Cabaran Bina Empayar Perniagaan
Kerjaya Leena Hassan, 33, sebagai Pengurus Mahkota Songket iaitu anak syarikat Lunas Atur Sdn Bhd bermula pada 2003 iaitu selepas dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Meneruskan perniagaan keluarga yang mula diterokai oleh bapanya, Hassan Mohd Jamil, Leena menyimpang jauh daripada bidang pengajiannya kepada satu dunia baru.
Berbekalkan semangat dan usaha keras, Leena mempelajari selok-belok perniagaan daripada ayahnya apatah lagi perusahaan yang dijalankan adalah berasaskan fabrik songket.
Malah, siapa sangka ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini yang dulunya tidak tahu menenun kini amat mahir menggunakan alat tenun tradisional yang menggunakan teknik menyungkit.
“Saya hanya sempat ‘hidup’ dalam dunia kewartawanan selama enam bulan saja itupun kerana mengikuti latihan amali di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan selepas itu cuba beberapa kerja lain.
“Bagaimanapun, akhirnya saya membuat keputusan untuk membantu ayah menguruskan perniagaannya yang semakin berkembang pada ketika itu. Pada asalnya, syarikat kami terbabit membekalkan bahan mentah batik, songket dan pelbagai jenis benang yang diimport dari China untuk pengusaha songket bukan saja di Malaysia malah hingga ke Brunei.
“Selain itu, kami juga bermula dengan kerja membekal songket untuk kakita-ngan tentera, namun kerana permintaan yang semakin meningkat, Mahkota Songket memberanikan diri melebarkan empayar perniagaannya dengan membesarkan lagi operasi kilang penghasilan songket dan menambah jumlah pekerja.
“Boleh dikatakan kami adalah pelopor kepada perusahaan pembuatan songket di Selangor kerana sebelum ini hanya Terengganu, Kelantan dan Pahang saja yang aktif melakukannya,” katanya.
Apa yang lebih membanggakan, Mahkota Songket juga menjadi sebuah syarikat Bumiputera yang unggul dalam pengeluaran songket tenunan mesin di Malaysia.
Menurut Leena, mereka banyak menerima tempahan daripada kerabat diraja dan orang kenamaan kerana produk keluarannya berkualiti tinggi dan amat mementingkan seni buatan tangan.
Sehingga kini, syarikatnya masih mendapat tempahan dan menjadi pembekal kepada kain samping untuk pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan bomba.
“Kelebihan produk kami terletak pada corak dan bunga samping yang lain daripada yang lain. Buatan tangan agak mahal namun memiliki samping berkualiti tinggi ini ibarat kalah membeli menang memakai.
“Samping eksklusif yang berkualiti tinggi mempunyai jangka hayat yang lama dan boleh diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi lain,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Sungguhpun berjaya menghasilkan songket tenun secara komersil, sebagai anak tempatan, Leena tetap mengekalkan ciri tradisional tenunan songket yang menjadi kebanggaan warisan negara.
Diperbuat oleh pekerja mahir, sudah pasti semua samping songket yang dihasilkan dijamin kualitinya.
Ulas Leena lagi, syarikatnya mengeluarkan dua jenis samping songket iaitu songket tenun tangan dan songket tenun mesin.
Bagi tempahan songket tenun tangan, ia akan mengambil masa lebih kurang sebulan untuk disiapkan daripada tarikh tempahan manakala songket tenun mesin pula kurang daripada tempoh itu.
Bagaimanapun, apalah maksud sebuah perniagaan tanpa cabaran mendatang menguji kecekalan diri. Leena mengakui bukan senang mahu membina empayar dan me-ngekalkannya sehingga sekarang apatah lagi bapanya memulakan perusahaan keluarga itu sejak 1997.
“Masalah yang selalu saya alami adalah mendapatkan tenaga kerja mahir dalam seni tenunan kerana mereka cepat berasa bosan atau mempunyai masalah peribadi lalu mengambil keputusan berhenti kerja.
“Daripada berbelas pekerja kini saya hanya mempunyai empat penenun saja yang perlu menyiapkan segala tempahan di kilang kami yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
“Kebanyakan pekerja saya adalah pelajar lulusan Institut Kraf Negara (IKN) yang tentu saja berkemahiran dalam bidang ini. Satu perkara yang membuat saya terkilan apabila ramai graduan memilih bidang pekerjaan lain selepas tamat pengajian kerana mereka berasakan tiada pekerjaan sesuai untuk mereka dan ternyata pemikiran itu salah.
“Atas tujuan membantu, saya juga bekerjasama dengan IKN dengan mengadakan sesi perbincangan atau ceramah kepada pelajar mengenai potensi mereka dalam pasaran dan sebagainya. Tidak terkecuali, saya juga mengambil pelajar yang mahu melakukan latihan amali menenun di kilang,” jelasnya.
Kini, dia maju setapak lagi apabila membuka pusat sehenti perkahwinan dikenali sebagai Latur di Jalan Serai Wangi H 16/H, Alam Avenue Seksyen 16, Shah Alam.
Mempunyai empat tingkat, Leena menjual pelbagai kelengkapan perkahwinan, barangan harga istimewa, bunga hiasan, hiasan dalaman rumah dan tentu sekali produk kebanggaannya, songket.
“Dulu kami beroperasi di Seksyen 13 dan di situ kami hanya fokus menjual songket serta cenderahati berasaskan fabrik berkenaan. Namun kini, kedai itu sudah di disewakan dan kami berpindah ke sini serta menawarkan lebih banyak lagi pilihan kepada orang ramai.
“Saya terfikir kenapa tidak melakukan pusat sehenti perkahwinan bagi memudahkan bakal pengantin mencari semua barangan kelengkapan di satu tempat saja.
“Niat saya mahu menolong orang ramai mencari sesuatu yang berlainan dan tampak eksklusif tetapi membelinya pada harga berpatutan. Kami juga bertindak sebagai pemborong dan peruncit semua barangan ini,” kata Leena mengenai kedainya yang dibuka pada setiap hari kecuali Isnin.