Cari Ilham Melalui Internet

Asalnya, dia membuat hiasan menggunakan tanah liat sekadar suka-suka. Tambahan pula jari yang sakit akibat terlalu kerap mengait membuatkan Mastila Ezny Kamarudin mencari idea untuk menghasilkan pemegang jarum yang lebih lembut dan selesa.

Carian di Internet akhirnya membuahkan hasil apabila dia menemui pemegang jarum kait yang diperbuat daripada tanah liat. Cubaannya berjaya selepas mempelajari teknik asas membuat pemegang jarum kait menggunakan tanah liat di YouTube.

Tanpa menyedari ia mampu menjana pendapatan, dia berkongsi kreativiti dihasilkan dengan pengikutnya di Fan Page di Facebook, MAMA’s crochet house.

“Saya tidak sangka selepas memuat naik gambar cubaan pertama itu, ramai berminat dan ada yang mahu menempah terutama dalam kalangan mereka yang aktif mengait.

“Asalnya saya membuat pemegang berkenaan untuk diri sendiri tanpa menyangka ia boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

“Asas membuat pemegang berkenaan dipelajari sendiri daripada Internet. Coraknya pula direka mengikut idea sendiri untuk memastikan hasilnya menepati cita rasa diinginkan selain mengekalkan keselesaan,” katanya.

Dia juga mencari sumber yang menjual tanah liat. Tanah liat yang digunakan ada dua jenis iaitu kering udara dan polimer.

Kedua-duanya mempunyai teknik berbeza iaitu dalam menghasilkan corak diinginkan dan kaedah pengeringan sebelum ia boleh digunakan.

Tanah liat jenis kering udara mampu kering sendiri pada suhu bilik (mengambil tempoh sehari) atau dijemur di bawah cahaya matahari (sehari). Hasilnya ia lebih lembut seperti tekstur span.

Berbeza dengan tanah liat jenis polimer yang perlu dikeringkan menggunakan ketuhar gelombang mikro. Suhu digunakan antara 100 hingga 130 darjah Celsius dan dibakar selama lima hingga 20 minit bergantung kepada corak atau saiz rekaan dihasilkan.

Corak yang direka pada permukaan pemegang jarum kait itu daripada polimer lebih licin berbanding jika menggunakan tanah liat kering udara.

Menariknya, teksturnya bukan saja tampak selesa untuk dijadikan pemegang jarum kait, malah ia boleh menghasilkan hiasan lain yang lebih comel.

Barangan biasa atau murah boleh diubah menjadi lebih menarik jika bijak menggunakan bahan yang mudah didapati secara dalam talian atau di pasaran dan mempelajari teknik menghasilkan corak yang cantik.

“Ia juga boleh menjadi pemegang kepada pen, sudu dan garpu. Malah saya juga menggunakan tanah liat untuk menghasilkan sendiri hiasan kecil seperti bunga dan haiwan.

“Biasanya saya gunakan hiasan berkenaan untuk menghias koleh, botol kaca dan kerongsang. Saya juga cuba menghasilkan hiasan rantai kunci menggunakan tanah liat.

“Hiasan yang dihasilkan sendiri juga dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan kerana ia boleh ditambah pada barangan yang dikait untuk tampak lebih menarik,” katanya.

Bukan itu saja, hiasan yang dihasilkan sendiri juga kelihatan berbeza kerana ia tidak dijual di pasaran menjadikannya tampak eksklusif.

Menghasilkan sendiri pemegang jarum kait itu dirasakan lebih berbaloi kerana kos perbelanjaan yang dikeluarkan tidak terlalu banyak iaitu di bawah RM5.

Ia jauh lebih murah jika dibandingkan harga jarum mengait yang siap dengan pemegangnya dijual pada harga mencecah RM40 hingga RM70 sebatang.

Alat yang digunakan untuk menghasilkan hiasan menggunakan tanah liat juga tidak terlalu mahal. Ia dijual sekitar RM35 satu set yang mengandungi peralatan seperti pisau dan lapan warna tanah liat yang berbeza.

Seni yang dihasilkan menggunakan tanah liat lebih tahan lama, mudah dijaga dan hiasan dihasilkan juga cepat disiapkan kerana tidak memerlukan teknik rumit seperti mengait.

Menariknya, kanak-kanak juga boleh membuat corak digemari kerana ia tidak mudah melekat pada dinding atau lantai.

Baginya, wanita perlu bijak menggunakan kemahiran dimiliki jika mahu menjana pendapatan terutama suri rumah. Mereka semakin bijak mencari peluang untuk membantu mengurangkan bebanan ditanggung suami, apatah lagi kos perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat.

Jika bijak merebut peluang ditambah dengan kemahiran yang dimiliki, tidak mustahil untuk suri rumah memperoleh pendapatan sendiri di samping menyempurnakan tugasan menjaga anak dan keluarga.

Mastila Ezny yang mengambil keputusan berhenti kerja pada 2009 sebagai eksekutif perakaunan kerana tidak menemui kepuasan di dalam kerjaya yang disandang kini lebih seronok berada di rumah.

“Bagi saya, duduk di rumah tanpa melakukan sebarang kerja memang membosankan. Namun, kita perlulah memanfaatkan masa dengan kerja yang berfaedah. Di samping dapat menyempurnakan semua tugasan rumah dan menjaga anak, saya juga mampu menjana pendapatan sendiri bagi membantu suami. Tempahan yang datang bertalu-talu merangsang minat saya untuk menjadikannya satu perniagaan,” katanya.

Bekerja dari rumah juga dapat menjimatkan perbelanjaannya sekeluarga kerana tidak perlu lagi membayar pengasuh, mengisi minyak kereta atau membayar tambang jika menggunakan pengangkutan awam.

Baginya, walaupun keuntungan yang diperoleh kecil dan tidak sebanyak gaji ketika bekerja, dia tetap bersyukur kerana tidak lagi mengalami ‘poket kering’ menjelang akhir bulan.

Namun, dia sedar tugas sebagai suri rumah bukan mudah kerana wanita perlu bijak mengendalikan pelbagai tugas dalam satu masa agar tidak berasa tertekan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

580 views