Busana Muslimah Ala Amerika

Perkembangan pesat industri fesyen busana Muslimah hari ini tidak hanya berlaku di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi turut menyinar di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sehingga muncul ramai pereka fesyen wanita beragama Islam yang lahir daripada aktiviti pertunjukan fesyen di sana.

Menyedari kebanyakan pereka wanita ini mengetengahkan rekaan moden dan versatil mengikut peredaran fesyen semasa, ramai antara wanita Islam AS kini beralih kepada gaya yang lebih anggun dengan mengekalkan tuntutan syariah.

Oleh kerana pemakaian tudung di Amerika sebagai sesuatu yang baru dan masih belum berkembang seperti populariti seluar denim, satu pertandingan hijab gaya AS yang pertama diadakan di Chicago, diilhamkan peguam hak asasi manusia, Shaz Kaiseruddin.

Dengan pelbagai gaya bertudung diperagakan barisan model di pentas peragaan, ia menunjukkan fesyen Muslimah menganjak ke satu tahap yang lebih berani menjelang abad ke-21 serta memberi penghormatan kepada wanita Islam.

Pertandingan ini bukan saja terbuka kepada pereka fesyen tetapi juga bukan pereka bagi mengetengahkan satu gaya hijab ala Amerika, sekali gus menolak keganasan, kebencian serta diskriminasi yang berlaku di antara penduduk Islam dan bukan Islam.

“Di Amerika Syarikat, sebahagian besar Muslimah menggayakan fesyen tudung mengikut gaya Arab dipadankan pakaian moden Amerika. Namun kami tiada gaya tersendiri sama ada mengikut cara barat atau gaya Amerika. Seperti Arab dengan penggayaan tudung tersendiri, Malaysia mempunyai stail ikatan yang unik begitu juga India,” katanya.

Menerusi pertandingan ini, Shaz berharap dapat menghasilkan mod hijab Amerika yang bukan saja menjadi identiti Muslimah di sana, malah di seluruh dunia.

Pertandingan dimenangi Sarah Musa, pelajar Institut Teknologi Fesyen, Chicago yang menghasilkan gaun kain perca rona kuning bersama jaket merah menutupi leher.

Menariknya, Sarah menghasilkan rekaan tudung ala serban daripada kain kait. Dia memenuhi kehendak juri dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka, tangan dan kaki malah pakaian longgar dan tidak jarang.

Sarah menerusi temu bual yang disiarkan dalam The Chicago Tribune menjelaskan, bagi mereka yang pernah mengkaji undang-undang syariah mendapati wanita wajib menutup aurat.

“Sama ada wanita memilih untuk memakai topi, baju berkolar penyu menutupi leher atau gaya serban, ia dikira masih berhijab. Apa juga kreativiti dalam penggayaan fesyen harus memenuhi kehendak syarak, jadi terpulang kepada pereka untuk menghasilkan rekaan mereka,” kata Sarah.

Pemenang kedua pula dimenangi pereka Yasmeen Sabir yang menghasilkan selendang tropika dipadankan jaket dan seluar denim.

Pertandingan diadili tokoh terkenal seperti tenaga pengajar Sekolah Rekaan Parsons New York, Shireen Soliman; Pengarah Program Pengajian Dunia Islam Universiti DePaul, Aminah McCloud dan juri jemputan America Next Top Model, Derek Khan.

Selain pertandingan gaya tudung, Amerika tidak sunyi daripada pertunjukan fesyen yang kini diperluaskan kepada pertunjukan fesyen Muslimah seperti Fashion Fighting Famine yang diadakan sejak 2007 dan kini memasuki tahun keenam.

Selain mampu mencungkil bakat pereka muda, ia menjadi medan meluahkan kreativiti, sekali gus mengangkat fesyen Muslimah ke tahap lebih tinggi. Antara yang sering mengambil bahagian adalah pereka dari Pakistan yang sudah lama menetap di Amerika iaitu Shalimar dengan label Needlez by Shalimar.

Tahun ini Shalimar menampilkan koleksi separuh formal dan baju pengantin di pertunjukan fesyen busana Muslimah di AS.

Bagi jenama Abaya Addict yang diperkenalkan pada 2010 di Chicago dan Dubai, ia menawarkan koleksi kaftan dan abaya yang lebih moden dan versatil serta tudung pelbagai gaya. Pereka bersaudara, Nadia dan Nora dengan label Muslimah Rayan mengkhususkan rekaan untuk pakaian petang berwarna-warni berkonsepkan retro. Kedua-duanya mengambil inspirasi daripada tema berbeza.

Nadia misalnya lebih menggemari penampilan vintaj manakala Nora dengan pakaian berwarna terang. Gabungan kedua-duanya mewujudkan busana yang harmoni dan sempurna.

