Cantik, Cergas Seimbang

Negarawan dan pengarang Inggeris, Sir William Temple, pernah berkata kesihatan ialah rohani jiwa yang akan membawa keseronokan dan kebahagiaan dalam kehidupan manakala hidup pula akan menjadi tawar saat kehilangannya.

Pepatah Arab pula menyatakan, kesihatan ialah asas letaknya kebahagiaan hidup seseorang dan ia juga menjadi kekuatan sesebuah negara.

Sungguh dalam maksud kedua-dua petikan ayat di atas yang apabila disimpulkan membawa maksud, tanpa kesihatan yang baik kita tidak dapat melakukan banyak perkara di dalam kehidupan ini yang dipenuhi pelbagai kemanisan kurniaan Tuhan.

Tidak kiralah sebanyak mana wang dikumpul dan disimpan di dalam bank, sekiranya kesihatan tidak dijaga dengan sebaik mungkin, pincanglah kebahagiaan hidup sebenar bersama insan tersayang mahupun dalam usaha membentuk sebuah negara yang maju.

Apa tidaknya, kita sukar melakukan sesuatu kerja sekiranya sudah jatuh sakit sebaliknya hidup kita pula memerlukan bantuan orang lain. Kebanyakan orang juga sering berkata, kalau kita sudah ditakdirkan jatuh sakit, hendak buat macam mana?

Benar, kita tidak boleh tentukan siapa atau bila seseorang itu akan jatuh sakit namun kita berupaya mengambil langkah berjaga-jaga misalnya bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat sejak awal usia.

Mempunyai fikiran seperti itu, penganalisa kewangan, Santhia Devi Chandra Das, 26, mengambil berat mengenai tahap kesihatan dirinya dengan mengamalkan rutin kehidupan harian yang seimbang, cergas serta positif.

Ternyata, pemenang kedua Ratu Cantik India Malaysia Global (MMIGlobal) 2012 ini bukan mementingkan kecantikan dan penampilan diri semata-mata tetapi juga kesihatan tubuh badannya.

Tidak pernah melangkau waktu makan, cuba sedaya upaya tidak mengambil makanan ringan di antara waktu makan, suka berlari dan berjoging serta minum minuman buah-buahan, antara rutin yang dilakukan demi memastikan dirinya kekal cergas bertenaga.

“Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang aktif bersukan kerana bapa dan abang bermain bola. Perkara ini secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan saya sebab mereka selalu bersenam untuk meningkatkan stamina badan.

“Secara perlahan-lahan saya pun ikut sama dan belajar melalui ayah kepentingan bersenam dalam kehidupan kita. Pada hujung minggu kami lakukan aktiviti riadah seperti berkayak, bermain badminton, berenang dan jalan kaki jarak jauh (hiking).

“Pada 2008 juga kami pernah mendaki Gunung Kinabalu di Sabah dan itu pengalaman paling memenatkan serta menyakitkan buat saya. Ini kerana, tanpa latihan yang cukup saya terlalu berkeyakinan untuk melakukannya,” katanya.

Dengan kecergasan yang dimiliki itu, wajarlah dia turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Ratu Kecergasan selepas kewibawaannya melepasi acara Larian Datai Coast sejauh 3.5 kilometer di Langkawi, sebagai sebahagian program MMIGlobal, tahun lalu.

Lebih menarik, dia mampu menyudahkan larian berkenaan dalam masa 15 minit saja.

Menurutnya, dia tidak terlalu tegas terhadap dirinya supaya setiap hari perlu pergi ke gimnasium tetapi cukup sekadar dua kali seminggu jika mempunyai kelapangan.

Namun, wajib baginya untuk joging mahupun berbasikal di sekitar kawasan rumah kira-kira jam 5 pagi setiap hari selepas bangun daripada tidur. Udara yang nyaman pada waktu itu memberikannya kepuasan sebelum memulakan tugasan harian di pejabat.

Wanita berwajah manis ini juga akan mengambil sarapan yang dimasak oleh
ibunya seperti roti canai dan capati. Malah, dia juga gemar membawa bekal makanan dari rumah ke pejabat untuk makan tengah hari.

“Saya suka makan cuma pengambilannya perlulah berpatutan dan disusuli dengan aktiviti senaman agar lemak boleh dibakar.

“Saya tidak percaya dan tidak galakkan wanita mengamalkan diet yang ekstrem hingga memudaratkan tahap kesihatan badan mereka.

“Pada pandangan saya, lebih baik anda menjalani kehidupan seperti biasa tetapi tingkatkannya dengan mengamalkan budaya hidup sihat dari segi jumlah pengambilan makanan serta melakukan senaman,” katanya.

Baginya, golongan wanita perlu melatih diri membentuk tubuh badan yang sihat menerusi senaman supaya dapat mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Senaman tidak pernah membosankan, malah ia direka bentuk untuk mengambil kira tahap kesihatan badan secara keseluruhan manakala rutin senaman ialah mimik kepada gerakan semula jadi manusia.

Selain itu, dia turut menyatakan, untuk kelihatan cantik wanita perlu menyeimbangkan penampilan luaran serta dalaman. Jangan menahan lapar atau mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan terlarang semata-mata mahu kelihatan kurus dengan cepat.

Hal itu hanya akan memudaratkan diri kerana komplikasinya berlaku dalam jangka masa panjang.

“Apabila anda berjaya seimbangkan kedua-dua hal penting ini, keyakinan diri dapat ditingkatkan lalu membuatkan anda semakin berfikiran positif serta produktif,” tuturnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,461 views