Cipta Trend Sendiri

Usianya baru mencecah 24 tahun namun siapa sangka gadis semuda itu kini memiliki perniagaan selendang sendiri yang mempunyai pulangan mencecah puluhan ribu sebulan.

Saat penulis bersua dengan Noorinora Putri Noorzaini, baru-baru ini, terdetik di hati mengatakan gadis itu mungkin berasal daripada keluarga hartawan.

Namun telahan itu jauh tersasar kerana kejayaan yang dinikmati pemilik label Sincerely By Us Shawl (SBU) itu hari ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.

Noorinora atau lebih mesra dipanggil Nora mengakui keluarganya bukan golongan hartawan, namun bidang perniagaan bukan asing baginya kerana ibunya sebelum ini turut menceburi bidang perniagaan minuman dari Timur Tengah.

Mengulas mengenai pembabitan awal dalam perniagaan itu, Nora berkata, dia memulakannya secara kecil-kecilan ketika masih bergelar pelajar jurusan pengurusan acara di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor.

Katanya, dengan modal RM300, dia memperkenalkan selendang empat segi dan selendang panjang menggunakan konsep pratempahan di atas talian.

“Ketika itu saya menggunakan laman sosial Facebook untuk mempromosikan kepada rakan-rakan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ia mendorong saya membuka ‘booth’ secara kecil-kecilan di pelbagai karnival jualan di sekitar Shah Alam.

“Dari situ, saya mengumpul modal serta pengalaman dan selepas dua tahun, akhirnya butik pertama SBU dibuka di Alam Avenue, Seksyen 16, Shah Alam,” katanya.

Menurut Nora, koleksi selendangnya mendapat sambutan kerana corak-nya berbeza dengan apa yang ada di pasaran.

Jelasnya, rekaan selendang SBU menepati cita rasa pelajar serta wanita berkerjaya kerana ia dihasilkan daripada fabrik berkualiti selain corak yang melangkau gaya fesyen semasa.

“Pada saya, untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan kita perlu mencipta sendiri aliran dan bukan mengikut apa yang sudah popular.

“Prinsip itu sedikit sebanyak berjaya melonjakkan label SBU dan kini ia dikenali di seluruh negara serta negara jiran termasuk Singapura dan Brunei,” katanya.

Bertitik tolak daripada sambutan hangat yang diterima, Nora meluaskan pasaran perniagaannya dengan membuka cawangan SBU baru di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Bangi.

Pembukaan cawangan itu pada Januari lalu mendapat sambutan hangat dan dianggarkan lebih 500 pelanggan setia beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan koleksi terkini jenama berkenaan.

Nora berkata, dia terkejut dengan sambutan di luar jangkaan itu dan tidak menyangka selendang jenamanya mempunyai peminat yang begitu ramai.

“Memang pasaran tumpuan kita adalah kepada golongan pelajar dan wanita muda yang berkerjaya.

“Sambutannya amat menggalakkan hingga ada rekaan terpaksa ditambah bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hobi di waktu lapang, anak kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Supritendan Noorzaini Mohd Noor ini berkata, kebanyakan masa terluang diisi dengan melancong dan membeli-belah.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui, meskipun masanya agak terhad kerana terpaksa berulang-alik antara dua cawangan SBU, dia tetap mencuri waktu untuk hobinya itu.

Kata Nora, destinasi percutian yang paling digemari adalah Bangkok, Thailand kerana kota raya itu unik dan mempunyai keistimewaan sendiri.

“Saya gemarkan suasana di Bangkok yang sentiasa meriah manakala penduduknya juga mempunyai selera sendiri dalam berfesyen.

“Jadi, sambil melancong, saya juga mencari ilham untuk perniagaan,” katanya.

Selain itu, Nora mengakui dia juga gemar mencuba makanan baru dan sanggup memandu ratusan kilometer bersama tunangnya semata-mata untuk menikmati sesuatu hidangan.

Katanya, dia tidak mempunyai selera tertentu dan suka mencuba apa saja hidangan baru dan yang sudah menjadi sebutan ramai.

“Saya beruntung kerana tunang juga mempunyai kegemaran sama dan kami berdua suka meredah banyak tempat untuk merasai sendiri keenakan sesuatu hidangan.

“Baru-baru ini, kami teringin menikmati Coconut Shake di Melaka jadi tanpa berfikir panjang terus memandu ke sana,” katanya.

Ketika diminta menamakan individu yang menjadi tonggak kejayaannya selama ini, Nora berkata, ibu dan ayahnya menjadi insan penting di sebalik kejayaan yang diraihnya hari ini.

Selain itu, tunangnya Azrin Zainal Abidin, 24, adalah individu yang sentiasa berdiri di belakangnya bagi membantu melancarkan operasi SBU.

Katanya, dia beruntung kerana Azrin mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan yang sedikit sebanyak membantu dalam urusan perniagaan berkenaan.

“Keluarga dan Azrin sentiasa ada untuk memberi sokongan ketika saya mula-mula menceburi bidang ini kira-kira empat tahun lalu.

“Berkat dorongan daripada mereka semua, jenama SBU kini semakin dikenali,” katanya yang bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya itu pada November depan.

Sementara itu, untuk perancangan masa depan, Nora berkata, selain tudung dia juga meminati perniagaan berasaskan makanan.

Kata Nora, dia memasang impian untuk membuka perniagaan makanan seperti kafe santai pada suatu hari nanti bagi meluaskan lagi cabang bisnesnya.

“Kafe santai amat sesuai kerana bagi pelanggan yang sudah berkeluarga, mereka boleh menunggu sambil menjamu hidangan ringkas di kafe berkenaan.

“Bagaimanapun, ia hanya rancangan untuk tempoh jangka panjang kerana fokus utama saya sekarang untuk memantapkan lagi perniagaan sedia ada dengan membuka lebih banyak cawangan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

589 views