Ceria Di Musim Luruh

SOLEKAN musim luruh dan di awal musim sejuk biasanya menampilkan wajah semula jadi atau sedikit suram. Tidak terlalu menonjol, malah penggunaan rona untuk pembayang mata, pemerah pipi dan gincu juga lebih lembut berbanding berakhirnya musim sejuk.

Biarpun wajah kelihatan biasa, ia banyak menggunakan teknik membentuk pada bahagian muka untuk tampil sempurna walaupun tanpa mengenakan rona terang.

Menurut jurusolek, Jamina Jamaluddin, kebiasaannya solekan berkonsepkan musim luruh dan sejuk ini dikaitkan dengan penampilan ala Korea.

“Kebanyakan mereka memiliki mata sepet dan solekan dapat membantu memberi kesan mata lebih besar yang diinginkan oleh wanita agar tampil menawan.

“Walaupun mekap yang digayakan tampak ringkas, mereka menggunakan kelebihan dalam solekan untuk menekankan bahagian mata yang lebih galak berbanding biasa,” katanya.

Bagi menampilkan mata galak, teknik solekan jenis smokey sangat sesuai digunakan untuk menekankan kesempurnaan penampilannya.

Penting untuk lebihkan sedikit calitan celak hingga ke bahagian hujung bagi memberi kesan mata yang lebih besar untuk mereka yang memiliki mata sepet.

Selain menggunakan bedak asas pada bahagian mata, teknik gabungan rona berbeza juga dapat menonjolkan kreativiti wanita yang mengenakan solekan.

“Berani mencuba selain memadankan rona sesuai boleh dilakukan dalam solekan untuk menyerlahkan penampilan.

“Namun, campuran rona berlainan seeloknya tidak melebihi daripada tiga warna untuk mengelakkan penampilan menjadi pelik,” nasihatnya kepada mereka yang baru pertama kali melakukan solekan sendiri.

Kebiasaannya, pembayang mata rona lembut dipakai di seluruh kelopak mata manakala warna gelap hanya disapu pada bahagian hujung kelopak mata.

Ambil pembayang mata yang berkilat untuk dipakai di bahagian tengah kelopak mata bagi melengkapkan penampilan solekan yang menawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,756 views