Cikgu Rania 2 (Siri 16): Di Taman Sekebun Cinta
SELESAI ijab kabul, bermula fasa baru dalam hidupnya! Alam perkahwinan. Hari ini merupakan derap langkahnya yang pertama bergelar isteri. Isteri kepada seorang lelaki bernama Ummar Qayyum. Bahtera mawaddah ini akan dilayari bersama Ummar Qayyum di lautan rumah tangga.
Di dada sejadah itu, buat pertama kali Rania bersolat Zuhur berimamkan suami.
Selepas salam diberi, Rania mengaminkan setiap doa yang dipanjatkan Ummar Qayyum. Panjang sekali doa Ummar Qayyum. Sewaktu tangan Ummar Qayyum dikucup hatinya berdetik, “Ya Allah, jadikanlah aku seorang isteri yang solehah.
Sinarilah dan rahmatilah rumah tangga yang baru kami bina ini. Amin Ya Rabul Alamin”, pohonnya.
Sebaik kepalanya terdongak, dahinya pula dikucup penuh kasih oleh sang suami. Jiwa Rania sungguh tenang saat itu. Dibiarkan sahaja detik-detik itu berlalu dengan aman tanpa gangguan.
“Dah lama abang mimpikan saat-saat seperti ini. Terima kasih kerana sudi jadi isteri abang.” Bisikan lembut Ummar Qayyum kedengaran syahdu di telinganya.
Penggunaan kata nama ‘abang’ yang diucap Ummar Qayyum menyentuh hati kecil Rania. Pada masa yang sama Rania berasa berdebar-debar.
Mampukah aku menjadi isteri solehah kepada Ummar Qayyum? Berupayakah aku menggalas tugas sebagai suri hatinya? Soal Rania sendiri. Lautan was-was tidak dapat dielakkan oleh wanita yang baru bergelar isteri itu. Sesekali datang juga perasaan gerun mengenangkan tanggungjawab dan amanah yang sudah pun terpikul di bahunya padahal buku berjudul “Tugas Seorang Isteri” sudah pun dikatam berkali-kali.
“Jangan bimbang sayang. Kita layari bersama-sama perahu kecil kita ini. Kita harungi hidup sebagai suami isteri dengan penuh kasih sayang. Kita akan saling melengkapi serta saling mengingati tugas dan peranan masing-masing,” bisik Ummar Qayyum sewaktu soalan itu diajukan padanya.
Telekung di wajah Rania dilucutkan oleh Ummar Qayyum. Wajah halus Rania diusap lembut. Kiri kanan pipi Rania dicium.
“Isteri abang yang cantik dan baik hati. Abang gembira dan sangat bangga.”
“Bimbing I jadi isteri yang solehah,” pinta Rania dalam debaran yang payah untuk ditafsir.
“Kan abang dah cakap lepas ni jangan bahasakan diri dengan ungkapan ‘I’ bila bercakap dengan abang,” Ummar Qayyum menegur Rania. Sudah beberapa kali diingatkan tetapi Rania masih terlepas cakap membahasakan dirinya I.
Rania tersipu-sipu. “Susahlah sebab dah biasa dengan I you I you,” Rania beralasan.
Hakikatnya walaupun dia suka tetapi dia berasa malu dan janggal dengan panggilan yang tak pernah digunakan sebelum ini. Dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan alam baru termasuk dalam panggilan berbahasa.
“Abang tak selesa guna I dan you dengan isteri abang,” Ummar Qayyum masih menyentuh muka isterinya yang bebas daripada sebarang alat solek.
“Kalau panggil saya dengan awak boleh?” pantas saja Rania tawar-menawar.
“Tak hendak I dan you. Tak hendak saya dan awak. Abang nak sayang panggil ‘abang’ dan bahasakan diri dengan ‘yang’,” ajar Ummar Qayyum.
“Okey?” pesannya.
Mendengar bunyi tetamu bergelak tawa di bawah, Ummar Qayyum bangkit dari sejadah lalu menuju ke jendela. Dari situ dia mengintai para tetamu di halaman rumah. Tetamu banyak di bawah.
“Tak biasalah nak bahasakan diri dengan ‘yang yang’ ni,” rungut Rania seraya melipat telekung.
“Tadi suruh abang bimbing, sekarang kenalah ikut.” Ummar Qayyum hampiri isterinya semula sambil mencubit manja pipi Rania. Ummar Qayyum mengenakan sepersalinan baju Melayu berwarna biru muda. Cocok sekali dengan warna kulitnya yang putih kemerahan.
