Cabaran Anjur Fiesta Antarabangsa

Penganjurannya cukup gah kerana berjaya mengumpulkan pengendali belon udara panas dari seluruh dunia.

Sememangnya Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya amat dinantikan pengunjung tempatan setiap tahun.

Kepelbagaian bentuk serta rekaan belon udara panas diketengahkan bukan saja memukau sesiapa yang memandang. Malah, ia turut menjadi sebutan mereka yang pernah menaikinya sepanjang fiesta berkenaan.

Di sebalik acara berkenaan, kenali keluarga yang semuanya wanita yang kini menggalas tugas selepas pemergian individu yang menguruskan penganjurannya, Khairudin Abdul Rani, baru-baru ini.

Ketiga-tiga wanita tabah ini meneruskan warisan peninggalan suami dan bapa tersayang bagi memastikan aktiviti sebegini tidak terus dipandang sepi penggemar belon udara panas tempatan.

Menurut pengarah acara berkenaan, Nur Izzati Khairudin, 26, dalam usia yang masih muda dan baru setahun jagung bertatih dalam dunia pe–ngendalian acara membabitkan belon udara panas, ia ternyata memberikan banyak cabaran kepadanya.

“Pelbagai perkara perlu difikirkan bagi memastikan acara tidak tergendala terutama dari segi logistik memandangkan semua pengendali belon udara panas ini memiliki saiz belon udara yang sangat besar.

“Ia bukan satu perkara mudah untuk membawa belon udara berkenaan ke sini memandangkan jarak antara negara yang jauh,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Malah, ia tidak habis di situ saja kerana penjagaan belon udara panas juga perlu diutamakan. Setiap kakitangan yang ditugaskan untuk membantu pengendali belon udara perlulah seorang yang mahir terutama dalam mengendalikan dan menyimpan belon udara.

Terdapat cara khusus untuk membuka dan melipat belon udara terbabit bagi memastikan ia tidak terjejas atau koyak sebelum acara berlangsung.

“Semua aspek ini amat dititikberatkan pengendali belon udara panas antarabangsa. Boleh dikatakan mereka cerewet, tetapi ia bertempat kerana harga belon udara panas sangat mahal.

“Oleh itu, penting bagi kakitangan sokongan mengetahui cara terbaik yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan masalah ketika acara berlangsung,” katanya.

Nur Izzati berkata, walaupun sudah terdedah kepada sukan udara ini pada usia masih kecil, bukan bermakna ia menjadi satu tugas yang mudah untuk melakukannya sendiri.

Sama seperti memiliki kenderaan darat yang memerlukan lesen, pengendali belon udara panas juga perlu memiliki lesen bagi membolehkannya menerbang–kan belon panas ke udara.

“Buat masa ini saya belum mempunyai lesen berkenaan, namun dalam proses memperolehnya, insya-Allah dalam masa terdekat.

“Untuk menjadi pengendali belon udara panas bukan satu tugas mudah dan ia sangat teknikal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sebelum, ketika dan sesudah mendaratkan belon berkenaan,” katanya.

Kebiasaannya ketika fiesta berlangsung, acara penerbangan belon udara panas secara bebas hanya boleh dilakukan dua kali saja dalam sehari bergantung kepada keadaan angin dan cuaca setempat.

Kali pertama ialah pada jam 7.30 pagi dan kemudian, pada jam 6 petang. Waktu begini sesuai untuk menerbangkan belon kerana keadaan angin dan cuacanya yang tidak keterlaluan.

“Namun, cuaca sesuatu yang sukar diramal dan jika keadaan berangin, pengendali belon udara panas akan menunggu sehingga angin berkenaan reda sebelum memulakan penerbangan.

“Tetapi ada juga pengendali belon udara panas yang suka mengambil risiko dan cuba menerbangkan belon udara bersendirian, tetapi tanpa membawa penumpang. Ia untuk kepuasan diri terutama apabila berhadapan dengan sedikit kepayahan ketika melakukannya,” katanya.

Sementara itu, bagi Atiqah Khairudin, 24, perkara paling sukar dikendalikan bukan saja peserta yang menyertai acara berkenaan, tetapi pengunjung yang cukup teruja untuk menaiki belon udara panas.

Sebagai penganjur, lazimnya ada sedikit kekurangan dalam majlis yang diadakan. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi pasti akan cuba diperbaiki pada masa hadapan.

Dia yang bertindak sebagai penolong pengarah acara berkata, berhadapan dengan kemarahan dan cacian pe–ngunjung sudah menjadi perkara biasa dan dia cukup lali dengan perkara itu.

Di awal pembabitannya dalam acara ini, dia seperti tidak mampu berhadapan dengan golongan sebegitu, tetapi lama-kelamaan ia seperti sudah serasi.

“Bayangkanlah saya pernah dimaki kerana pengunjung yang hadir tidak berpeluang menaiki belon udara panas disebabkan tiket yang disediakan terhad.

“Walaupun cuba untuk memberi penjelasan, mereka enggan menerimanya, malah berterusan menyalahkan pihak penganjur,” katanya.

Sungguhpun kaunter tiket hanya akan dibuka jam 7.30 pagi untuk sesi penerbangan pada waktu pagi, ada pengunjung yang sang–gup menunggu lebih awal bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang merasai sendiri keseronokan menaiki belon udara panas.

Apabila kaunter dibuka, tiket disediakan habis dalam sekelip mata dan pastinya ada pengunjung yang menunggu tidak berjaya memperolehnya kerana tiket disediakan bagi 300 pengunjung pertama saja.

“Keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan kekecohan, tetapi ia mampu diatasi dengan segera. Di sinilah kemahiran komunikasi amat diperlukan bagi meredakan kemarahan pengunjung.

“Jika menerima cacian sekalipun jangan tunjukkan pada raut wajah sebalik–nya hadiahkan senyuman kepada mereka. Anggap–lah kata-kata diucapkan itu sebagai muzik dan paling penting, ceriakan hari anda,” katanya sambil tersenyum.

Selain itu, insan yang banyak memberikan sokongan untuk meneruskan usaha ini pastinya tidak lain dan tidak bukan ibu mereka, Maimoon Mohd, 53.

Di awal penganjuran acara belon udara panas ini, tapak penganjuran yang diperoleh agak terhad begitu juga jumlah belon yang menyertainya.

Tetapi lama-kelamaan semakin banyak pihak yang menyedari ia boleh dijadikan sebagai satu daya tarikan pelancongan dan makin meluaskan tapak penganjuran fiesta.

“Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan bagi menjayakan acara ini memandangkan sukan udara ini tidak begitu dikenali di kalangan masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, jika tiada permulaan pasti tidak akan ada sebarang pendedahan. Oleh itu, arwah suami berusaha sedaya upaya menganjurkannya dengan menjemput rakan pengendali belon panas luar negara yang dikenalinya untuk menyertai acara ini,” katanya.

Memegang jawatan sebagai pengarah kewangan, dia akui bukan mudah menganjurkan acara besar-besaran sebegini terutama ia membabitkan sumber kewangan yang banyak.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

386 views