Bunga Net Pembungkus

BIASA dilihat selepas membeli buah, kain net yang dijadikan pembungkus sering dibuang ke dalam tong sampah kerana dianggap sudah tidak berguna.

Namun bagi mereka yang kreatif, setiap barangan terpakai atau sampah boleh diubah menjadi hasil yang unik dan menarik seperti gubahan bunga untuk dijadikan hiasan rumah.

Menghasilkan gubahan bunga tidak hanya tertumpu pada penggunaan material biasa seperti stokin atau tisu, namun barangan terbuang termasuk kertas akhbar, plastik dan net pembungkus buah juga boleh digunakan untuk menghasilkan rekaan lebih kreatif.

Bagi Liza Abu Nawai yang gemar menghasilkan gubahan menggunakan bahan terbuang turut berpendapat ia dapat memberi pulangan yang lebih bermakna.

Selain bahan terbabit mudah dicari, kos menghasilkannya juga jauh lebih murah sekali gus membuatkan Liza lebih menyukai gubahan bunga yang dihasilkan daripada barang terbuang.

Jika bijak memanfaatkan bahan yang ada di sekeliling, ia mampu mengubah barangan yang tidak berguna kepada hiasan lebih bernilai dan cantik.

“Mudah saja membuat gubahan bunga daripada net pembungkus buah asalkan kreatif.
Caranya dengan membuang bahagian atas net untuk menghasilkan rupa bentuk bunga yang lebih kemas.

“Kemudian, potong net menjadi empat bahagian dan setiap helai dilipat menjadi dua lapisan. Untuk tampak lebih kemas, gunakan pelilit hijau di bahagian lidi atau dawainya.

“Bunga yang siap digubah boleh dihias di dalam pasu mengikut cita rasa masing-masing,” jelas Liza yang gemar membuat cubaan menggunakan bahan buangan untuk dijadikan hiasan rumah.

Katanya, bunga daripada net pembungkus buah itu juga boleh dijadikan bunga telur kerana ia tampak menarik dan sesuai diberikan kepada tetamu di majlis perkahwinan atau kenduri kesyukuran.

Selain dapat membantu mengurangkan pembuangan sampah, gubahan bunga yang dihasilkan daripada net pembungkus buah juga mudah dijaga dan tampak lebih kreatif.

Penjagaannya sama seperti bunga hiasan lain dan ia harus dibersihkan dari semasa ke semasa agar bebas daripada habuk.

Terima kasih:

Perniagaan Perhiasan dan Perabot Gemilang, No 7B, Jalan Mangga 1, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,808 views