Burung Hantu Karya Pertama

Manusia tidak pernah lekang dengan segala macam ujian dalam kehidupan. Sudah namanya manusia, apa jua yang dilakukan pasti ada halangan dan hanya kecekalan serta usaha yang dapat mengatasinya.

Cekal semata-mata mungkin tidak sesuai untuk menggambarkan apa yang diharungi Nur Shereen Ahmad Tajuddin dalam laluannya mencari kepuasan diri.

Cloth Such hadir selepas dirinya dilanda pelbagai masalah dan seni lakaran (doodling) ibarat cahaya yang menerangi kala kegelapan.

“Tahun lalu agak sukar bagi saya dengan masalah peribadi, keluarga serta keadaan kesihatan ibu yang tidak begitu baik. Saya mulanya melakar dengan pen Sharpie bagi menghilangkan rasa bosan, tapi lama-kelamaan ia menjadi medium melepaskan tekanan.

“Saya seperti berada di dunia lain kala melakar dan menyiapkan lukisan. Tidak tergambar kepuasan diri apabila berjaya menyudahkan satu-satu lukisan itu hingga kini ia berkembang sebagai perniagaan,” katanya.

Pada awal pembabitannya, ibu kepada dua cahaya mata berusia lima dan dua tahun ini tertumpu kepada imej haiwan khususnya burung hantu, zirafah dan gajah.

“Anak lelaki saya banyak memberikan inspirasi terutama dalam lakaran pertama saya. Dia baru belajar bercakap jadi antara haiwan yang paling kerap diungkapkannya ialah owl (burung hantu).

“Untuk memudahkan lagi percakapannya, saya mula melakar bentuk burung hantu dan lama-kelamaan banyak subjek saya terarah kepada haiwan itu.

“Saya seterusnya cuba mengembangkan hasil seni itu ke atas pinggan, tapi hasilnya tidak memuaskan kerana lakaran itu tidak tahan lama. Saya kemudian beralih ke poskad dan kad ucapan lalu memberikannya kepada beberapa teman rapat,” katanya yang mengakui tiada asas dalam bidang seni lukisan sebelum ini.

Cubaan demi cubaan dilakukan dan beberapa subjek lain menjadi sasarannya hingga beberapa rakan kerap menggesanya mewujudkan perniagaan lakaran itu pada fabrik seperti kemeja-T.

“Bersama seorang rakan perniagaan, kami wujudkan Cloth Such dengan tujuan awal menghasilkan kemeja-T serta beberapa produk lain berasaskan fabrik.

“Apa yang kami lakar dan lukis itu dipindahkan kepada medium digital dengan memanipulasi warna lalu dicetak di atas kanvas. Tapi, melihatkan pasaran kemeja-T yang meluas di Malaysia, kami mencari peluang lain.

“Saya mula menimbang semula sasaran awal kami iaitu menjadikan label Cloth Such ini antara jenama produk barangan hiasan dalaman rumah utama di Malaysia.

“Generasi hari ini bangga dan lebih gemarkan hiasan rumah unik, jadi kami ambil cabaran itu untuk tampil dalam pasaran.

“Selain lakaran serta lukisan di kanvas, kami mahu pasarkan hasil seni ini pada alas meja, cadar, sarung kusyen, sofa, kertas dinding dan seumpamanya,” katanya.

Laman sosial nyata mengembangkan perniagaannya dan ruang maya di Facebook serta Instagram menjadi sumber perhubungan antara Shereen dan pelanggannya.

“Saya tidak berhasrat untuk bersaing dengan yang lain, khususnya nama besar dalam industri produk barangan hiasan rumah. Saya lakukan ini atas faktor minat dan kepuasan diri.

“Saya rasa gembira apabila hasil kerja dihargai dan saya mahu mengubah persepsi masyarakat kita bahawa produk tempatan tidak berkualiti atau mahal harganya,” tegasnya.

Nyata, inspirasi dan aspirasinya itu selain hasil kerja unik dan eksentrik – membuatkan wanita berusia 32 tahun ini tersenarai antara ‘duta kecil’ Levi’s menerusi kempen Revel Woman ketika ini.

“Kempen Levi’s ini membuka banyak peluang untuk saya mencuba perkara baru yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini. Selain inginkan wanita selesa dengan dirinya sendiri, kempen ini sinonim dengan hidup saya iaitu saya cuba menggalakkan lebih ramai wanita tampil berkeyakinan dan selesa dengan apa yang dilakukannya.

“Cabaran pasti ada dan saya percaya setiap halangan dapat diatasi andai seseorang wanita itu berusaha ke arah mencari penyelesaian.

“Tapi, jika kita minat dan gemar melakukan sesuatu, pasti kita akan berusaha sedaya upaya untuk melihat hasilnya.

“Saya percaya setiap kesukaran yang saya lalui dulu kini memberikan hasil yang lebih baik. Tiada gunanya kita asyik melihat masa lampau kerana ia hanya mengikat diri untuk melangkah ke depan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,600 views