Cantik Bawa Mudarat

PRODUK antipenuaan, menghilangkan garis halus, menegang dan mengembalikan keanjalan kulit, mengurangkan cela, melembap dan mencerahkan kulit wajah adalah antara bahan yang menjadi keutamaan bagi setiap wanita dalam memilih bentuk produk penjagaan kulit mereka.

Malah, mereka sanggup mencuba pelbagai proses rawatan yang adakalanya kedengaran tidak masuk akal yang disediakan di pasaran bagi membolehkan diri memiliki kulit wajah lebih menarik.

Terkini adalah dengan mengembalikan keremajaan kulit wajah menggunakan suntikan plasenta atau uri kambing biri-biri yang dikatakan mampu menjadikan kulit halus mulus seperti kulit bayi.

Menurut Perunding Pakar Bedah Plastik Rekonstruktif dan Estetik KPJ Seremban, Dr Mohamed Faizal Ali, suntikan plasenta kambing biri-biri berasal daripada rawatan sel hidup iaitu dengan mengeluarkan sel daripada plasenta kambing biri-biri terbabit dan kemudian disuntik pada bahagian badan yang bermasalah.

Teknik ini bertujuan menggantikan sel yang sudah rosak dengan memberi bantuan tambahan bagi menjana semula keupayaan sel rosak terbabit untuk hidup semula.

Katanya, proses ini kali pertama dibangunkan makmal di Switzerland namun tidak memiliki sebarang kajian khusus dalam memastikan ia benar-benar berkeupayaan merawat punca masalah, hanya bergantung pada cakap-cakap pengguna yang lebih dikenali sebagai ‘bukti anecdotel’.

“Boleh dikatakan hanya beberapa tahun kebelakangan ini saja iaitu lima hingga 10 tahun lalu, cara suntikan plasenta kambing untuk kecantikan ini menjadi pilihan ramai wanita bagi ‘meremajakan’ kembali kulit mereka.

“Namun, maklum balas sebegini tanpa kajian khusus ataupun bukti saintifik sudah pasti tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur dalam memastikan keberkesanan produk terbabit,” katanya.

Namun, Dr Mohamed Faizal berkata, proses rawatan sel hidup ini sudah dijalankan sejak 1930-an lagi dan dipelopori Dr Paul Niehans dengan cara mengambil sel hidup daripada binatang untuk disuntik kepada pesakit bagi menggantikan sel rosak.

Seperti yang diketahui, katanya kini terdapat banyak produk di pasaran yang mendakwa menggunakan cara ini sebagai sebahagian daripada bahan asas produk mereka, namun tidak dapat dipastikan cara ia diproses atau sama ada ia mengikuti piawaian diperlukan.

Menurutnya, keadaan ini disebabkan tiada kawalan khusus digunakan bagi memastikan setiap produk diperoleh daripada penghasilan ekstrak berkenaan tidak akan memudaratkan pengguna.

“Dengan kewujudan pelbagai produk yang didakwa menggunakan bahan ini, kita tidak boleh memberi jaminan mengenai cara ia diekstrak dan diproses. Adakah ia mengikut langkah tertentu ataupun sebaliknya?

“Tetapi secara umum, ia dijalankan di dalam makmal iaitu sel hidup terbabit diambil daripada fetus kambing biri-biri yang belum lahir (hidup) kemudian melalui proses pembersihan dan seumpamanya,” katanya.

Di samping itu, Dr Mohamed Faizal berkata, dari segi perubatan juga tiada kajian ataupun bukti saintifik yang menyokong penggunaan suntikan plasenta kambing biri-biri ini mampu memberi manfaat kepada manusia.

Ini disebabkan haiwan dan manusia adalah berlainan spesies dan disebabkan itu, kebanyakan kajian perubatan yang dihasilkan menggunakan sel yang diekstrak daripada manusia saja.

“Jika menggunakan sel haiwan kepada manusia, terdapat kemungkinan sistem imun semula jadi badan akan menolak bahan yang disuntik itu.

“Malah, kuman yang terdapat dalam badan haiwan berkenaan juga boleh dipindahkan kepada manusia dan ia boleh memberikan kesan lebih buruk lagi,” katanya.

Malah, terdapat kemungkinan berlakunya komplikasi kesihatan kepada mereka yang menggunakannya antaranya jangkitan kuman serta kesan alahan.

“Jika peralatan yang digunakan tidak diselenggara dengan betul, ia boleh memberikan kesan kepada pengguna kerana melalui suntikan juga ia boleh menyebabkan jangkitan kuman.

“Selain itu, bahan yang digunakan itu sendiri boleh menyebabkan pesakit mendapat alahan kerana terdapat pelbagai jenis produk berasaskan proses ini dikeluarkan dan tidak boleh dipastikan ia dilakukan dengan betul,” katanya.

Oleh itu, katanya setiap wanita perlu mengetahui perkara asas terpenting terlebih dulu sebelum menggunakan sebarang bentuk produk kecantikan iaitu mengetahui jenis kulit yang mereka miliki.

Beliau berkata, setiap individu memiliki jenis kulit berbeza sama ada kulit kering, berminyak, cerah, ataupun sensitif dan mereka perlu mendapatkan pandangan pakar bagi memastikan produk yang digunakan itu bersesuaian dengan kulit sendiri.

“Penggunaan produk yang tidak sesuai boleh menyebabkan pelbagai alahan antaranya jangkitan kuman, radang iaitu kulit menjadi kemerah-merahan, kulit bengkak, menggelupas serta jika memiliki kulit yang cerah, ia akan bertukar menjadi berbintik-bintik (hiper pigmentasi).

“Sewajarnya wanita mendapatkan nasihat mereka yang bertauliah terlebih dulu sebelum membuat keputusan mendapatkan sebarang produk kecantikan dan jangan hanya bergantung kepada kelebihan perakuan (testimoni) pemasaran,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

16,388 views