Ceria Nikmati Hidangan

Waktu makan bersama anak akan menjadi lebih mudah dan menyeronokkan jika ia disertai set pinggan berwarna-warni yang mampu menarik perhatian mereka.

Bukan itu saja, penggunaan pinggan atau sudu dan garpu yang diperbuat daripada material lembut seperti silikon juga dapat membantu mengelakkan risiko kecederaan pada anak.

Menurut Pengurus Kanan Jualan BG Baby and Maternity Distribution (M) Sdn Bhd Jonathan Horsley, tahap keselamatan harus diambil kira sebelum memilih peralatan yang dapat membantu merangsang keinginan untuk makan.

“Ia penting bagi menjadikan sesi menikmati makanan lebih selesa, selamat dan menyeronokkan. Kehadiran set lengkap pinggan atau mangkuk, sudu dan garpu berwarna terang akan membantu menarik perhatian mereka untuk makan.

“Selain itu, keunikan rekaan bahagian tepi pinggan yang boleh dibuka dan dibasuh itu berfungsi untuk mengelakkan makanan tumpah ke luar pinggan.

“Ini dapat mengajar anak-anak bahawa makanan perlu dihabiskan selain dapat memudahkan ibu mengemas kawasan tempat mereka makan,” katanya.

Tambahnya, koleksi Oxo Tot itu juga mudah dibawa ke mana saja dengan menyimpannya ke dalam beg comel bermotifkan flora dan fauna daripada koleksi Skip Hop Zoo.

Kanak-kanak yang baru belajar menikmati makanan pejal pada usia enam bulan ke atas berupaya menjatuhkan makanan atau peralatan makan ke lantai.

Bagi mengelakkan peralatan makan menjadi kotor, koleksi Ezee Reach Stay-Put menampilkan sudu dan garpu yang mempunyai gegelung fleksibel untuk mengelakkannya daripada terjatuh.

Kehadiran gegelung yang dilekat pada meja dapat membantu anak-anak lebih berdisiplin ketika makan di samping menjaga tahap kebersihannya.

Ia juga boleh dijadikan medium untuk mengajar anak meletakkan semula sudu atau garpu ke dalam pinggan selepas menggunakannya.

Bekas mangkuk yang mudah melekat pada meja juga memudahkan mereka makan tanpa menyebabkan makanan tumpah ke lantai.

“Peralatan untuk menggalakkan anak makan juga perlu dilengkapkan dengan kerusi khas yang memudahkan sesi menikmati hidangan dalam keadaan selesa.

“Kerusi yang mempunyai tiga peringkat ketinggian dan jarak jauh itu boleh dilaras mengikut kesesuaian anak selain mudah digunakan.

“Sekali lagi, keselamatan menjadi perkara penting kepada kami dengan mencipta kerusi kanak-kanak tanpa bucu. Material plastik yang tidak tajam mengelakkan mereka tercedera ketika makan,” katanya.

Tambahnya, material digunakan juga memudahkan ibu bapa untuk membersihkan kotoran apatah lagi kusyen tempat duduknya yang mudah alih.

Semua barangan berkenaan boleh didapati di Mothercare, Bebehaus, Babyland, Fabulousmom, Happikiddo dan kedai aksesori kanak-kanak.

Takut cuba yang baru

Beberapa tingkah laku pemakanan biasanya berlaku apabila kanak-kanak mula berdikari dan menguji serta meninjau kebebasannya.

Ia adalah sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak dan ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Masalah ini jarang disebabkan oleh penyakit yang serius.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, keengganan untuk makan berlaku apabila kanak-kanak menolak makanan baru yang diperkenalkan kepadanya atau apa jua makanan ditawarkan kepada mereka.

Kanak-kanak yang berumur antara setahun hingga lima tahun biasanya takut untuk mencuba makanan baru yang diperkenalkan kepada mereka. Pada umur ini mereka agak cerewet dan makan makanan tertentu saja.

Masalah yang paling utama adalah kanak-kanak yang enggan makan sayur. Pada bayi pula ialah keengganan mereka untuk makan makanan pejal.

Punca anak enggan makan

Keengganan untuk makan adalah sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak. Secara amnya kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.

Bagaimanapun jika kanak-kanak mengalami gejala seperti penurunan berat badan, muntah dan tercekik, anak anda perlukan penilaian yang lebih terperinci oleh doktor.

Kemungkinan anak anda mengalami penyakit lain (selain daripada keengganan untuk mengambil makanan) seperti:

Mempunyai perasaan benci terhadap makanan

Kegagalan otot mengunyah (mulut)

Penyakit refluks gastro esofageal

Kegagalan atau saraf otak misalnya palsi serebrum iaitu keabnormalan perkembangan otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota tubuh.

Usus kecil tersumbat

Akalasia – keadaan yang mengganggu aktiviti normal otot esofagus, menjejaskan perjalanan makanan yang ditelan.

Bayi menunjukkan masalah apabila:

Tidak bercerai susu pada masa yang sesuai

Keengganan memakan makanan pejal

Tanda bahaya

Kanak-kanak mungkin cenderung menjadi sangat pemilih dan hanya mengambil beberapa jenis makanan saja. Mereka juga mempunyai masalah untuk menikmati makanan baru yang diperkenalkan.

Selain itu, mereka agak sukar untuk makan semua jenis sayur sebaliknya hanya tertumpu pada sejenis makanan saja pada satu masa.

Tiada komplikasi berlaku sekiranya perkembangan dan pertumbuhan anak anda normal. Walaupun anak hanya mengambil beberapa jenis makanan saja, ini tidak bermakna anak anda mengalami kekurangan zat makanan.

Jika pertumbuhan dan perkembangan anak anda berlaku secara normal, kemungkinan perkara ini adalah masalah biasa. Namun sekiranya anak mengalami tanda atau gejala seperti peningkatan berat badan dan perkembangan yang perlahan, batuk atau tercekik semasa makan dan muntah secara berulang, segera berjumpa doktor.

Cara mengatasi

Anak perlu dinilai oleh doktor sebelum diberi sebarang rawatan. Walaupun anak memilih atau mengelak salah satu jenis makanan daripada diet hariannya, ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan jika dia membesar secara normal.

Jika anak membesar secara normal walaupun menolak makanan, cuba cara berikut:

Berikan makanan yang sering dielakkan oleh anak pada masa yang lain. Terus berusaha dan jangan putus asa.

Terus memperkenalkan makanan baru kepada anak.

Sediakan makanan yang berbeza termasuk makanan yang disukai oleh anak pada setiap waktu makan.

Hidangkan makanan dalam pelbagai bentuk yang menarik.

Elakkan makanan manis seperti gula-gula di antara waktu makan.

Anda boleh memberi vitamin tambahan sekiranya anak enggan mengambil makanan tertentu dalam jangka masa yang lama.

Elakkan makan ketika menonton televisyen kerana ia akan mengganggu perhatian anak.

Makan bersama ahli keluarga akan menggalakkan anak anda makan. Ia juga memberi anda peluang memberi perhatian dan mengajar anak anda makan.

Tunjukkan contoh yang baik kepada anak dengan memakan pelbagai jenis makanan.
Paling penting, elakkan pertengkaran ketika waktu makan.

Belajar untuk mengurangkan perasaan risau atau bimbang kerana keadaan ini boleh menguatkan lagi keengganan anak untuk makan.

Jangan memaksa anak untuk makan.

Jangan bertengkar dengan anak anda semasa waktu makan.

Jangan menghukum anak sekiranya tidak mahu makan.

Berikan pujian jika anak anda mula memakan jenis makan yang selama ini tidak pernah disentuhnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,707 views