CCHF Penyakit Berjangkit

Simptom bermula secara tiba-tiba apabila pesakit yang dijangkiti virus berbahaya ini akan mendapat demam, sakit otot (myalgia), pening, sakit leher, sakit belakang, sakit kepala, sakit mata dan sensitif kepada cahaya (photophobia). Pesakit juga mengadu loya, muntah, cirit-birit, sakit abdomen, sakit tekak dan disusuli perubahan mood serta kekeliruan.

Selepas dua hingga empat hari, kesakitan ini bertambah buruk dengan rasa mengantuk, murung, letih dan sakit abdomen yang menjurus bahagian atas kanan serta pembesaran hati (hepatomegaly).

Tanda klinikal lain termasuk jantung berdegup laju (tachycardia), pembesaran kelenjar limfa (lymphadenopathy) dan bintik-bintik merah yang menyebabkan pendarahan pada permukaan mukosa dalaman seperti mulut, tekak dan kulit.

Bintik-bintik merah itu boleh mengakibatkan ruam lebih teruk atau kecederaan tisu sehingga darah berlebihan pada kulit (ecchymoses) dan fenomena berdarah yang lain. Pesakit yang sudah teruk mungkin mengalami kemerosotan buah pinggang dengan pantas, kegagalan hati secara tiba-tiba atau kegagalan pulmonari (pengangkutan darah) selepas hari kelima.

Kematian boleh berlaku pada minggu kedua sakit, namun pesakit yang sembuh menunjukkan perubahan pada hari kesembilan atau ke-10 selepas menunjukkan gejala.

Demikian adalah simptom bagi penyakit maut virus demam berdarah Crimean-Congo (CCHF) yang berpunca daripada gigitan sengkenit atau kutu babi. Demam berdarah ini kali pertama dicirikan di Crimea pada 1944 sebelum sekali lagi dikenal pasti pada 1969 sebagai punca satu penyakit yang teruk di Republik Demokratik Congo pada 1969.

Di Sepanyol, seorang lelaki berusia 62 tahun di Madrid maut selepas dijangkiti virus demam berdarah CCHF pada 25 Ogos lalu. Lelaki terbabit dipercayai dijangkiti virus itu selepas digigit sengkenit ketika berjalan dalam hutan berhampiran bandar Avila, kira-kira 50 kilometer barat laut ibu negara Sepanyol.

Mangsa pada mulanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Infanta Leonor sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Gregorio Maranon untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia. Malangnya, jururawat wanita yang merawat mangsa di hospital pertama turut dijangkiti virus sama dan kini dirawat di unit penyakit berjangkit Hospital La Paz-Carlos III selepas menunjukkan gejala penyakit terbabit.

Susulan kes pertama CCHF tempatan di Eropah Barat itu, pihak berkuasa kesihatan Madrid mengenal pasti seramai 200 orang yang berhubung dengan mangsa dan jururawat terbabit untuk dipantau termasuk mengambil suhu badan jika menunjukkan gejala penyakit berbahaya itu serta arahan pengasingan dalam rumah.

Bagaimanapun kira-kira seminggu selepas kematian mangsa Kementerian Kesihatan Sepanyol mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka menerima dua lagi kes pesakit di Madrid terpaksa diasingkan selepas disyaki menghidap CCHF. Ini menyebabkan pihak kementerian mengeluarkan arahan kepada semua hospital untuk mengaktifkan prosedur kecemasan menangani penyakit berjangkit yang berisiko tinggi.

Sementara itu di Pakistan, pihak berkuasa kesihatannya mencatatkan 19 kes kematian akibat jangkitan virus demam berdarah itu pada tahun ini saja. Sehingga Ogos lalu, kematian tertinggi sebanyak 12 kes dicatat di daerah Quetta, lima kes di Karachi, manakala dua kes lagi di Bahawalpur.

