Cari Semangat Melalui Kembara

Gaya luarannya tampak sihat dan bersahaja. Malah penampilannya juga menonjolkan keyakinan dan semangat yang tinggi seperti wanita bekerjaya lain.

Namun siapa sangka Pengurus Pemasaran Naza Premira Sdn Bhd, Nor Azura Sariat kini menjalankan rawatan susulan akibat barah payudara yang dihadapinya.

Jika wanita manis berusia 35 tahun ini tidak bercerita, tiada siapa tahu dia menyimpan kisah lara yang bermula selepas tiga bulan bertukar kerjaya.

Kisah sedih dalam hidupnya bermula pada November 2012 apabila Nor Azura disahkan menghidap barah payudara tahap dua. Walaupun kenyataan pahit yang perlu diterima, dia akur dengan ujian yang diberikan.

Sedih dan terkejut memang tidak dapat dielakkan, namun dia terus cekal dan mengikut segala perancangan yang diatur doktor bagi menjalani rawatan selanjutnya.

“Saya bercuti selama tujuh bulan untuk menjalani rawatan kemoterapi. Saya tidak mahu membuang masa sepanjang tempoh bercuti dengan hanya bersedih. Bohonglah kalau saya katakan tidak sedih, tetapi saya tidak boleh terus melayani perasaan itu kerana ia hanya akan memberi kesan negatif pada diri sendiri.

“Jadi, untuk mengisi masa antara satu kitaran kemoterapi ke kitaran seterusnya, saya pergi bercuti bersama rakan-rakan. Walaupun hanya bercuti di dalam negara, masa yang kami habiskan bersama itu amat bermakna.

“Percutian itu memberi saya semangat baru untuk meneruskan rawatan dan hidup dengan lebih baik serta bermakna. Kawan-kawan banyak memberi sokongan dan kata perangsang. Malah perkongsian masa berharga itu memberi peluang kepada mereka untuk lebih memahami perasaan pesakit kanser,” katanya.

Pada masa sama, Nor Azura banyak membaca buku berkaitan kanser untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemungkinan. Malah menerusi buku dia dapat melakukan pelbagai persiapan penting selepas menjalani rawatan yang disarankan seperti makanan yang sesuai dan senaman.

Menerusi pembacaannya juga, dia mendapat maklumat berguna mengenai cara berhadapan dengan orang ramai, apatah lagi wanita ini bekerja dalam bidang pemasaran.

Tambahnya, sepanjang rawatan kemoterapi, dia perlu berulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur dengan memandu bersendirian. Memanglah agak meletihkan tetapi apabila dikenang kembali, semuanya memberi kesan besar kepada keyakinan dan ketabahan diri.

Selain bercuti dengan kawan-kawan, wanita yang mempunyai karakter serius ini juga memanfaatkan masanya melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan termasuk mengunjungi pusat kecantikan bagi mendapatkan rawatan muka dan badan. Semuanya dilakukan untuk menenangkan fikiran dan memanjakan diri.

“Kesan kemoterapi memang ada. Rambut saya mula gugur dan akhirnya saya menjadi wanita botak. Pun begitu, saya tetap positif dan melakukan banyak perkara yang saya sukai bersama keluarga.

“Malah, saya juga kembali bekerja dengan penampilan baru ini, melangkah penuh yakin ke pejabat walaupun di kepala tiada sehelai rambut!

“Walaupun kerjaya saya banyak berurusan dengan orang ramai seperti media, mengadakan acara promosi dan sebagainya, saya tetap positif.

“Selain botak, saya juga mengalami keletihan dan mual setiap kali selepas rawatan kimoterapi. Jadi saya memerlukan bantuan ibu untuk bersedia jika muntah sebaik tiba di rumah,” katanya.

Bukan itu saja, malah dia juga mengalami kesan jangka panjang akibat kimoterapi seperti mudah lupa. Kadangkala mindanya tiba-tiba kosong dan langsung tidak mengingati perkara penting.

Namun dia tidak boleh terus memaksa untuk mengingati kembali maklumat berkenaan. Lantas, wanita ini perlu bertenang dan dalam tempoh masa tertentu, baru dia mampu mengingati maklumat yang diperlukan.

Anak sulung daripada empat beradik ini juga sentiasa menyimpan nota penting setiap masa bagi mengelakkannya terlupa.

Dia bertuah kerana kebanyakan rakan sekerja dan majikan selain keluarga sentiasa menyokong dan memahami situasi yang dialaminya.

“Saya pernah menghadiri majlis amal untuk memberi kesedaran dan berkongsi pengalaman yang dilalui bersama wanita lain yang takut melakukan ujian pemeriksaan.

“Bukan takut merasai kesakitan ketika melakukan pemeriksaan, namun kebanyakan daripada kita agak gentar menghadapi kenyataan dan keputusan yang diberitahu kelak,” katanya.

Tambahnya, selepas melalui pembedahan membuang ketulan berukuran 4.2 sentimeter dan rawatan kimoterapi, kini dia sentiasa berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan setiap tiga bulan sekali bagi memastikan kanser tidak menyerang kembali.

Kini, walaupun perlu menjalani rawatan susulan, dia masih mampu melakukan pelbagai kerja dengan cekap dan mengikut kemampuan diri sendiri.

Malah dia juga sering mengikuti aktiviti konvoi membabitkan motosikal berkuasa besar bersama kelab Harley Davidson/Head Hunter dan Victory Motorcycle.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

515 views