Buka Minda Golongan Muda

Bahan terbuang seperti surat khabar dan botol plastik banyak kegunaannya. Bukan saja boleh menghasilkan gubahan bunga, malah ia juga mampu dijadikan bahan hiasan yang menarik misalnya pokok bonsai.

Jika sebelum ini pokok bonsai hiasan banyak diperbuat daripada plastik dan kayu, kini ia juga boleh dihasilkan menggunakan surat khabar kita yang rekaannya tampak semula jadi.

Selaras dengan visi kerajaan negeri menjelang 2020 untuk menjadikan Melaka sebagai bandar teknologi hijau, Sharifah Noorakma Syed Abdullah, 26, turut mempunyai idea menarik menggunakan bahan terbuang yang dijadikan hiasan berharga.

“Penggunaan barangan terbuang sebagai bahan utama untuk membuka minda generasi muda hari ini.

“Sebelum membuang barangan terpakai, sebaiknya mereka perlu berfikir terlebih dulu secara kreatif sama ada ia boleh diubah menjadi hasil yang berguna atau tidak.

“Bukan hanya menarik, perkara lebih penting adalah hasil idea kreatif berkenaan dapat menjana pendapatan tinggi tanpa mengeluarkan modal besar,” katanya.

Cetusan idea bapanya, Syed Abdullah Syed Hussien dan ibunya, Sharifah Asma Syed Mohamed, pada mulanya mereka mencipta pokok bonsai kertas sebagai hobi saja.

Namun tanpa disangka, ia mampu menjadi produk perniagaan yang menjana pendapatan lumayan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang berkunjung ke galeri mereka.

Bukan hanya pengunjung tempatan, malah galeri yang menempatkan pelbagai barangan hiasan di Nur Al-Qhadri Unique Craft, Bandar Baru Sungai Udang, Melaka itu turut menarik perhatian pelancong asing.

Selain dijadikan produk perniagaan, mereka turut berkongsi ilmu dengan mengadakan kelas kraftangan menggunakan bahan terbuang kepada sesiapa yang berminat.

Idea yang datang mencurah-curah itu akhirnya berjaya menghasilkan pelbagai jenis produk menarik dan unik. Ia terhasil daripada bahan terbuang seperti surat khabar, botol kaca, plastik serta kotak sebelum diubah menjadi perhiasan rumah yang eksklusif.

“Minat dalam bidang seni kraftangan timbul selepas melihat kejayaan ibu bapa yang tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.

“Hanya kami bertiga yang menyiapkan barangan hiasan seperti cermin dinding, bakul hantaran, pokok bonsai, bunga telur dan tulisan khat untuk dijual,” katanya sambil menambah, cetusan kreatif keluarganya itu turut menarik perhatian pihak jabatan kerajaan dan swasta.

Produk kraftangan berkenaan kemudiannya dijadikan cenderamata kepada tetamu kenamaan ketika penganjuran majlis tertentu.

Pelbagai jenis produk yang dihasilkan turut dimuat naik ke untuk tatapan penggemar barangan kraftangan.

Perkhidmatan disediakan:

Rekaan produk mengikut kreativiti sebagai hadiah kepada tetamu kenamaan dalam pelbagai tema majlis anjuran pelanggan.

Membuat demonstrasi produk di karnival anjuran jabatan kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Mengambil tempahan bakul hantaran dan bunga telur.

Memberi ceramah kesedaran di sekolah, institusi pengajian tinggi serta masyarakat setempat mengenai panduan mencipta produk daripada bahan terbuang.

Secara tidak langsung, ia membantu mengurangkan masalah pembuangan sampah-sarap di kawasan persekitaran.

Antara kursus:

Pokok bonsai kertas.

Cermin hiasan dinding.

Tulisan khat sebagai perhiasan dinding.

Pasu bunga.

Bekas menyimpan alat tulis.

Bekas menyimpan surat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

672 views