Cuba Bedak Asas Di Rahang

SERING KALI kita bertanya mengapa solekan yang dikenakan seseorang wanita itu nampak molek saja, tidak terlalu tebal, berminyak dan semula jadi, pada hal dia berkulit gelap?

Mengapa pula setiap kali memakai bedak asas selepas satu jam kulit sudah berminyak, wajah berbelak sehingga adakalanya terdapat tompokan putih di sekitar wajah. Keadaan ini amat meresahkan sehinggakan kita berasa kurang yakin untuk bersolek lantas membiarkan wajah kusam tanpa sebarang solekan.

Ramai wanita tidak tahu pemilihan warna kosmetik amat penting bagi menyerlahkan penampilan. Bermula daripada bedak asas, pembayang mata sehingga gincu, ia memerlukan penelitian daripada segi pemilihan rona yang betul.

Ini kerana jika tersalah pilih, akan muncul beberapa gelaran seperti ‘tepung gomak’ atau ‘badut’ lantaran penggunaan warna yang salah sekali gus membuatkan penampilan kelihatan hambar.

Menurut jurusolek profesional Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Zalifah Zakaria, selain memahami jenis kulit dan produk rawatan wanita juga perlu mendalami rona kulit serta warna alat solek yang sesuai digunakan.

“Ini kerana, pemilihan warna yang betul dan tepat memberikan kesan lebih menyerlah selain membuatkan penampilan tampak semula jadi. Terutama warna bedak asas dan bedak padat yang memainkan peranan utama kepada keseluruhan solekan,” katanya.

Zalifah yang berpengalaman menyolek selebriti terkenal tanah air mengakui di pasaran terdapat pelbagai jenis warna bedak asas, pembayang mata serta gincu yang boleh disesuaikan dengan warna kulit seperti cerah, kuning langsat, sawo matang atau gelap.

Untuk kulit cerah, mereka tidak mempunyai kesukaran membuat pilihan kerana kebanyakan warna boleh digunakan seperti merah jambu, biru, hijau dan ungu.

Bagi pembayang mata, mereka boleh menggayakan warna terang dan panas seperti biru, merah jambu, hijau dan kuning untuk acara siang manakala rona gelap seperti coklat, hitam dan perang untuk majlis makan malam.

Ini berbeza bagi wanita berkulit gelap kerana mereka perlu mempelbagaikan warna serta bijak membuat kombinasi sama ada pada pembayang mata atau gincu.

“Wanita berkulit gelap atau sawo matang tidak digalakkan memakai warna terang seperti merah, jingga, kuning, hijau atau biru kerana ini akan mencacatkan penampilan. Sebaiknya bijak mengadun warna supaya kekal seimbang pada kulit sekali gus menyerlahkan penampilan yang segar dan memikat,” katanya.

Untuk penampilan yang seimbang pemilihan warna bedak asas sangat penting.
Wanita digalakkan memilih warna yang paling hampir dengan rona kulit. Caranya dengan mencuba bedak asas pada bahagian rahang dan bukannya di belakang atau pergelangan tangan.

“Apa yang boleh dilakukan ialah sebaiknya berdiri dan cuba warna berhampiran cahaya matahari kerana ia adalah cahaya yang betul berbanding lampu. Jika kulit anda berminyak, pilih bedak asas jenis bebas minyak atau kawalan minyak.

“Jika kulit kering, pilih perkataan pada label yang mempunyai ciri melembapkan,” jelasnya yang menasihatkan pengguna supaya menggunakan bedak asas FCC kerana kurang berminyak dan berbau wangi.

Panduan memilih alat solek ikut warna kulit:

1. Cerah

Memiliki kulit cerah memberikan lebih pilihan warna buat anda. Pemilihan warna terang dan panas memberikan mood moden dan ceria. Pemilihan warna pastel menyerlahkan sifat kelembutan dan membuatkan anda nampak lebih manis dan segar.
Pemilihan warna sejuk seperti warna gelap memberikan gaya elegan dan sesuai digayakan pada waktu malam.

2. Kuning langsat

Pemilihan warna seperti hijau tua, ungu, biru dan merah jambu menonjolkan kesan menarik pada siang hari. Warna emas atau tembaga menampakkan wajah lebih eksotik. Elak menggunakan warna pastel seperti kuning dan warna terang.

3. Sawo matang atau gelap

Warna mengandungi pengilat untuk kesan berkilau sesuai bagi anda yang memiliki kulit sawo matang. Ini menyerlahkan daya tarikan dan personaliti anda. Untuk majlis makan malam, apa kata anda elakkan menggunakan rona gelap dengan kesan berkilauan sebaliknya pilih jenis normal untuk lebih bergaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,357 views