“Abang tunggu kat luar ya!” ujar Ummar Qayyum apabila Kak Tipah, mak andam yang akan menyolekkan Rania muncul.
“A.. aabang nak turun dulu pun tak apa. Kawan-kawan dah banyak tunggu kat bawah tu.” Tergagap-gagap Rania menyebut perkataan ‘abang’. Ummar Qayyum tersengih sahaja.
“Abang tunggu di luar ni. Kita turun sama-sama,” tegas Ummar Qayyum.
“Romantisnya suami Ren. Dahlah kacak bergaya,” puji Kak Tipah, mak andam yang ditempah khas untuk Rania.
“Alhamdulillah, semoga romantisnya itu berkekalanlah hendaknya.”
“Eh mestilah, tengok pun tahu,” ujar Kak Tipah sambil membetulkan persalinan
yang baru dikenakan pada Rania. Kemudian dia membutang bahagian depan baju kebaya biru muda yang nampak begitu cantik dan anggun di tubuh Rania.
“Mekap tak mahu tebal-tebal ya,” pesan Rania sewaktu mukanya baru dicalit dengan bedak asas. Awal-awal lagi dia telah mengingatkan mak andam agar tidak mengenakan solekan tebal di mukanya.
“Tak ada maknanya nak mekap tebal-tebal sebab muka Ren dah memang cantilk.
Masa nikah tadi pun akak calit sikit-sikit saja,” kata Kak Tipah.
Bibir nipis Rania dicalit dengan gincu berwarna merah jambu lembut.
“Macam tebal saja Ren tengok tadi,” giat Rania.
“Mana ada…” Kak Tipah menjeling. “Satu dunia puji Ren cantik tadi. Akak dengar, akak pula yang naik bangga.” Kak Tipah mengelekek geli hati. Dua puluh minit siapkan Rania, pengantin itu sudah nampak berseri-seri.
“Untunglah cik abang yang handsome tu dapat isteri macam ni.” Kak Tipah membetulkan kain bentuk lipat kipas yang dipakai Rania. “Dah siap pun! Tak perlu lama-lama, tak payah berjam-jam bersolek nak buat cantik!”
“Jom…,” ajak Rania.
Kak Tipah mengiringi Rania. Di luar, Ummar Qayyum setia menanti. Ketara dia tergamam melihat si isteri. Tangan Rania digenggam erat dan berhati-hati sekali dia mengiringi Rania sewaktu mereka menuruni tangga menuju ke tempat para tetamu. Beberapa lensa kamera memfokus ke arah mereka sebaik sahaja pasangan mempelai itu bertemu para tetamu.
Ummar Qayyum berjabat tangan dengan para sahabatnya dan memperkenalkan Rania kepada mereka. Rakan-rakan sejawatan Rania juga tidak ketinggalan mahu bergambar bersama pengantin baru. Bila ada kesempatan, Ros Ilyani bersama Halim turut merapati Rania. Ummar Qayyum pada waktu itu sedang bersembang dengan beberapa rakan korporatnya. Rania menjerit kecil melihat kakak angkatnya itu.
Wanita itu dipeluk erat. Hampir menitis air mata Rania tatkala Halim mengucapkan tahniah.
“Terima kasih sudi datang,” ucap Rania ikhlas. Riang sungguh hatinya kerana banyak teman rapat yang dapat menghadirkan diri walaupun majlis dirancang pada saat-saat akhir.
“Orang dah jemput datanglah…,” sahut Halim bermakna.
“Buah jambu kau apa khabar Lim? Kau tak bawa untuk aku?” gurau Rania.
“Masih sudi makan buah jambu aku bila kau ada kek empat tingkat tu?” tukas Halim sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah meja bulat tempat kek empat tingkat diletakkan. Ros Ilyani sigung adiknya dengan hujung siku.
“Apalah kau ni Lim!”
“Maaf Ren, aku bergurau saja.” Menyedari ayatnya agak keterlaluan, Halim pohon kemaafan.
“Kak Ros dah makan ke ni?” Rania tukar tajuk perbualan.
“Dah. Tadi lagi. Dah jumpa mak cik pun. Dia yang layan kami masa Ren solat tadi.”
“Abang Redwan pun ada. Dia tanyakan tentang Kak Ros.” Tiba-tiba Rania berkata begitu.
Berubah air muka Ros Ilyani diusik Rania tapi perbualan mereka terhenti di situ tatkala Ummar Qayyum datang semula. Halim disapa penuh mesra oleh Ummar Qayyum. Halim melarikan pandangan tatkala dia perasan lengan Ummar Qayyum melingkar di pinggang Rania.
