan pada mereka mengenai amaran tiga kali. Kemudian ibu bapa tentukan barangan atau benda yang menjadi kesukaan anak-anak yang mesti dilakukan atau dibawanya setiap hari seperti permainan video, anak patung atau bantal peluk.

“Seterusnya, apabila sudah diberikan amaran ketiga, ibu bapa akan terus mengambil barangan kesukaan kanak-kanak itu lalu disimpan dalam tempoh tertentu sebagai hukuman kerana bertindak mengikut emosi.

“Awalnya memang sukar kerana mereka akan menangis malah bertindak menunjukkan emosi yang ekstrem tapi lama-kelamaan kanak-kanak ini akan mula berfikir mengenai kelakuan mereka.

“Kaedah ini membuatkan mereka berfikir sama ada perangai mereka itu mendatangkan kebaikan atau keburukan pada diri sendiri,” katanya.

Justeru, apa pula yang perlu dilakukan jika kanak-kanak mula berubah perangai atau meragam di tempat awam?

Jelas Urmilah, ibu bapa perlu bersedia menahan malu dan cuba berikan amaran terlebih dulu. Jika si anak tidak menghiraukan amaran ibu bapa, bawa anak ke tempat letak kereta dan biarkan dia melepaskan emosinya di situ.

“Jika ia masih berlarutan, terus pulang ke rumah dan jelaskan pada anak perangai mereka itu yang menyebabkan tergendalanya semua aktiviti yang dirancang.

“Kanak-kanak ini pasti akan terus menangis dan melakukan bermacam perangai tapi lama-kelamaan mereka akan kepenatan lalu mendiamkan diri.

“Secara tidak langsung itu akan membuatkan mereka berfikir semula mengenai perangai yang dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Pengenalan kepada sistem hadiah boleh dipraktikkan seperti menetapkan pungutan bintang yang berjaya dikumpul si anak dalam seminggu mahupun sebulan.

“Tapi sebelum itu ibu bapa perlu bertanyakan senarai keinginan anak-anak, sama ada membabitkan permainan, makanan, perkara yang ingin dilakukan dan lokasi yang ingin dituju.

“Jangan lupa tetapkan bajet agar anak-anak tahu had permintaan mereka. Sejurus mereka berjaya mengumpul bintang mengikut jumlah yang ditetapkan, ibu bapa bolehkan merealisasikan satu daripada senarai permintaan kanak-kanak itu,” katanya.

Jelas Urmilah, bunyinya seperti rasuah tapi cara ini lebih baik berbanding memukul, menjerit mahupun menurut saja permintaan si anak.

Dari satu segi, ia membantu kanak-kanak mendengar dan mengikut peraturan dengan lebih baik, di samping mengajar mereka cara berusaha secara positif untuk mendapatkan sesuatu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

584 views