Cetus Pembukaan Halaman Rasmi

Siapa menyangka, rungutan si kecil berkaitan telekung wakaf yang kotor merubah kehidupan wanita ini dalam sekelip mata.

Permintaannya agar telekung berkenaan dibawa balik dan dibasuh, kemudian dikembalikan semula ke surau berkenaan menjadi titik mula tugasan barunya iaitu mengumpulkan telekung wakaf untuk dibasuh.

Malah ia juga menjadi pencetus kepada penubuhan halaman rasmi, The Telekung Project (TP) menerusi laman sosial Facebook (FB) pada 14 Oktober 2011.

Pengasasnya, Norazila Abd Aziz memang tidak menyangka kerja amal sebegitu mendapat perhatian dan sambutan ramai.

Mengimbas kembali perjalanan tugas barunya dalam aktiviti amal ini, Norazila akui pada mulanya dia tidak begitu mengambil berat rungutan anaknya, Sofea Najihah berkaitan telekung wakaf berkenaan.

Tetapi apabila saban hari si kecil asyik bertanyakan kesudiannya untuk membawa pulang dan membasuh kelengkapan solat itu, dia akhirnya mengalah pada permintaan anaknya.

Malah, persoalan mengenai kebersihan kelengkapan solat yang diajukan padanya turut membuatkan dia memikir kembali tanggungjawab yang perlu dilakukan.

“Antara soalan yang membuatkan saya termenung adalah mengapa kelengkapan solat orang dewasa tidak bersih? Mengapa orang dewasa tidak mementingkan kebersihan ketika bersolat?

“Saya terkedu dan memikirkan jawapan sebaik mungkin, tapi Sofea tak berpuas hati malah bertanya bila dia mahu mengambil telekung untuk dibasuh,” katanya.

Akhirnya, Norazila membuat keputusan mengambil telekung wakaf itu untuk dibasuh dan menggantikannya dengan telekung bersih bagi mengelakkan kekurangan telekung di surau berkenaan.

Dia bersyukur kerana desakan anaknya itu menjadi langkah pertama untuknya meneruskan usaha berkenaan di surau lain serta di pusat beli-belah berdekatan kediamannya ketika itu iaitu di Puchong.

“Saya bermula dengan lima telekung untuk dibasuh dan menggantikannya dengan telekung sendiri untuk memudahkan pengguna wanita bersolat,” katanya.

Dia yang sebelum ini bertugas sebagai kaunselor di sebuah sekolah menengah di Kepong, kini menjadikan aktiviti berkenaan sebagai rutinnya bersama anak setiap kali balik dari sekolah.

Kawasan tumpuan utama adalah sekitar Kepong, Puchong dan Damansara.

Idea meluas

Selama lapan bulan dia melakukan tugas secara sendirian bersama anak sebelum mengambil keputusan menyebarkan aktiviti amal terbabit kepada umum.

Sejak Fanpage TP ditubuhkan, pelbagai maklum balas diterimanya. Malah selepas seminggu, dia menerima kiriman berisi telekung daripada seseorang dari Kluang, Johor.

“Ada 10 pasang telekung dengan lapan terpakai dan dua masih baru dalam kiriman terbabit.

“Saya terkejut dengan sambutan orang ramai kerana tidak menyangka ramai yang sudi turut serta dalam aktiviti amal sebegini,” katanya.

Sekiranya selama ini keluarga Norazila bersusah payah mencuci semua telekung yang diambil dari surau, kini tugas mencuci lebih ringan.

Apa tidaknya, seorang pengusaha dobi secara sukarela memberi perkhidmatan mencuci secara percuma.

“Sebelum ini boleh dikatakan mesin basuh di rumah tidak pernah berhenti kerana setiap jam ada saja telekung wakaf yang perlu dibasuh tetapi kini tugas mencuci lebih mudah,” katanya yang pada awalnya menggunakan simpanan gajinya selama enam bulan sebelum berhenti kerja untuk membiayai kerja amalnya itu.

Untuk memberikan sepenuh tumpuan dan meneruskan usaha murni ini, dia sanggup berhenti kerja pada 1 Januari 2013 lalu.

Daripada cetusan idea si kecil itu, kini dia menerima sumbangan telekung wakaf yang banyak melalui laman TP manakala pengagihan berkenaan dilakukan secara berperingkat.

Malah, ada juga komuniti TP yang melakukan aktiviti amal sama di sekitar kawasan tempat tinggal mereka dan TP akan memberikan bantuan untuk memudahkan tugas.

Lebih membanggakan apabila telekung TP turut disumbangkan ke Laos serta Nepal bagi membantu golongan kurang bernasib baik di sana.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

520 views