CCHF atau virus Congo adalah penyakit berjangkit yang disebarkan sengkenit daripada haiwan liar dan domestik seperti lembu, kambing, biri-biri dan arnab. Ini kerana, sengkenit berbentuk bulat dan tidak mempunyai sayap itu menjadikan haiwan berkenaan sebagai perumah berikutan araknid kecil itu menghisap darah untuk membiak.

Manusia mendapat jangkitan menerusi gigitan sengkenit terbabit atau sentuhan dengan darah haiwan yang dijangkiti sejurus selepas penyembelihan. Jangkitan kemudian merebak dari individu ke individu selepas menyentuh atau memegang darah, rembesan, organ atau cecair tubuh lain yang tercemar dengan virus daripada pesakit yang dijangkiti.

Majoriti kes jangkitan manusia membabitkan mereka dalam industri ternakan seperti pekerja di ladang ternakan, pusat penyembelihan dan pakar veterinar. Sehubungan itu, langkah pengawasan bagi penyakit berjangkit terbabit diperketatkan di Pakistan berikutan pasaran haiwan ternakan mendapat permintaan tinggi untuk digunakan dalam ibadat korban sempena sambutan Aidiladha.

Di Malaysia, penyakit virus Congo ini belum dilaporkan, tetapi kebimbangan untuk ia merebak masih ada berikutan permintaan terhadap lembu tempatan untuk ibadah korban sepanjang musim perayaan Aidiladha yang tidak mencukupi menyebabkan ramai penternak membawa masuk lembu import dari Thailand dan Myanmar.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CCHF adalah penyakit berjangkit disebabkan virus bawaan sengkenit (Nairovirus) dari keluarga Bunyaviridae dan juga endemik di kebanyakan tempat di Afrika, Balkan, Asia Barat dan Asia. Ia menyebabkan kadar kematian kes antara 10 hingga 40 peratus.

Haiwan berkenaan mendapat jangkitan selepas digigit sengkenit yang membawa virus penyakit sebelum virus itu kekal dalam aliran darah kira-kira seminggu selepas dijangkiti dan kitaran ini berterusan dengan gigitan sengkenit lain. Namun demikian, haiwan yang dijangkiti tidak mendapat penyakit terbabit, sebaliknya menyebarkan penyakit kepada manusia.

Walaupun sebilangan keluarga sengkenit ini yang mendapat jangkitan, namun sengkenit dari genus Hyalomma adalah vektor utama. Diagnosis untuk penyakit ini dilakukan menerusi kaedah pengesanan virus atau asid ribonucleic (RNA) dalam sampel darah atau tisu pesakit serta beberapa ujian makmal yang lain.

Selepas jangkitan menerusi gigitan sengkenit, tempoh inkubasi atau pengeraman virus biasanya satu hingga tiga hari dan paling lama sembilan hari, manakala tempoh inkubasi jangkitan menerusi sentuhan darah tercemar pula mengambil masa lima hingga enam hari dan paling lama 13 hari.

Rawatan melegakan gejala dan rawatan sokongan adalah pendekatan utama dalam pengurusan demam berdarah virus Congo ini. Pesakit dinasihatkan supaya mendapatkan rehat yang mencukupi, mengawal keseimbangan cecair dalam badan dengan membaiki paras elektrolit serta sokongan oksigen dan hemodinamik (aliran darah) yang terganggu. Ubatan antivirus ribavirin juga digunakan dalam merawat jangkitan CCHF sama ada diambil secara oral atau suntikan ke dalam vena (IV).

Masih tiada vaksin lagi untuk mencegah penyakit ini sama ada untuk manusia dan haiwan, namun langkah pencegahan boleh dimulakan dengan mengurangkan risiko jangkitan seperti penggunaan bahan kimia penghalau serangga terutama sengkenit atau kutu dan pakaian yang bersesuaian untuk pekerja ladang ternakan atau pengendali haiwan lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

257 views