Damai Ketika Rawatan

Dalam masyarakat Melayu, amalan mandi bunga biasanya dikaitkan untuk membuang sial atau sesuai untuk mendapatkan jodoh. Namun, kini seiring dengan peredaran masa, mandi bunga mula mendapat perhatian dalam kalangan wanita sama ada yang sudah berumah tangga atau pasangan pengantin baru untuk kelihatan cantik, berseri dan menarik.

Bukan itu saja, ia bertujuan meredakan tekanan selepas seharian bekerja, menghilangkan bau badan serta menaikkan aura.

Menurut pemilik Spa Alammi, Maziana Yahya, untuk tujuan mandi bunga, Maziana menyediakan tujuh jenis bunga berlainan warna dan berbau harum kerana dari segi saintifik, warna dan bauan mempunyai tenaga yang akan bertindak balas dengan tenaga dalaman manusia.

“Mandi bunga membawa banyak faedah. Ini kerana bunga dikatakan pencerap tenaga matahari yang paling baik manakala mandi dengan air bercampur bunga membolehkan kita mendapat kebaikan sama ada dari segi aura dan tenaga yang diserap dan diproses oleh bunga,” ujarnya.

Sebab itu, mandi bunga dikatakan mampu menaikkan seri wajah, mengembalikan kesegaran tubuh serta membuatkan diri lebih tenang, gembira dan ceria kerana khasiat pada bunga ini menyerap ke dalam tubuh manusia.

Antara bunga yang biasa digunakan ialah mawar merah bertujuan menjadikan seseorang itu lebih berani dan berkeyakinan tinggi, mawar putih untuk kesegaran dan menyucikan badan, cempaka putih melembut dan mewangikan badan, cempaka kuning menyerikan wajah, melur putih dan kuning sebagai bahan cucian dalaman manakala kenanga menaikkan seri dan disenangi ramai orang.

“Biasanya semua jenis bunga ini saya rendam semalaman dan diembunkan terlebih dulu bagi menjadikannya lebih harum. Kemudian rendaman ini saya campurkan bersama air di dalam bekas mandian bersama campuran bunga segar yang lain. Bagi membuang kotoran dan membuka pori kulit, saya campurkan dengan limau purut untuk mendapatkan kesan lebih menyerlah,” katanya.

Menyedari keperluan pengantin yang semakin meningkat, dia akui kini mandi bunga diperbaharui mengikut cara moden di kebanyakan salun kecantikan. Ini kerana rata-rata wanita terikat dengan tugasan dan sibuk sepanjang hari di pejabat.

Jadi dengan mengunjungi spa dan mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, mereka berpeluang memanjakan diri dengan rawatan lain seperti mandi susu, lulur, urut, penyental badan dan sauna yang mempunyai keistimewaannya.

“Di Spa Alammi kami menyediakan perkhidmatan mandi bunga bukan saja khusus untuk bakal pengantin, tetapi kepada suri rumah, wanita bekerja yang ingin mengembalikan kesegaran serta meningkatkan keceriaan. Walaupun boleh melakukan sendiri di rumah, layanan diberikan di salun nyata berlainan dan pelanggan berpeluang merasai perbezaan bergantung kepada keperluan,” katanya yang memulakan operasi spa di Hotel Concorde, Shah Alam, sejak 2011 lalu.

Selepas mandi bunga, Maziana menggalakkan bakal pengantin melakukan mandi susu, sauna dan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah. Selain itu, kulit menjadi lebih lembut dan segar kerana pori lebih terbuka. Sebaiknya rawatan dilakukan tiga bulan sebelum melangsungkan perkahwinan dan seeloknya sekali setiap bulan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Menariknya Maziana menggunakan produk Tanamera dengan 100 peratus bahan semula jadi diperbuat daripada kelapa, daun pandan dan beras pulut yang terbukti mampu memulihkan keceriaan kulit.

Untuk wanita juga disediakan pakej selepas bersalin dengan rawatan berurut dan bertungku sebalik saja melahirkan anak atau selepas melepasi tempoh berpantang.

Spa yang dikongsi bersama E’zham Dhani turut menyediakan rawatan untuk bakal pengantin lelaki di dalam bilik berbeza. Ini disebabkan permintaan daripada pengunjung hotel yang ingin mendapatkan rawatan urutan badan.

“Ramai beranggapan cantik itu hanya menjurus untuk wanita, tetapi sebenarnya tidak. Apa yang disediakan di spa bukanlah untuk kecantikan semata-mata, tetapi lebih kepada kesihatan badan. Dengan mendapatkan urutan aromaterapi, ia dapat menenangkan badan dan fikiran terutama selepas seharian bekerja.

“Bagi bakal pengantin lelaki pula, spa ini menyediakan perkhidmatan bertungku menggunakan batu panas diletakkan daun mengkudu, kunyit dan limau purut. Tungku dituam pada seluruh badan bagi melancarkan peredaran badan,” kata E’zham yang menyediakan empat terapi untuk pelanggan lelaki dan tiga terapi untuk wanita.

E’zham yang sebelum ini membuka spa sendiri di rumah mengakui banyak menerima permintaan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan mandi bunga, sauna dan urutan badan. Oleh itu, dia mengambil keputusan membuka spa di Sooka Sentral pada 2008 khusus untuk lelaki dan wanita.

Dengan mengambil ahli terapi berpengalaman, pelanggan boleh memilih jenis urutan diinginkan sama ada cara tradisional, Bali atau aromaterapi.

“Selain perkhidmatan spa, saya juga berhasrat membuka akademi untuk mengajar kepelbagaian jenis urutan bagi melahirkan ahli terapi terlatih di seluruh negara. Tujuan utama adalah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan supaya membabitkan diri dalam bidang spa dan kecantikan kerana ia memberi peluang yang cerah terutama kepada lelaki disebabkan terapi dalam kalangan kaum Adam tidak ramai,” katanya yang akan mengetengahkan latihan cara Islam.

Spa yang dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 11 pagi hingga 8.30 malam itu menyediakan harga terendah daripada RM120 sehingga RM600 bergantung kepada pakej disediakan. Selain ahli terapi terlatih, susun atur serta persekitaran mendamaikan dengan dekorasi alam menjadikan setiap pelanggan berasa damai ketika melakukan rawatan.

Berkonsepkan tradisional dengan penggunaan kayu, buluh dan atap, ia memberikan ketenangan berganda kepada pelanggan. Begitu juga dengan muzik latar serta haruman daun serai wangi menambah kesegaran tatkala mendapatkan rawatan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi Hotel Concorde, Shah Alam yang terletak di aras tiga.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

663 views