Bunga Sabun Penyeri Majlis

KREATIVITI bukan hanya terhad kepada bentuk gubahan digunakan tetapi turut merangkumi bahan hiasan bagi memastikan majlis itu nampak istimewa dan mungkin berbeza daripada yang lain.

Malah, bunga memainkan peranan bagi menghasilkan rekaan gubahan unik, bergantung kepada jenis bunga yang digunakan serta cara persembahannya.

Bukan saja majlis perkahwinan, gubahan bunga turut menjadi pilihan cenderahati menarik untuk diberikan sama ada kepada rakan sempena hari jadi, kenaikan pangkat, hadiah untuk si ibu sempena kelahiran bayi ataupun pelbagai lagi majlis berkaitan.

Tidak kira sama ada menggunakan bunga segar, bunga plastik mahupun bunga tiruan yang direka sendiri, penggunaannya tetap menyerikan persekitaran serta menyejukkan mata memandang.

Mungkin ramai yang makin melupakan penggunaan bunga sabun sebagai sebahagian daripada bahan gubahan unik ini tetapi bagi pengasas laman dalam talian My Little Roses, Yang Suhaini Ali, 49, dia gemarkan bentuk gubahan sebegini.

“Saya gemarkan tatarias gaya Inggeris dan melalui penggunaan bunga sabun ini, saya boleh menyampaikan bentuk gaya gubahan bersesuaian dengan konsep berkenaan malah modal yang diperlukan untuk menyediakannya juga tidak mahal.

“Oleh itu, saya cuba menjadikan gubahannya lebih menarik dengan mereka bunga hiasan untuk meja makan ataupun dijadikan hiasan bagi menyerikan lagi sesuatu gubahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Berkongsi cara pembuatan bunga berasaskan sabun ini, Yang Suhaini berkata, cara penyediaannya cukup mudah iaitu hanya memerlukan sabun buku, sedikit air dan tepung jagung.

Sabun buku yang digunakan perlu diparut terlebih dulu dan kemudian dikisar halus hingga menjadi seperti tepung.

Kemudian semua bahan itu perlu dicampur hingga menjadi doh dan tidak lagi melekat pada jari ataupun sehingga ia boleh dicanai mengikut bentuk bunga yang diingini.

“Kedengarannya cukup mudah untuk dilakukan tetapi perkara yang menjadi keluhan ramai pihak adalah proses penyediaan kelopak bunganya yang memerlukan masa agak lama untuk disiapkan.

“Setiap kelopak yang dihasilkan perlu dikeringkan dalam suhu bilik sehingga kering bagi mengelakkan bahan terbabit berkulat dan rosak. Tetapi pastikan ia masih boleh dibentuk hingga membentuk kudup bunga ataupun bunga mekar sebelum dikeringkan sepenuhnya,” katanya.

Mungkin antara kelemahan bunga sabun adalah warna yang diketengahkan tidak banyak tetapi ia masih boleh diperbaharui dengan menggunakan campuran cat air terutama jika menginginkan bunga yang berwarna terang.

“Jika disimpan dalam suhu dingin, gubahan bunga sabun ini boleh bertahan lama, begitu juga dengan haruman sabun berkenaan berbanding jika terdedah kepada suhu tinggi yang boleh menyebabkan lebih kesan kerosakannya.

“Walaupun bahan yang digunakan tidak mahal, disebabkan proses menyediakannya agak rumit, kebiasaannya harga yang ditawarkan juga agak tinggi. Ini terutama bergantung kepada bentuk bunga yang diingini tetapi masih lagi dikategorikan sebagai mampu milik khususnya bagi mereka yang tahu menghargai keunikan bentuk gubahan itu,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,759 views