Kolaborasi pasangan suami isteri dengan mengetengahkan label Muslimah Inayah menawarkan busana sedia dipakai berkonsepkan gaya vintaj, etnik dan kontemporari. Diwujudkan sejak tiga tahun lalu, label ini mempunyai keistimewaan dari segi potongan minimalis.

Jenama Madamme Bk yang terkenal dengan koleksi pakaian renang dan olahraga Muslimah dihasilkan dua pereka, Vanessa Lourenco dan Asmah Asmed yang kini terjual di tiga benua manakala label Mohajababes mengetengahkan rekaan kaftan etnik dihiasi manik yang dihasilkan pereka Afra di California dan London pada 2011.

Fesyen Muslimah menjadi ikutan

Fesyen Muslimah bukan saja turut mempengaruhi penampilan seseorang menerusi pemakaian tudung tetapi juga pakaian mereka. Ini boleh dilihat bagaimana seseorang itu berani memperkenalkan ikatan selendang atau tudung sehingga ia menjadi ikutan di seluruh dunia.

Di bawah disertakan beberapa nama yang semakin dikenali menerusi penampilan bertudung mereka.

Hana Tajima

Remaja berdarah kacukan Jepun Inggeris ini berjaya mewujudkan satu ledakan baru dalam fesyen busana Muslimah menerusi gaya bertudung yang diperkenalkan menerusi laman YouTube.

Bermula daripada hobi menulis blog, gaya bertudung ala Hana Tajima semakin dikenali di seluruh dunia sehingga memutuskan mempunyai label pakaian sendiri, Maysaa.

Imaan Ali

Sibuk meneruskan pengajian sebagai mahasiswa jurusan ilmu politik di Universiti Michigan, AS, Imaan dikenali kerana penampilannya yang unik. Dia memperkenalkan gaya tudung ala serban dipadankan blaus dan seluar dengan mengetengahkan ciri tersendiri.

Gonul Kolat

Pereka fesyen dari Turki ini masih menebal dengan rekaan gaya Turki iaitu kot labuh dipadankan seluar panjang mengembang. Seperti mana wanita Turki yang lain, Gonul gemar memakai selendang labuh diikat ke belakang.

Noor Tagouri

Gadis berumur 19 tahun berketurunan Libya dan Amerika ini bertugas sebagai penyampai radio di radio CBS, Washington. Dia kelihatan begitu versatil dan moden apabila memakai selendang segi tiga yang dililit sederhana menggunakan pashmina ditambah aksesori.

Gayanya bukan saja nampak ringkas tetapi menjadi ikutan kerana kemas dan senang digayakan. Selain aktif menjadi penyiar radio, Noor Tagouri banyak berinteraksi menerusi media sosial seperti Twitter, Facebook dan YouTube.

Yasemin

Yasemin yang begitu meminati bidang seni sering memuat naik tutorial solekan serta gaya pemakaian tudung di YouTube. Dia yang bekerja sebagai penghias kek berjaya mencetuskan kegilaan terhadap gaya hijab yang diperkenalkannya.

Baginya, imaginasi adalah satu cara meneroka diri sama ada dalam bidang pekerjaan, solekan atau gaya hijab. Ramai menyukai gaya cantik ala Yasemin atau sering dipanggil Yaz The Spaz.

Wanita yang mengaku mempunyai hobi bersolek dan berdandan ini mempunyai wajah menawan serta mata yang galak bersinar dengan pemakaian celak tebal.

Dia mula dikenali dalam kalangan remaja bertudung dengan nama YazTheSpaz89. Walaupun wajahnya kelihatan seperti wanita Arab, Yasemin berasal dari Turki.

Rabia Zargarpur

Pereka fesyen ini mempunyai label pakaian Rabia Z serta pernah digayakan menerusi Minggu Fesyen London 2009. Apa yang membuatkan dia menjadi perhatian apabila sering memakai tudung dengan tambahan skaf pada leher yang berfungsi sebagai bandana.

Dina Tokio

Inspirasi gayanya cenderung kepada selebriti Kim Kardashian, Nicky Minaj dan si kembar Olsen. Dina gemar menggunakan warna seperti semula jadi, keperangan atau perang cair dalam setiap penampilan serta menggunakan fabrik bermotif. Seperti kebanyakan penulis blog fesyen, Dina mempunyai label sendiri iaitu Lazy Doll.

Dian Pelangi

Di Indonesia, pereka muda Dian Pelangi begitu terkenal dengan fesyen berwarna-warni. Dia sering tampil ceria dengan padanan busana dan tudung serta rajin mengemas kini blog dan Instagram miliknya. Tidak hairan mengapa wanita ini sering menjadi idola dalam berfesyen.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

942 views