Buka Minda Pelajar Perempuan

DI kawasan pergunungan Atlas yang sentiasa diliputi salji di tengah Maghribi, sekolah berasrama penuh dibina khas untuk pelajar perempuan dari kampung terpencil bagi membanteras masalah kemiskinan dan buta huruf.

Sebenarnya ada lebih 300 sekolah khas begini di Maghribi, di mana 30 sekolah lagi akan dibina tahun depan.

Ia menjadi rumah dan sekolah kepada hampir 16,700 pelajar perempuan yang kebanyakannya tinggal berjauhan daripada keluarga. Lebih 70 peratus berasal dari kawasan kampung.

“Ciri untuk kemasukan ke asrama? Sangat ringkas dan jelas – miskin dan tinggal di kawasan terpencil. Satu jawatankuasa mengkaji permohonan dan pemilihan pelajar dibuat berdasarkan dua kriteria tadi,” kata pengetua sebuah asrama di Kampung Ain Leuh, Souad Arkani.

Asrama yang tidak jauh dari sekolah itu menempatkan 35 pelajar perempuan.

Walaupun sudah berlaku sedikit perubahan dalam kod keluarga yang dikenali sebagai Mudawana – usaha yang digerakkan Raja Mohammed VI pada 2004 dan mendapat tentangan hebat daripada badan agama konservatif – namun ramai wanita masih dianggap sebagai warga negara kelas kedua di negara utara Afrika itu.

Di zon perkampungan konservatif, hanya satu daripada dua pelajar perempuan tamat sekolah menengah dan hanya dua daripada 10 pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah tinggi.

“Ibu bapa saya tinggal puluhan kilometer dari sini. Syukurlah ada rumah (asrama) ini, saya boleh belajar dalam keadaan yang selesa kerana di sini saya dijaga dengan baik. Sekolah pun dekat,” kata Khadija, 19.

“Mereka memang diberikan penjagaan yang sewajarnya dengan program khusus dari pagi hingga petang – sarapan, pergi ke sekolah, makan tengah hari pada jam 12.30, mengulang kaji dan lampu dipadamkan pada jam 10 malam,” kata Arkani.

Sekolah berasrama penuh itu dibiayai dan diuruskan Kementerian Pembangunan Sosial dan organisasi bukan kerajaan, Persatuan Kebajikan Islam (AIB).

Ain Leuh terletak di wilayah Ifrane, 300 kilometer di timur ibu kota Rabat. Ia terletak di tengah-tengah kawasan pergunungan yang dipenuhi pokok cedar
dan kerap bersalji pada musim sejuk.

“Cuaca akan mula sejuk pada November. Pelajar perempuan akan berada di rumah sepanjang minggu tetapi mereka boleh keluar berjumpa keluarga atau saudara mara terdekat pada hujung minggu,” kata Arkani.

Untuk berjumpa ibu bapa-nya, Khadija perlu mengambil ‘teksi besar’ (kenderaan yang lebih besar daripada teksi tapi kecil berbanding bas dan hanya memulakan perjalanan apabila cukup penumpang) sejauh beberapa puluh kilometer. Kemudian dia perlu berjalan sekurang-kurangnya sejam untuk sampai ke rumah.

Raja Mohammed VI menggalakkan sekolah berasrama penuh untuk pelajar lelaki dan perempuan sejurus selepas dia menduduki takhta pada 1999.

Antara sebabnya ialah dia mahu menebus kekurangan infrastruktur di kawasan luar bandar, tetapi berdasarkan pekerja di Ain Leuh, usaha berkenaan dimulakan pada 2003 tetapi ketika itu sumber kewangan sangat terhad dan Raja Mohammed mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan.

“Penduduk setempat, kementerian (pembangunan sosial) dan persatuan kami bersama-sama membantu daripada segi kewa-ngan walaupun kami terpaksa bergelut untuk seimbangkan bajet.

“Kami terpaksa buat pilihan yang kadangkala sangat sukar dan terpaksa pilih aspek paling mendesak iaitu makanan,” kata Naib Presiden AIB, Mohamed Bouyamlal.

Pengetua asrama hanya menerima 1,200 dirham (RM459) sebulan, lebih rendah daripada gaji asas di Maghribi RM532 sebulan.

Tetapi di sebalik semua kepayahan itu, hasilnya agak memberangsangkan. Pihak sekolah memberitahu kadar kejayaan pelajar perempuan menamatkan sekolah 80 hingga 100 peratus dan lebih separuh melanjutkan pelajaran ke universiti.

Berdasarkan rekod rasmi, secara keseluruhan kadar buta huruf di kalangan wanita kampung menurun daripada 64 peratus pada 2006 kepada 40 peratus pada 2011.

Kadar keciciran di sekolah luar bandar juga merosot daripada 14 peratus (2006) kepada 10 peratus tahun lalu. Undang-undang Maghribi mewajibkan semua kanak-kanak bersekolah sehingga umur 15 tahun.

Selain bersekolah, Ain Leuh juga menyediakan jaringan sosial baru supaya pelajar perempuan di asrama boleh bertukar fikiran dan membuka minda mereka.

“Ketika saya mula datang ke sini dulu, saya sangat pemalu. Asrama ini meluaskan panda-ngan saya dan saya sedar saya boleh menjadi diri sendiri dan berdikari.

“Kini saya ada cita-cita dan melihat masa depan dengan pandangan berbeza. Saya mahu jadi guru matematik,” kata Souad bangga. – AFP

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

971 views