“Nanti Ren ikut Qayyum pergi Sweden sampai bila?” tanya Ros Ilyani.
“Tiga hari lagi kami berangkat tapi Ren balik semula lepas dua minggu sekolah buka,” jelas Rania.
Segala urusan cuti dan urusan ke luar negara telah pun diselesaikan oleh Rania dibantu oleh ayahnya.
“Ren tak ada niat nak berhenti dan berhijrah ke luar negara kan?”
“Eh Kak Ros, mana ada. Qayyum pun tak lama dah kat sana. Dua minggu lepas Ren balik, Qayyum balik juga.”
“Entah entah saya balik sekali dengan Ren Kak Ros,” seloroh Ummar Qayyum seraya menggenggam erat tangan isteri kesayangannya. Sambil bergurau-senda dengan Ros Ilyani, sempat pula mereka melayan dan bersalam-salaman dengan para tetamu yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah pada pasangan yang sama cantik itu.
Ashraf Daniel pada setiap masa merakam detik dan aksi pengantin dengan perakam video Canon padahal jurukamera profesional sudah pun dipertanggungjawabkan untuk tugasan itu. Merakam detik-detik bersejarah sebegitu amat menyeronokkan tambahan pula melakukan kerja tersebut bersama Jennifer. Sahabat baiknya itu begitu teruja melihat pernikahan orang Melayu.
“She is so gorgeous…” Pujian Jennifer melebarkan senyuman Ashraf Daniel.
“She is my auntie now,” kata Ashraf Daniel dengan bangga.
“Saya tahu, tak payah nak berlagak,” potong Jennifer diikuti dengan tawa besar Ashraf Daniel.
Tidak dapat dinafikan setiap mata yang memandang pasangan pengantin sudah pasti akan memuji gandingan mempelai yang bagai pinang dibelah dua. Pujian itu bukan sahaja dinyatakan pada pengantin bahkan singgah juga di telinga ibu bapa pengantin. Senyum berladung di bibir Puan Sri Zalia, suami dan juga Nenek Ninda. Kembang hati mereka mendengar kata-kata para tetamu.
“Alhamdulillah, suka saya tengok mereka kak. Berbesan juga kita akhirnya Kak Ninda,” ujar Puan Sri Zalia apabila para tetamu mulai menyusut. Matanya tidak lekang daripada memerhatikan pasangan anak menantunya. Sesekali dia mengintai cucu-cucunya yang riang berkejar-kejaran dengan sanak-saudara yang sebaya mereka.
“Syukur pada Allah SWT, semuanya selamat.” Nenek Ninda raup mukanya. “Tengok si Acap tu, sukanya dia. Cikgu kesayangan dah jadi ibu saudara,” ujar Nenek Ninda.
Dia senang melihat gelagat riang Ashraf Daniel yang suka menyakat pasangan pengantin. Bukan dia tidak tahu cucu kesayangannya itu sejak dahulu berangan-angan supaya Rania jadi mak ciknya.
“Bertemu jodoh Qayyum dengan Rania sebab ramai yang mendoakan,” tokok Puan Sri Zalia pula.
“Zalialah beruntung. Tahun ni saja dapat dua menantu.”
“Akak pun apa kurangnya!”
“Akak lagi beruntung dapat menantu secantik Ren,” Pujian Nenek Ninda membuatkan hati Puan Sri Zalia kembang kuncup. Sebaik sahaja Puan Sri Zalia beredar, mata Nenek Ninda tersuluh pada Murni yang duduk bersendirian di bangku panjang tidak jauh darinya. Dia menggamit tangan pada Ashraf Daniel lalu disuruhnya Ashraf Daniel memanggil Murni.
“Murni sihat?” tanya Nenek Ninda sebaik sahaja Murni menyalaminya. Nenek Ninda usap perut Murni yang mulai membonjol.
“Bolehlah nenek.”
“Mana Rais?”
Murni angkat bahunya.
“Dah berapa bulan ni?” Pertanyaan Nenek Ninda membuatkan Murni tersedak. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan itu. Sudahnya dia berbohong.
“Tiga lebih kot…,” sahutnya perlahan sekali.
“Ni macam bunting pelamin ni.”
Murni matikan persoalan itu dengan memicit-micit kepalanya. Lelah rasanya setiap kali diajukan tentang kandungan itu. Banyak nasihat yang sempat dititipkan oleh Nenek Ninda kepadanya. Dia lebih rela mendengar daripada berkata-kata. Otaknya tidak dapat berfikir dengan tenang kerana banyak benar masalah yang mengganggu benaknya kala itu. Ikutkan hati dia mahu berkurung sahaja di kamar tetapi jiwanya memberontak. Dia tidak senang bersendirian apabila mengenangkan Ummar Qayyum bersama Rania sedang menikmati saat-saat indah pernikahan mereka. Dia sakit hati tetapi buat masa itu apa yang mampu dia lakukan? Dia mati akal. Melihat wajah bahagia Rania hatinya bertambah hancur.
