Cotton Flannel Paling Menangkap Mata
Fungsi seiring kreativiti. Tanpa mengenepikan realiti, fungsi serasi dengan trend terkini seperti falsafah yang dipegang Uniqlo selama ini.
Berbanding beberapa koleksi lalu, Uniqlo tampil lebih dramatik dengan pelbagai medium tarikan melatari konsep barunya bagi peralihan musim luruh dan dingin kali ini.
Rekaan minimal dengan pelbagai pilihan warna masih menjadi tanda pengenalan rumah fesyen Jepun ini, namun musim ini lebih menonjolkan gaya kehidupan berbeza setiap individu.
Cetusan konsep baru dikenali LifeWear ini hadir bagi melengkapi lapisan luar pakaian dengan serakan rona polos dan corak alam.
Seperti kata Timbalan Presiden Eksekutif Kumpulan Uniqlo Co Ld, Naoki Otoma, Uniqlo kini melangkah ke depan dalam industri fesyen daripada sekadar pelengkap gaya suai padan.
“Walaupun Uniqlo bukanlah label yang dicipta mengikut gaya terkini, kami sentiasa berusaha mencetuskan kreativiti si pemakai dalam menyuai padan penampilannya.
“Uniqlo amat berpegang teguh kepada falsafah rekaan untuk semua dan kami berusaha menyediakan pakaian yang sesuai untuk semua jenis manusia, melangkaui kategori seperti umur, pekerjaan, kewarganegaraan dan jantina,” katanya.
Bukan satu, bukan dua tapi 12 projek berbeza diletakkan di bawah konsep LifeWear ini yang merangkumi helaian asas penuh revolusi.
Setiap kategori menjalani kajian, ujian dan saringan teliti agar setiap helaian yang dihasilkan menepati kehendak serta keperluan pengguna.
“Semua projek ini dikategorikan mengikut maklum balas pengguna, di samping kajian barisan pereka Uniqlo yang mengambil kira faktor persekitaran, ekonomi dan gaya hidup manusia.
“Material baru turut diperkenalkan, selain menggabungkan fabrik yang selama ini sukar atau mustahil diperoleh pada harga berpatutan.
“Menerusi konsep ini, Uniqlo cuba memberikan inspirasi baru dalam berfesyen tanpa mengenepikan matlamat asalnya – rekaan untuk semua,” ujarnya.
Projek Cotton Flannel antara himpunan paling menangkap mata kerana lagak dan temanya yang menyeronokkan. Kemeja kasual corak petak bermain sesama sendiri lalu menghasilkan gaya padu padan moden tanpa menjejaskan fungsi kepelbagaiannya.
Uniqlo juga terkenal dengan kolaborasi bersama pereka eksentrik dan untuk konsep ini, 10 pereka Sweden dikenali Topics tampil dengan citra unik Scandinavia-Jepun.
Heattech
Revolusi dan evolusi teknikal Uniqlo dipamerkan pada tahap maksimum dalam menghasilkan projek ini. Helaian pakaian dalam dan luar seakan-akan menjadi satu lalu memberikan kesan selesa bagaikan kulit kedua.
Dengan mengambil idea ringkas pakaian dalam haba, Heattech diperkemaskan dengan rekaan moden yang boleh dijadikan pakaian luaran.
Musim ini juga memperkenalkan ‘Heattech for the extreme cold’ iaitu rangkaian baru yang menampilkan fabrik 1.6 kali lebih hangat daripada koleksi sebelum ini.
Ultra Light Down
Berteraskan pakaian pelbagai guna, projek Ultra Light Down ini boleh digayakan dalam banyak cara dan di mana saja – tanpa berkompromi dari segi praktikal dan kemampuannya.
Jaket Ultra Light Down direka dalam bentuk rompi, labuh dan pendek bagi memudahkan penggayaan sebagai helaian luar. Ia juga disifatkan pakaian peralihan daripada aktiviti luar hingga dalam dan tidak terlalu sarat jika dipadankan dengan beberapa helaian lain.
Penghasilannya tidak serumit produk terdahulu, di mana konsep LifeWear ini dilihat sebagai langkah gaya kontemporari yang menyuntik teknik quilt tradisional dengan menggunakan nilon paling halus.
Direka bagi menepati stail maskulin dan feminin, jaket Ultra Light Down ini juga mudah dibawa untuk aktiviti kembara. Ia memberikan kehangatan yang diperlukan tanpa membebankan bagasi.
