Cenderahati Apam Polkadot

KINI tiada yang pelik jika menggunakan kuih-muih sebagai cenderahati kepada tetamu, pengganti telur bagi mencipta kelainan.

Jika dulu ia hanya dijadikan sampingan untuk cenderahati tetapi kini kuih-muih digunakan secara meluas dengan pelbagai corak serta reka bentuk menarik termasuk kuih apam.

Bagi pembuat apam polkadot, Rosfadilah Rosli, semakin ramai yang menjadikannya buah tangan kepada tetamu ketika mengadakan majlis kesyukuran bayi atau perkahwinan.

“Saya pernah membuat 10,000 biji apam dalam masa tiga hari, dibantu oleh adik dan emak bagi menyiapkan tempahan. Mudah saja menghasilkannya tetapi perlu tahu perkara penting untuk memastikan apam polkadot itu menepati cita rasa dan rekaan seperti diinginkan.

“Apam yang saya hasilkan ini mempunyai tekstur sama seperti kek oleh itu, elak daripada menggunakan air supaya apam tidak keras dan merekah. Ini kerana ia akan membuatkannya kurang enak malah bentuknya juga tidak menarik untuk dijadikan cenderahati.

“Bukan itu saja, penggunaan gula kastor bagi menggantikan gula kasar juga diambil kira bagi mengelakkan apam mengandungi banyak air.

“Menggunakan gula kasar dikatakan akan menghasilkan air yang banyak sekali gus membuatkan kuih menjadi keras. Kandungan air dalam adunan juga akan menyebabkan apam tidak tahan lama dan biasanya ia rosak hanya dalam masa tiga hari.

“Selain itu, penggunaan telur gred A lebih praktikal kerana ia lebih besar dan menghasilkan adunan cantik serta mengembang bagi mendapatkan apam yang gebu.

“Bagi mengelakkan kuih berlubang dan keras selepas dikukus, pastikan adunan
diadun tidak terlalu mengembang, sebaiknya ia diadun tidak lebih daripada enam minit.

“Sebelum mula mengukus apam yang siap dihias kreatif, pastikan air rebusan sudah panas untuk mengelakkan ia tidak menjadi.

“Tutup periuk juga harus dibungkus dengan tuala bagi memastikan apam dikukus masak dengan sekata dan air wap tidak menitis pada apam sekali gus menjadikannya seperti bersarang dan kurang menarik,” katanya.

Pemegang ijazah sains sosial ini pernah bekerja namun terpaksa berhenti disebabkan sakit tulang sejak tiga tahun lalu. Sejak itu, dia mencari idea bagi mencari pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada keluarga.

“Saya belajar membuat apam daripada Internet dan cuba membuatnya sebanyak 20 kali bagi menghasilkan rasa yang benar-benar enak,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada ibunya, Asmah Idris dan adiknya, Roslina.

Terima kasih:

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,008 views