Cetusan Idea Tiga Pereka

MENGETENGAHKAN interpretasi busana baju kurung tradisional sehingga rekaan blaus kontemporari, menjadi inspirasi gabungan tiga pereka muda dalam melahirkan idea seterusnya mempamerkan busana anggun mereka sempena pertunjukan fesyen lebaran Fashion Vanguard 2012 di Blackbox, Publika Solaris Dutamas pada 14 Jun lalu.

Afiq M, Zakwan Anuar dan Fizi Woo berkongsi pentas peragaan dengan mempamerkan koleksi busana Aidilfitri yang bukan saja sesuai digayakan untuk musim perayaan tetapi majlis koktel, makan malam mahupun resepsi formal.

Cetusan idea tiga pereka ini pasti unik dan menepati cita rasa wanita masa kini. Mereka bukan saja menzahirkan ilham terkini tetapi berkongsi rasa cinta menerusi stail, fesyen dan kesungguhan dalam memberikan seleksi berbeza kepada penggemar fesyen tempatan mahupun antarabangsa.

Kemeriahan lebaran dimulakan dengan menampilkan himpunan rekaan Afiq M yang memilih gaya lama kegemilangan fesyen 60-an bersama gabungan mood retro melatari konsep padanan dengan penekanan kepada potongan kolar dan cuff.

Keunikan rekaan Afiq M pada pemilihan palet warna monotone dengan padanan rona terang seperti kuning mustard serta jingga mewarnai helaian koleksinya. Bijak menggandingkan fabrik polos dengan perincian manik sederhana menjadikan rekaan anak muda ini berada dalam kelas tersendiri.

Pereka Zakwan Anuar pula mengambil alih pentas dengan koleksi lebih menggoda, dihidupkan menerusi aura aktres jelita tetapi misteri persis Rooney Mara, yang menjadi ilham di sebalik koleksi lebaran rekaannya.

Pelajar jurusan perundangan yang meneruskan minat dalam bidang fesyen ini lari daripada palet warna konvensional yang terang sebaliknya memadukan rona merah, hijau dan hitam untuk Aidilfitri bagi menonjolkan gaya lebih elegan serta sofistikated.

Tirai pentas peragaan dilabuhkan dengan percikan rona pastel yang dihidupkan menerusi koleksi rekaan Fizi Woo. Gaya elegan sepanjang zaman, diterjemahkan pada setiap helaian busana yang dipadankan anggun pada tubuh peragawati.

Di sebalik jenama ini, Fizi Woo bersama Izree Kai Haffiz menyelitkan elemen glamor tetapi lembut dengan menambah perincian renda pada koleksi mereka.
Selain itu, kebijaksanaan Fizi apabila memberi sentuhan suai padan menerusi padanan skirt dan blaus yang bukan saja sesuai untuk perayaan tetapi majlis kasual.

Pemilihan fabrik seperti sifon, renda dan kapas tentunya menambah kemasan setiap rekaan terutama unsur tradisi pada potongan baju kurung yang diberi sentuhan pendek dipadankan kain manakala untuk gaya kasual gaun malam sesuai untuk wanita yang mementingkan gaya serta penampilan.

Melengkapkan kemeriahan lebaran, barisan model turut menggayakan kasut serta aksesori daripada Shoes, Shoes, Shoes! dan Kluctched. Majlis peragaan terbabit turut menerima tajaan dekorasi majlis daripada Le Prestige.

Jemputan yang hadir pada malam itu dihiburkan dengan persembahan vokal hebat daripada Imran Ajmain yang tampak segak bergaya dalam satu persalinan hasil gabungan idea tiga pereka ini sendiri.

Semua koleksi Lebaran Fashion Vanguard 2012 boleh dimiliki dengan menghubungi ketiga-tiga pereka atau ke laman Facebook www.facebook.com/ZakwanAnuar dan www.facebook.com/officialfiziwoo.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,389 views