Jiwanya parah seumpama luka yang disiram air garam. Mampukah aku hidup sebumbung dengan mereka. Mampukah aku melihat Abang Qayyum dengan Rania memadu kasih di hadapan mataku?
Apabila Bakhtiar sekeluarga datang menyaingi dan duduk bersembang dengan Nenek Ninda, Murni mengambil kesempatan memerhatikan pasangan pengantin yang sedang dikelilingi oleh rakan dan taulan yang mahu bergambar kenangan. Lengan kekar Ummar Qayyum sentiasa berlilit di pinggang Rania. Pandangan mata Ummar Qayyum terhadap Rania menyemarakkan api cemburunya pada perempuan muda yang baru bergelar isteri itu. Kau rampas abang Qayyum daripada aku Ren! Aku akan sentiasa ingat perbuatan kau itu! Tidak semudah itu untuk aku lupakan. Murni menggetap giginya. Hatinya berasa sungguh panas.
“Kak Murni dah makan?”
Konsentrasinya terganggu apabila suara seseorang menegurnya. Murni anggukkan kepala. Ashraf Daniel duduk di sebelahnya. Perakam video dihalakan oleh Ashraf Daniel ke muka Murni. Kerana tidak selesa, Murni mengelak.
“Sportinglah sikit kak,” tegur Ashraf Daniel apabila Murni menggunakan kedua-dua belah tangan untuk menutup wajahnya daripada dirakam Ashraf Daniel.
“Kak Murni tak cantiklah…” Murni menolak.
“Cantiklah tu…” Tanpa mempedulikan tegahan Murni, Ashraf Daniel merakam muka Murni.
Kemudian, dia menunjukkan gambar yang dirakam kepada Murni.
“Kak Murni nampak bulat sikit,” kata Ashraf Daniel. Setelah itu ditunjukkan pula rakaman video yang menayangkan Rania sedang memotong kek perkahwinan setinggi empat tingkat. Berderau darah Murni apabila melihat Ummar Qayyum mencium pipi Rania.
“Comelkan… tengok Makcik Ren cantik sangat sangat!” Pujian Ashraf Daniel menyebabkan dada Murni turun naik menahan cemburu yang teramat sangat.
“Pengantin dah kena mekap mestilah cantik!” bantah Murni.
“Mana ada. Makcik Ren tak pakai mekap pun. Dia cantik asli. Untunglah Pak Ucu dapat Makcik Ren. One in a million,” tokok Ashraf Daniel tanpa menyedari Murni seperti hendak pengsan mendengar kata-kata tersebut. Menyedari keluarganya berkumpul di situ, Ashraf Daniel memanggil pasangan pengantin tersebut untuk dirakam gambar bersama keluarga.
Murni sudah tidak keruan. Isi perutnya seperti hendak terkeluar tatkala Bakhtiar menyuruh Ummar Qayyum memaut bahu Rania seraya mencium pipi pengantinnya sebelum gambar mereka dirakam. Datang pula Tan Sri Razlan tapi Puan Sri Zalia tidak kelihatan. Suasana ceria dan riang ria menghiasi dua buah keluarga yang sudah bersatu. Ketara Rania disayangi oleh semua.
“Jom Murni ambil gambar sekali. Tak ambil lagi gambar dengan Murni,” pelawa Rania.
Ashraf Daniel sudah bersiap sedia hendak menangkap gambar manakala wajah Ummar Qayyum berubah rona. Langsung tidak ditegurnya Murni. Menyedari air muka Ummar Qayyum yang kurang mesra itu, Murni jadi serba salah tetapi apabila diajak berulang kali oleh Rania, Murni tiada pilihan. Dia berdiri di sebelah Rania.
Setelah gambar mereka diambil, Ashraf Daniel menyerahkan kamera pada Jennifer.
“Acap nak berdiri sebelah Makcik Ren.” Dia lalu menyelit di tengah-tengah.
Murni tertolak ke tepi. Bengkak hati Murni hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ashraf Daniel dulu pernah begitu rapat dengannya tapi sekarang Murni perasan anak saudara Ummar Qayyum itu kini sudah berubah. Dia sangat menyayangi dan mengagumi Rania. Nama Rania sahaja yang meniti di bibirnya. Bukan Ummar Qayyum sahaja yang dirampas Rania bahkan seluruh keluarga Ummar Qayyum sudah diikat Rania. Apa yang tinggal padaku?