Fleece
Bermula sebagai pakaian sukan, fleece kini antara item utama di Uniqlo. Fungsi asasnya masih sama, memberi kehangatan pada waktu dingin, tapi disuntik rekaan segar agar lebih menonjol dan berbeza daripada biasa.
Jaket fluffy dibuat daripada dua jenis benang tebal bagi memaksimumkan rasa lembut dan hangat pada tubuh. Potongannya lebih menepati lekuk tubuh manakala rekaan keseluruhan menyerlahkan lagi gaya urban.
Silk
Kategori baru dalam musim ini menonjolkan penggunaan sutera pada keseluruhan koleksi, tapi diletakkan dalam senarai harga berpatutan.
Sutera yang selama ini dianggap fabrik mewah, diubah menjadi helaian gaun dan blaus kontemporari yang menarik digayakan bersama celana jean atau skirt.
Menggunakan sutera gred 5A dan 6A, setiap helaian menyerlahkan potongan anggun dan feminin. Sutera kaya dengan asid amino, komposisi sama seperti kulit manusia yang membuatkan koleksi ini lembut kala disarungkan ke tubuh.
Cashmere
Kemewahan kontemporari pada sehelai kardigan. Fabrik 100 peratus kashmir bukan saja memberi ruang untuk tubuh bernafas, tapi ruang pergerakan bebas.
Baju panas tradisional berleher V direka uniseks dengan mainan warna blok yang menonjolkan lagi stail kasual-mewah.
Cotton Flannel
Cetusan ilham daripada pakaian klasik Amerika Syarikat, tapi disulami rekaan moden era ini. Projek ini memaparkan daya kreativiti tinggi, di mana maksimum enam corak petak berbeza digabungkan pada satu kemeja.
Bunyinya mustahil, tapi hasilnya memukau dengan padanan lebih eklektik.
Uniqlo nyata lari daripada kebiasaan dengan meletakkan kreativiti di tangga utama, di samping mengekalkan fungsinya.
Ultra Stretch Jeans
Antara produk paling mendapat sambutan hangat di Uniqlo. Kuasa meregang hingga 40 peratus tanpa menjejaskan bentuk asal seluar nyata jadi tarikan utama terutama apabila ia membuatkan kaki tampak lebih langsing.
Projek ini dipelbagaikan dengan variasi corak serta pengenalan kepada helaian baru iaitu New Ultra Stretch Cargos.
Topics
Kolaborasi dengan 10 pereka Sweden ini bagaikan refleksi bahawa LifeWear mampu menjadi konsep tempatan dan global untuk si pemakai.
Serakan rona ceria dengan padanan beg sebagai aksesori menjadikan projek ini antara yang dinantikan bagi musim luruh dan dingin 2013.
Warm Easy Pants
Selesa dan kasual.
Projek yang dicetuskan daripada seluar santai tradisional dalam budaya
Jepun ini menyaksikan ia diperkemaskan dengan aspek kalis air dan kalis
angin bagi membolehkannya digunakan untuk aktiviti luar.
Uniqlo turut memperkenalkan skirt dengan perincian quilt dalam potongan wrapped.
Denim
Variasi palet indigo direka dalam pilihan polos atau jenis bercetak. Denim Heattech dan jean Windproof turut disertakan dalam projek ini bagi menyemarakkan lagi gaya klasik kontemporari denim.
Musim ini terarah kepada stail ringkas maskulin dengan padanan kemeja denim klasik.
Leggings Pants
Penggunaan rajut hasil kombinasi fabrik kapas dan poliuretana memberikan kesan regangan semula jadi pada celana legging, yang turut diperluaskan untuk pasaran jejaka.
Potongan dan corak lebih elegan untuk si wanita manakala bayangan kasual untuk lelaki yang dihasilkan dalam rujukan super skinny.
Eksentrik tapi pada masa sama, menarik dan sesuai untuk apa jua padanan gaya.
Shirts
Projek terakhir dalam konsep LifeWear ini memperlihatkan variasi kemeja dalam gaya polos, bercetak dan polka dot yang menggunakan fabrik lembut.
Meletakkan aspek keselesaan di tangga utama, projek ini hadir dalam bentuk kasual dan kemas untuk aktiviti harian.
(Penulis menyertai pertunjukan trend musim luruh dan dingin 2013 Uniqlo di Tokyo, Jepun, baru-baru ini)