Darah Lambat Beku

hidayatulakmal@hmetro.com.my

Meskipun didiagnosis hemofilia A sejak berusia dua tahun, Mohd Ilham Khamis, 25, tetap boleh meneruskan kehidupan seperti individu normal lain.

Aktiviti kegemarannya seperti memanjat gunung juga tidak pernah ditinggalkan malah mendapat sokongan padu daripada rakan seangkatan. Selain Ilham, tiga anak saudaranya juga menghidap hemofilia yang diwarisi daripada ibunya. Reda dengan takdir hidupnya, Ilham optimis untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya bersyukur meskipun menghidap hemofilia, keluarga dan rakan tidak pernah menyisih atau jauhkan diri. Pada saya itu sudah memadai.

“Ramai yang beranggapan jika sakit, pergerakan akan terbatas tetapi berlainan pula dengan saya yang menjalankan aktiviti bersama rakan seperti biasa tetapi tidak boleh berlebihan.

“Pada saya, hemofilia hanya menjejaskan 10 peratus kehidupan manakala 90 peratus lagi sempurna,” katanya ketika ditemui pada Movie Day Out, Pertubuhan Hemofilia Malaysia (HSM), di Golden Screen Cinema, pusat beli-belah Mid Valley, baru-baru ini.

Menurut Ilham, antara simptom awal yang berlaku kepada dirinya adalah seperti bengkak di kepala, benjol, mudah lebam pada badan dan sebagainya.

“Sehingga kini saya masih menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Dengan kecanggihan teknologi perubatan masa kini, saya boleh melakukan suntikan sendiri menggunakan ubat baharu bertujuan membantu darah membeku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Unit Hemofilia Pusat Darah Negara, Dr Mohd Radzli Zaharudin berkata, hemofilia bukan penyakit popular, namun perlu diberikan perhatian oleh masyarakat kerana kesan pendarahan yang berlaku terhadap penghidapnya boleh mencemaskan orang sekeliling mereka.

“Hemofilia adalah gangguan pendarahan sepanjang hayat yang menghalang darah daripada membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembekuan.

“Ini mengakibatkan pendarahan berpanjangan, justeru kecederaan kecil atau luka biasa boleh membawa kesan buruk serta membahayakan seseorang yang menghidap hemofilia, apatah lagi jika berlaku pendarahan dalaman,” katanya.

Jelasnya lagi, hemofilia boleh menyerang sesiapa saja berdasarkan faktor keturunan ibu bapa yang mungkin menghidap atau pembawa penyakit itu yang yang diwarisi daripada keluarga terdahulu.

“Ia banyak dikesan dihidapi oleh lelaki kerana mereka hanya mempunyai satu kromosom, iaitu kromosom X sedangkan wanita pula lebih dominan sebagai pembawa.

“Bagaimanapun, wanita tidak terkecuali daripada menghidap hemofilia. Jika ibu pembawa hemofilia dan bapa pula adalah penghidap hemofilia,” katanya.

Hemofilia

Sejenis gangguan pendarahan secara genetik yang mencegah darah daripada membeku.

Ia memerlukan pemindahan plasma darah berikutan tidak cukup faktor pembeku iaitu sejenis protein dalam darah yang mengawal pendarahan.

Hemofilia A berlaku disebabkan kekurangan faktor pembekuan VIII iaitu pesakit mempunyai sangat sedikit atau tiada langsung protein pembeku darah.

Ia dihidapi kira-kira 85 peratus pesakit.

Hemofilia B pula mempunyai sedikit atau tiada langsung protein pembeku darah yang dikenali sebagai Faktor IX.

Kadar kritikal hemofilia yang dihidapi individu bergantung pada jenis faktor pembeku yang tiada pada mereka.

Kedua-dua jenis hemofilia ini tidak dapat dibandingkan kerana memiliki ciri yang sangat sama pada aspek pola pewarisan genetik.

Tahap hemofilia

Tenat: Pendarahan yang kerap dengan sendiri. Berlebihan berdarah selepas luka atau kemalangan.

Sederhana: Pendarahan yang berlaku sekali sekala dengan sendirinya. Berlebihan berdarah selepas luka atau kemalangan.

Ringan: Berlebihan berdarah selepas pembedahan atau kemalangan. Jarang atau tidak pernah berdarah dengan sendirinya.

Amat ringan: Biasa kecuali selepas pembedahan yang besar atau kemalangan yang teruk.

Pengurusan

Berhati-hati apabila berurusan dengan benda tajam seperti pisau, gunting mahupun mesin elektronik.

Jika luka dan mengalami pendarahan, cuci bahagian luka dan cuba hentikan pendarahan dengan membalut bahagian berkenaan dengan kemas.

Jika berlaku pendarahan serius, segera dapatkan pertolongan cemas di klinik atau hospital berdekatan.

Jika individu aktif bersukan, pilih olahraga yang tidak mendatangkan mudarat hingga mudah tercedera.

Hari Hemofilia

Bertemakan ‘Treatment for all is the vision of all’, ia memperjuangkan rawatan menyeluruh seharusnya diterima oleh setiap pesakit kerana tidak semua pesakit menerima rawatan sempurna.

Dianggarkan 400,000 pesakit hemofilia di seluruh dunia.

Di Malaysia, seramai 3,000 pesakit hemofilia, namun 66 peratus daripada mereka tidak mendapat rawatan sempurna.

Gejala

Simptom hemofilia adalah pelbagai dan bergantung pada jenis dan lokasi pendarahan berlaku. Sesetengah bayi didiagnosis dengan hemofilia dalam tempoh enam bulan awal usia berikutan kekerapannya mengalami kecederaan yang membawa kepada pendarahan.

Apabila bayi hemofilia mula merangkak, ibu bapa akan mendapati ada kesan lebam di perut, punggung dan belakang bayi. Kadangkala lebam itu akan berulang di tempat sama dan kelihatan seperti kesan lebam seolah-olah anak itu didera.

Bayi juga bersikap memilih dan mudah meradang. Dia tidak mahu berusaha merangkak, berjalan atau mengambil minuman yang dihulurkan.

Simptom lain termasuk:

Pendarahan hidung berpanjangan

Pendarahan teruk jika tergigit lidah atau bibir

Pendarahan teruk selepas mencabut gigi

Pendarahan teruk selepas pembedahan

Darah dalam air kencing (dikenali sebagai hematuria).

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

155 views