Dia nampak Rais sedang berbual dengan Ros Ilyani dan Halim. Cepat-cepat Murni meloloskan diri lalu menghampiri Rais dan duduk di sebelahnya.
“Murni dah berapa bulan mengandung ni?” Sekali lagi soalan yang dibenci itu ditanya oleh Ros Ilyani.
“Masuk empat bulan!” Kali ini Murni menyahut dengan yakin sekali. Dia puas hati tengok muka Ros Ilyani yang agak terkejut. Rais terkebil-kebil. Semua terdiam seketika.
“Kalau Murni penat, naiklah dulu.”
“Penat juga tapi tak apalah…”
“Dah solat?” tanya Rais lagi.
“Zuhur dah,” sahut Murni. Dia tidak mahu naik ke atas kerana dia hendak melihat dan mengawasi setiap gerak-geri Rania. Kalau naik, dia akan terlepas macam-macam, fikirnya. Sakit hati Murni menjadi-jadi melihatkan Ummar Qayyum yang berlebih-lebih melayan Rania. Setiap masa dia berlingkar di sebelah isterinya manakala jari-jemari tangannya tidak lepas-lepas bersilang dengan jari Rania.
Rania pula menikmati saat-saat pernikahannya dengan gembira tanpa mengetahui dendam kesumat yang sudah berakar umbi di jiwa Murni. Dalam pada sibuk bergambar dan melayan ahli keluarga, tiba-tiba pandangan Rania tertangkap pada sebuah wajah. Terkejut bukan kepalang Rania dibuatnya. Rania amati wajah perempuan muda yang sedang berbual dengan seseorang. Hati Rania jadi tidak menentu. Perempuan misteri itu ialah perempuan muda yang ditemui bersama ayahnya di Pavilion. Perempuan itu pernah menghadiri majlis perkahwinan Abang Rais. Hari ini dia tetap ada. Siapa perempuan itu? Rania bermonolog sendiri tapi tumpuannya terhadap perempuan itu terjejas kerana dia sering didatangi tetamu.
“Kenapa sayang?” soal Ummar Qayyum menyedari Rania sudah hilang tumpuan. Rania menggeleng tapi spontan dia teringatkan ibunya.
“Kejap ya abang.” Ditinggalkan Ummar Qayyum sendirian melayan tetamu yang masih bersisa.
Rania mencari emaknya. Di dalam rumah ibunya tiada. Menurut Makcik Rohaya, dia nampak Puan Sri Zalia bersama Datin Latifah sebentar tadi. Rania meluru ke laman depan. Sewaktu sibuk mencari ibunya, tangan Rania ditarik Ummar Qayyum.
“Kat sini sayang abang. Melilau abang cari. Kenapa ni?” soalnya prihatin.
“Maaf, Ren cari mama,” sahut Rania dengan sedikit rasa bersalah.
“Tu mama.” Ibu jari Ummar Qayyum menghala ke arah Puan Sri Zalia yang seperti sedang berbisik sesuatu dengan Datin Latifah. Berkerut dahi Rania melihat rona serius yang menghiasi laman wajah si ibu. Sambil berbual kedua-dua wanita itu kelihatannya sedang memerhatikan ke satu sudut.
Rania tumpang semangkuk. Dia juga menoleh ke arah yang sama. Berderau darahnya sebaik sahaja menyedari bahawa orang yang sedang diperhatikan oleh ibunya dan Datin Latifah ialah perempuan muda misteri itu.
Dada Rania berdebar-debar. Sudah tahukah mama? Bisik Rania sendiri. Dia terduduk di sebuah kerusi kosong. Janganlah mama tahu masa ni!
“Kenapa ni sayang?” Bahu Rania dipaut Ummar Qayyum. Mata mereka bertatapan.
Cuba Rania sembunyikan rahsia hatinya itu namun terbaca juga dek Ummar Qayyum.
“Kenapa?” Dagu Rania disentuh Ummar Qayyum. Wajahnya penuh pengertian. Sedar dia bahawa ada sesuatu sedang melanda suri hatinya.
“Mama…,” sahut Rania. Semasa Rania mengalihkan pandangannya pada ibu
sekali lagi, dilihat ibu dan Datin Latifah sedang mengorak langkah menuju
ke arah perempuan misteri itu.
“Ya Allah, mama nak buat apa?” Jantung Rania terasa seperti hendak luruh.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23