Busana Sesuai Tutup Kekurangan

Semuanya serba sempurna dan mengasyikkan. Memandangnya juga membuatkan mata tidak jemu menatap. Bukan saja dari segi solekan malah busana yang membalut tubuh mempelai tampak begitu anggun dan ‘kena’ dengan tubuh si pemakai walaupun dia bukanlah seorang yang langsing atau tinggi lampai.

Justeru, apakah yang membuatkan penampilan ratu sehari berbeza? Selain warna pakaian serta mengikut tema, antara faktor terpenting adalah memakai padanan mengikut bentuk tubuh.

Ini diakui perunding perkahwinan yang juga pemilik Zaifie Zainal Kuala Lumpur (ZZKL), Zaifinidza Zainal Abidin yang menjelaskan, pemilihan potongan busana memainkan peranan penting yang bukan saja menyerlahkan keanggunan wanita tetapi menutup kekurangan si pemakai. Pakaian yang membuatkan wanita selesa tentunya akan meningkatkan keyakinan diri sekali gus menjadikan mereka lebih bergaya ketika bersanding.

Berpengalaman menghasilkan rekaan sejak 2001, ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, penting bagi pereka mengetahui jenis tubuh pelanggan sebelum membuat lakaran. Pada asasnya, terdapat empat jenis bentuk badan utama iaitu bentuk epal, pear, segi empat dan jam pasir.

“Wanita yang memiliki tubuh berbentuk epal biasanya agak rendah dan memiliki pinggang besar. Untuk itu, mereka dinasihatkan memakai baju berleher bulat bukannya penyu kerana ia akan menampakkan kesan lebih berisi. Untuk busana pengantin pula, elakkan memberi lebih perincian manik atau sekuin pada pinggang sebaliknya menambah perincian pada leher bagi mengelak tumpuan pada pinggang dan perut. Pilihan warna pula haruslah cerah dan terang pada bahagian atas manakala bahagian bawah lebih gelap atau pusam,” katanya.

Wanita bertubuh pear pula seharusnya mampu menyeimbangkan bahagian tubuh atas dan bawah dengan mengelak memakai pakaian berwarna gelap pada bahagian atas. Untuk pengantin sebegini, pakaian berpotongan kembang bawah mampu menutup kekurangan diri. Sebaiknya pilih busana berbentuk leher V dan berlengan panjang untuk menyeimbangkan bentuk tubuh.

Walaupun tidak ramai wanita memiliki bentuk badan segi empat, ada beberapa prinsip yang harus dielakkan dalam pemilihan busana pengantin antaranya pakaian dengan jenis fabrik nipis dan ringan serta terlalu banyak perhiasan. Sebaliknya pilih gaun dengan bentuk lebih feminin untuk memaksimumkan bentuk tubuh.

Jelas Zaifinidza, wanita bertubuh jam pasir dikatakan sangat bertuah kerana mampu mengenakan sebarang jenis potongan pakaian. Mereka yang memiliki ciri ini mempunyai bentuk dada bidang, pinggang ramping sehingga kelihatan sangat seksi.

“Bagi mempelai yang memiliki bentuk badan sebegini, saya sarankan mereka memilih gaun berbentuk kembang (princess) atau empayar bagi menonjolkan kelebihan tubuh. Elak gaun lurus kerana akan menutupi kelangsingan badan mempelai,” katanya yang membuka butik di rumah di Cheras Utama, Kuala Lumpur.

Ada juga pelanggan mempunyai tubuh dan payudara besar meminta nasihat jenis pakaian sesuai untuk mereka. Wanita sebegini sesuai mengenakan pakaian berbentuk empayar atau bertali pada bahu. Mereka juga perlu mengelak memakai gaun menutup leher kerana ini akan mencipta kesan dada yang lebih besar. Keadaan ini berbeza bagi wanita bertubuh comel dan memiliki payudara kecil. Mereka digalakkan memilih busana berbentuk leher V dan tidak terlalu ketat kerana akan menonjolkan kekurangan diri. Elak memilih pakaian dengan perincian terlalu banyak pada bahagian dada seperti renda atau reben.

Selain bijak menghasilkan potongan yang kena dengan tubuh mempelai, jelas Zaifinidza, pemilihan fabrik juga sangat penting terutama bagi mereka yang bertubuh besar. Ini kerana ada sesetengah fabrik seperti satin sangat menonjol sehingga menyebabkan terdapat penonjolan pada bahagian yang tidak sepatutnya.

“Fabrik sifon dengan tidak terlalu banyak perhiasan manik serta renda sesuai digayakan mempelai. Sebaiknya bincang dengan perunding majlis perkahwinan bagi mendapatkan hasil yang diinginkan,” ujarnya yang mengakui gaun pengantin berpotongan empayar dan A masih menjadi trend terkini raja sehari.

Dari segi potongan, terdapat beberapa keadaan mempelai tidak digalakkan mengenakan busana berpotongan pendek seperti kebaya terutama bagi mereka yang memiliki tubuh gempal dan berisi. Sebaliknya pilih baju berpotongan labuh menutupi pinggul serta jenis fabrik lembut seperti sifon yang boleh menyembunyikan kekurangan tubuh.

Zaifinidza yang mulanya memulakan perniagaan dengan menerima tempahan gubahan hantaran, kini menyediakan pelbagai perkhidmatan lengkap di bawah satu bumbung. Antaranya sewa serta tempahan baju pengantin, mekap dan andaman, pelamin, hiasan bilik, fotografi dan rekaan kad perkahwinan.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang :
atau Facebook Zaifie Zainal Creation.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,658 views