Cuba Kelainan Dalam Fesyen

Melambangkan ciri-ciri Muslimah dan kesopanan menjadi keutamaan dalam rekaan pereka terkenal tanah air, Rico Rinaldi.

Rekaan terbaru sempena Aidiladha lalu itu khusus untuk semua wanita termasuk mereka yang berhijab bagi penampilan berbeza.

Menurut Rico, rekaan yang ternyata menampakkan ciri kesopanan si pemakai itu boleh digayakan di semua majlis.

“Koleksi terbaru untuk Muslimah ini direka khusus untuk anak muda dan remaja yang sukakan kelainan dalam bergaya dan tampil berani dalam setiap majlis.

“Rekaan sopan bercirikan moden ini turut menggabungkan ciri tradisional dan kebanyakannya inspirasi daripada baju kurung Kedah yang diberi suntikan moden,” katanya.

Selain menggayakannya untuk menghadiri sesuatu majlis, rekaan itu tetap sesuai untuk dipakai seharian termasuk untuk ke kuliah.

“Koleksi ini menggunakan fabrik sifon dan shantung serta banyak bermain dengan motif bercorak geometri disertai perincian manik berkualiti.

“Sebelum ini rekaan saya lebih banyak menggunakan kain kosong dan berbunga,” kata nya.

Menurutnya, setiap rekaan dijual pada harga antara RM200 sehingga RM1,200 yang boleh didapati secara dalam talian dan butik Rico di Pusat Hentian Kajang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,731 views