Ciri Klasik Penyeri Gaun
BAGAIKAN puteri, gaun labuh putih bersih yang membaluti tubuh anggun digayakan raja sehari. Selain menonjolkan kejelitaan mempelai, rona suci seperti putih susu, putih dan krim menjadi warna kegemaran wanita sepanjang zaman.
Putih menggambarkan ketulusan serta kesucian hati pasangan dua sejoli. Terpahat ikatan cinta menerusi perkahwinan yang diterjemahkan pada busana cukup indah bertemakan kisah khayalan.
Koleksi pengantin Innai Red ilham pereka Arene P Khairudin dan Juliani Jamal mengutamakan kekemasan, bersih dan tidak sarat perhiasan.
Keistimewaan rekaan dua pereka ini apabila mengetengahkan konsep minimalis dengan memberi tumpuan pada potongan ala duyung, kembang dan piramid bagi menyerlahkan kelangsingan mempelai. Selain itu, baju kurung dengan sentuhan moden bunga-bungaan pada hujung baju dan bertingkat menampilkan kelainan serta cita rasa tersendiri.
Perincian kristal dan mutiara dijahit teliti sebagai tambahan kepada keanggunan serta gaya elegan si pemakai.
Himpunan pengantin Innai Red menggunakan fabrik mewah seperti renda Perancis, sifon, sutera, satin dan tulle dilapisi organza. Ini kerana semua material ini sesuai dijadikan busana disebabkan sifatnya yang lembut serta beralun cantik apabila dipakai.
Jahitan sekuin pada kain dan baju menambah seri, apatah lagi digayakan untuk majlis di taman. Selain terjemahan unsur moden, ciri-ciri klasik dapat dilihat pada bahagian pinggang apabila Arene dan Juliani memberikan gaya segar dengan potongan kembang pada baju serta kemasan manik dan permata bagi menonjolkan kerampingan pengantin.
Lebih menarik apabila sedikit sentuhan tradisional pada baju berpotongan kebaya menambah gaya feminin mempelai, ditambah kemasan reben pada bahu untuk mereka yang inginkan kelainan.
Di samping itu, kedua-duanya bijak menghasilkan sentuhan unik ‘bermain’ dengan reben sebagai perhiasan baju, jahitan butang pada bahagian belakang juga kain berbulu untuk tampil berbeza.
Koleksi pengantin Innai Red boleh didapati di butik Innai Red Sri Hartamas.
Untuk mengetahui lebih lanjut, layari laman sesawang www.innaired.com.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/12