Bukan Faktor Keturunan

Hormon berperanan penting untuk memastikan keremajaan dan kualiti kesihatan seseorang. Setiap manusia dilahirkan dengan hormon estrogen, progesteron, adrenalin, insulin dan sebagainya. Estrogen adalah hormon utama khasnya untuk wanita bagi menentukan pembentukan seks atau jantina individu.

Sekiranya, aras estrogen dalam badan tinggi, ciri-ciri wanita akan lebih menonjol. Estrogen adalah hormon utama yang menzahirkan sifat kewanitaan dan fungsi untuk membentuk tubuh badan wanita, payudara dan kitaran haid pada setiap bulan serta menjadi kunci terhadap kesuburan wanita.

Estrogen juga terdapat pada lelaki tetapi dalam jumlah yang kecil. Estrogen akan dialirkan oleh darah menuju pelbagai jaringan sel di seluruh badan, otak, faraj, buah pinggang dan lain-lain serta menimbulkan kesan tertentu sesuai dengan fungsi masing-masing. Ini berikutan, molekul estrogen akan melekat pada reseptor dan menghasilkan tindak balas pada organ.

Tetapi tahukah anda, hormon estrogen berlebihan mampu mendatangkan mudarat terhadap diri seorang wanita. Ya. Sebab itu penting hormon yang seimbang dalam badan setiap manusia.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar hormon adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh kelenjar endokrin yang memiliki kesan tertentu pada aktiviti organ lain dalam tubuh.

“Hormon estrogen berlebihan adalah keadaan di mana estrogen seseorang melebihi hormon progesteron. Keadaan ini menyebabkan estrogen akan mendominasi jika badan tidak menghasilkan hormon progesteron yang cukup.

“Jika keadaan ini berlaku, anda akan mendapat gejala seperti berat badan berlebihan, keguguran rambut, cepat letih, sukar hamil, jerawat, sentiasa lapar, sindrom ovari polisistik (PCOS) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan Prima Nora miliknya baru-baru ini.

Menurutnya, hormon estrogen berlebihan tidak disebabkan baka atau keturunan semata-mata tetapi lebih kepada gaya hidup serta amalan pemakanan seseorang.

“Cuba kita lihat zaman sekarang dengan 40 tahun sebelum ini. Zaman dahulu, tiada makanan segera, tiada penggunaan bahan kimia, perasa atau pewarna, tiada gadget serta udara yang bersih.

“Sekarang semuanya sudah berubah. Disebabkan mahu cepat dan mudah lebih ramai yang tidak ambil peduli mengenai tahap kesihatan mereka. Sebab itu kita mudah tertekan (stres).

“Lihat semula bagaimana gaya hidup, jenis makanan yang diambil, produk apa yang digunakan yang menyumbang kepada pelbagai jenis kimia berbahaya yang kita tidak sedar,” katanya.

Beliau berkata penggunaan pil perancang juga antara penyebab hormon estrogen berlebihan yang mengandungi xenoestrogens yang juga terdapat pada produk seperti kosmetik serta produk berbuih.

Xenoestrogen adalah ‘hormon xeno’ yang menyerupai hormon estrogen dan ia terdiri daripada bahan asli yang diperbuat daripada tauhu atau tempe atau bahan sintetik seperti bahan kimia bagi menghasilkam plastik dan boleh diperoleh daripada persekitaran (makanan, air, kimia daripada industri pertanian dan penternakan).

Dalam kata lain, ia adalah estrogen palsu dalam badan. Ia boleh merangsang atau mengganggu fungsi estrogen dalam badan. Risiko serius bagi wanita adalah kanser payudara, rahim, endiometrosis dan fibroid. Bagi lelaki ia boleh menyebabkan kanser prostat, serangan sakit jantung, angin ahmar dan nyanyuk.

Kesan pada lelaki dan wanita pula merangkumi obesiti, kencing manis dan ketidaksuburan.

“Ia juga berisiko menyebabkan kanser payudara, prostat dan kanser testis, obesiti, endometriosis, keguguran, diabetes, ketidaksuburan dan sebagainya. Tidak ketinggalan, kebanyakan produk makanan di negara ini juga mengandungi Genetically Modified Organism (GMO). GMO adalah haiwan atau tumbuhan yang dihasilkan melalui teknik bioteknologi penggabungan gen yang turut dikenali sebagai ‘genetic engineering’.

“Ia adalah proses pengambilan gen daripada satu spesies dan memasukkannya ke dalam spesies lain bertujuan menghasilkan suatu bentuk sifat atau ciri yang diingini,” katanya.

Kesan pengambilan produk makanan yang mengandungi GMO boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan lantas memberi kesan seperti kerosakan sistem imunisasi, ketumbuhan sel berpotensi prakanser, peningkatan kepadatan hati dan sebagainya.

“Berita baik adalah kebanyakan elemen buruk ini boleh dikawal. Dengan pengetahuan yang sudah ada, kita berupaya mengehadkan tahap pendedahan kepada bahan kimia yang berbahaya dengan kadar segera. Malah tubuh kita walaupun sering diabaikan ia berupaya kembali pulih dengan cepat sekiranya bahan toksik ini disingkirkan.

“Demi masa depan generasi kini dan akan datang, kita perlu memberi perhatian pada faktor sekeliling yang memberi kesan pada dominasi estrogen dan mengambil langkah bagi mengatasinya,” katanya.

INFO

Jenis hormon dalam badan manusia:-

Melatonin

Berfungsi sebagai antioksidan dan mengawal tidur

Serotonin

Berfungsi mengawal mood, nafsu makan dan tidur

Tiroid

Berfungsi untuk peningkatan metabolisme basal dan mempengaruhi sintesis protein.

Adrenalin

Berfungsi untuk meningkatkan bekalan oksigen dan glukosa ke otak dan otot (dengan meningkatkan denyut jantung), meningkatkan katalisis daripada glikogen dalam hati, mencegah kerosakan lipid dalam sel lemak, serta menekan sistem kekebalan.

Dopamin

Berfungsi meningkatkan denyut jantung dan tekanan darah, menghambat pelepasan prolaktin dan TRH dari hipofisis anterior.

Gastrin

Berfungsi untuk sekresi asidoleh sel parietal di dalam perut.

Hormon pertumbuhan (HGH)

Berfungsi merangsang pertumbuhan dan reproduksi sel, melepaskan faktor pertumbuhan 1 mirip insulin daripada hati

Insulin

Berfungsi untuk mengawal kadar gula darah dengan cara mengambil glukosa, glikogenesis dan glikolisis di hati dan otot dari darah.

Testosteron

Berfungsi sebagai hormon seks yang merangsang pematangan organ seks lelaki, kantung zakar, pertumbuhan janggut, pertumbuhan otot dan kekuatan, dan peningkatan kepadatan tulang, meningkat ketajaman pemikiran, menambah keyakinan dan berfikiran positif.

Progesteron

Berfungsi menenangkan jiwa, meningkat pembuangan air dalam badan dan mencegah kanser menyerang payudara dan rahim. Ia bertindak mengimbangkan kesan hormon berlebihan. Selain itu ia menaikkan faktor pertumbuhan epidermal, mengurangi kejang dan relaks otot polos (memperluas saluran pernafasan dan mengatur lendir), antiinflamasi, mengurangi kandung hempedu, normalisasi darah dan mencegah pembekuan pembuluh darah.

Estrogen

Adalah hormon seks wanita yang berfungsi merangsang pertumbuhan organ sex sekunder, mengatur pusingan menstruasi, menguatkan tulang, mencegah serangan sakit jantung, kesan kedutan pada kulit dan banyak lagi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

159 views