Busana Tampak Mewah
SEBELUM memilih pakaian pengantin yang sesuai, perhatikan terlebih dulu warna kulit, ketinggian serta bentuk tubuh bakal raja dan ratu sehari.
Ini bagi mengelakkan tersilap membuat pilihan persalinan sesuai yang bukan saja mencacatkan penampilan di atas pelamin, malah akan menjadi buah mulut tetamu yang menyaksikannya.
Bahkan penampilan yang ditonjolkan turut akan diabadikan dalam rakaman gambar untuk disimpan sebagai kenangan indah yang boleh diceritakan kepada anak-anak.
Pemilik Farrah Rizs Bridal, Farrah Lina Ramlan berkata, setiap bakal pengantin harus mengetahui warna kulit dan ketinggian mereka sebelum memilih rekaan baju pengantin.
“Jika bakal pengantin memiliki warna kulit yang gelap, sebaiknya pilih rona busana yang lembut seperti biru dan merah jambu berbanding mereka yang berkulit cerah.
“Ini kerana pilihan rona kegemaran dan sesuai dengan ton kulit akan menonjolkan lagi kesempurnaan dimiliki pasangan pengantin ketika bersanding,” jelasnya mengenai pemilihan tema sesuai untuk bakal pengantin.
Tambahnya, bukan hanya warna saja malah ada sesetengah pasangan yang tidak tahu memilih gaun sesuai dengan bentuk badan dan ketinggian yang dimiliki.
Apabila pengantin perempuan memiliki ketinggian rendah, elakkan daripada memilih gaun yang mempunyai potongan kembang daripada bahagian pinggang ke bawah kerana ia akan menampakkan lagi kekurangan diri mereka.
Berbanding pemilik bertubuh besar, fabrik keras lebih sesuai digayakan kerana ia tidak memeri dan menonjolkan lemak yang terdapat di bahagian tertentu tubuh.
Perlu diingat, persalinan yang dilihat sempurna di tubuh model belum tentu ia sesuai dengan anda. Justeru, jangan memaksa diri, sebaliknya pilih busana yang boleh menonjolkan kecantikan dan menutup kekurangan tubuh.
“Selain pemilihan busana dan rona sesuai, sering diperhatikan bakal pengantin gemar memilih tema warna yang sama untuk persalinan, pelamin, khemah dan pakaian ahli keluarga.
“Penting di sini untuk anda memilih tiga warna berbeza untuk pelamin atau khemah, baju pengantin dan ahli keluarga agar keanggunan anda pada hari bahagia tidak akan ditenggelami dengan pilihan ton yang sama,” tegasnya yang menjalankan perniagaan berasaskan perkahwinan secara dalam talian.
Tambahnya, untuk sedikit kelainan, ada antara gaun pengantin yang direkanya akan ditambah dengan elemen perincian seperti labuci, manik mutiara dan batu swarovski bagi menonjolkan gaya mewah pasangan pengantin baru.