Cemuhan Pelanggan Penguat Semangat

Tidak memiliki tahap pendidikan tinggi bukan bererti sukar untuk mengembangkan keupayaan diri dan berjaya dalam hidup.

Paling penting ialah kesungguhan dan memilih haluan bersesuaian dengan kemahiran dan kemampuan diri.

Bagi pengasas N’dah Catering Wedding Planner, Juraidah Asmoni, 40, atau lebih dikenali sebagai Ndah, dia ingin mencuba kelainan dalam sesuatu bidang demi mencari keserasian sekiranya bidang itu mahu diperluaskan lagi.

Prinsip itu jugalah yang menjadi pegangannya untuk terus berjaya.

Sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan, dia pernah mengendalikan taman asuhan kanak-kanak pada 1986 yang kemudian ditutup selepas 11 tahun beroperasi.

Mengenai perniagaan berasaskan makanan yang dimulakannya pada 1997 itu, Ndah berkata, situasi perniagaan katering kini berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan permintaan yang memberangsangkan.

Perkhidmatan itu dilihat sebagai satu keperluan terutama di kawasan bandar yang lebih gemar menyerahkan tugas menjamu tetamu kepada pihak katering.

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ramai yang menganggap amalan tradisi seperti rewang untuk majlis kenduri kahwin satu kemestian terutama bagi mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga.

“Sebagai katerer atau jurusaji, perkara yang perlu dititikberatkan ialah kepuasan pelanggan.

“Sekiranya apa yang dilakukan mendapat pujian, secara tidak langsung ia menjadi satu bentuk pemasaran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Dewan Shah Alam, baru-baru ini.

Mengimbas kembali pengalaman pada awal pembabitannya dalam perniagaan katering, dia akui pelbagai halangan ditempuhi untuk membolehkan perniagaannya dikenali ramai.

Ketika itu untuk menjalankan aktiviti pemasaran, dia hanya menyediakan salinan risalah dan diedarkan sendiri sekitar Shah Alam.

“Saya masih ingat ketika itu bulan Ramadan, saya dan suami serta jemaah lain mengerjakan solat Tarawih. Saya meminta anak yang masih kecil mengedarkan risalah dengan menyelitkan di bahagian pengelap cermin depan kereta.

“Apabila penggera kereta berbunyi, mereka bertempiaran lari. Sejak itu, sedaya upaya saya cuba mengelakkan kejadian sebegitu. Memang peristiwa itu sukar dilupakan seumur hidup saya,” katanya.

Juraidah berkata, pada peringkat awal dia menjadikan rumahnya sebagai pusat operasi perniagaannya. Malah, setiap hidangan disediakan juga dimasak sendiri agar kualitinya sentiasa terjaga.

“Selama empat tahun saya menggunakan rumah sebagai pejabat dan pada masa sama, ia mendekatkan saya dengan anak kerana mereka membesar di depan mata saya.

“Saya tidak akan sesekali meninggalkan mereka sendirian di rumah walaupun rutin yang perlu dilakukan setiap hari amat sibuk. Jika saya terpaksa tidur
dalam kereta, mereka juga berada di sisi saya,” katanya.

Walaupun terpaksa berdepan dengan kerenah orang yang pelbagai ragam, Ndah percaya kesabaran dalam melayani pelanggan pasti berbalas dengan keyakinan daripada mereka.

Dalam satu penyediaan majlis tidak mungkin ia sempurna 100 peratus, tetapi dia cuba memastikan tidak ada sebarang masalah memudaratkan berlaku hingga menjejaskan nama baik perniagaannya.

Namun pernah berlaku selepas menyiapkan semua kelengkapan majlis perkahwinan bertemakan ala taman, tiba-tiba sebelum majlis berlangsung hujan lebat menyebabkan kerusi, meja dan barangan lain dibasahi hujan.

Kejadian sebegitu memang di luar kawalan tetapi dia tetap bersyukur akhirnya majlis berkenaan berjalan lancar, malah kesan visual yang dirakamkan selepas hujan itu amat mempesonakan.

“Saya juga pernah diherdik dan dimarah sesuka hati oleh pelanggan tetapi setiap ketidakpuasan hati mereka cuba diperbaiki walaupun ada ketikanya saya seakan-akan hilang semangat.

“Saya tebalkan muka dan membiarkan saja kata-kata itu seolah-olah masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Namun saya tetap melakukan apa yang diamanahkan kepada saya sebaik mungkin,” katanya.

Kini dia bersyukur kerana berjaya mengembangkan perkhidmatannya ke peringkat lebih meluas dengan menyediakan dewan katering yang boleh disewa untuk penganjuran majlis perkahwinan.

Bangunan dua tingkat yang terletak di Jalan Ikhtisas 14/6, Pusat Bandar Shah Alam itu menyediakan segala kelengkapan dan keperluan lengkap majlis perkahwinan di bawah satu bumbung.

Kerjasama yang diperoleh daripada mereka yang sentiasa bersamanya sejak awal pembabitannya sebagai katerer membuatkan dirinya yakin untuk meneruskan kerjayanya sebagai katerer serta cuba menyediakan perkhidmatan lebih bermutu.

“Saya akan turun padang dan memastikan setiap bahan mentah digunakan berada pada tahap kualiti yang baik serta menyediakan sendiri hidangan yang dipilih pelanggan.

“Melalui cara ini, saya mampu mengekalkan rasa dan memastikan sendiri makanan yang dihidangkan pada majlis itu tidak basi sebelum masanya,” katanya.

Selain itu, suaminya, Amran Musa, 44, adalah insan paling banyak mengkritik dan memberi sokongan kepadanya dalam mengembangkan perniagaan katering itu.

Setiap teguran sentiasa tersemat di hati yang dijadikan panduan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan.

“Saya tidak pernah berkecil hati dengan setiap teguran kerana yakin ia bertujuan mengingatkan saya untuk tidak mengulanginya semula pada masa depan.

“Saya akan cuba mencari kelainan agar perkhidmatan sedia ada boleh dipertingkatkan dan pastinya kepuasan serta penerimaan pelanggan menjadi keutamaan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

467 views