Darah Pesakit Sumber Sel Stem

MELIHAT sendiri proses rawatan suntikan Platelet Rich Plasma (PRP) menggunakan darah pesakit, ia seakan memberi dimensi baru dalam bidang kecantikan. Penulis yang baru kali pertama menyaksikannya agak teruja kerana proses ini menggunakan darah pesakit yang diproses bagi mengasingkan plasma darah. Malah ia berbeza berbanding rawatan menggunakan laser atau botox.

Di negara maju seperti Jepun dan Eropah, PRP digunakan dalam bidang perubatan seperti pembedahan jantung, ortopedik, urologi dan kini semakin meluas dalam perubatan sukan seperti merawat ligamen serta tendon terkoyak.

Namun seiring perkembangan teknologi, sekitar 1987, rawatan ini mula digunakan dalam bidang perubatan estetik di negara maju, tidak terkecuali di negara kita.

Menerusi kajian yang pernah dilakukan di Eropah, England, Asia (termasuk Jepun) dan Afrika Selatan, ia menunjukkan PRP berfungsi memulihkan keremajaan kulit, mengurangkan parut serta menghilangkan pigmentasi, garis dan lekuk pada wajah serta ulser diabetes membabitkan penggunaan plasma yang kaya platelet.

Ini kerana platelet ialah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai estetik yang tinggi serta merangsang hormon tumbesaran. Hormon ini berfungsi merangsang penyembuhan, pembaharuan serta meningkatkan keupayaan sel sekali gus menambah keanjalan kulit.

Menurut pakar estetik dari Marissa Aesthetic Wellness, Dr Rushmini Maris Ismail, dalam bidang kecantikan, darah pesakit digunakan sebagai sumber mendapatkan sel stem. Ini kerana darah lebih mudah diproses berbanding sumber daripada lemak atau sum-sum tulang.

“Darah terbina daripada sel hidup. Terdapat empat sel utama yang membina darah iaitu sel darah merah, sel darah putih, platelet dan plasma darah. Setiap sel mempunyai fungsi tersendiri dan struktur yang amat penting untuk tubuh manusia.

“Sel darah merah berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh, manakala sel darah putih ialah sel hidup yang membantu melawan penyakit,” katanya.

Menerusi rawatan PRP, darah diambil sebanyak 10cc dari lengan pesakit. Kemudian ia diletakkan di dalam tabung uji khas sebelum dimasukkan di dalam mesin selama 10 hingga 15 minit untuk memisahkan serum dan sel darah merah. Setelah menjalani beberapa tahap pemprosesan, serum yang mengandungi sel stem, platelet dan hormon dihasilkan.

“Menerusi proses ini, plasma iaitu cairan bening pada bahagian atas mengandungi banyak sel penyembuhan. Apabila bahan ini dimasukkan kembali ke bahagian tertentu ia akan membina sel baru.

“Suntikan ke bahagian wajah akan mula menyembuh dan memudakan kulit muka secara semula jadi. Kulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang. Jika ia disuntik di kulit kepala, ia mampu membuatkan rambut lebih lebat dan sihat,” katanya.

Rawatan ini selamat dilakukan kerana hanya sel stem manusia saja boleh digunakan untuk merawat dan memudakan sel manusia. Sel stem buah-buahan, contohnya sel stem epal atau durian tidak boleh bertukar atau merawat sel manusia.

“Rawatan ini tidak menggunakan bahan lain kecuali sel stem dari badan kita sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah alahan atau kes sampingan yang lain. Sel stem ialah satu-satunya sel yang memiliki keupayaan untuk memperbaharui dirinya. Sel stem kulit mempunyai fungsi khusus untuk memperbaharui dan memperbaiki kulit. Tubuh merangsang sel kulit untuk menghasilkan protein, karbohidrat dan lipid bagi mengurangkan garis halus dan kedutan di samping mengembalikan dan mengekalkan keanjalan kulit. Pembahagian sel stem kulit juga penting untuk penghasilan sel kulit yang sihat,” ujarnya.

Satu lagi faktor penting adalah sel stem tidak boleh dibotolkan atau disimpan di bawah suhu biasa. Sel stem sama ada disimpan di makmal dengan persekitaran dan suhu tertentu atau diproses dan digunakan serta-merta oleh manusia.

Suntikan PRP memberi banyak manfaat kepada kulit wajah dan badan. Kesannya akan mula kelihatan selepas dua minggu melakukannya. Malah selepas sebulan, kulit akan lebih segar dan tampak lebih anjal berbanding sebelumnya. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas kerana pada peringkat ini, kulit mula mengalami kesan penuaan. Hormon yang berkurangan turut memburukkan keadaan menyebabkan seseorang tampak tua dan kaedah PRP mengembalikan semula keremajaan kulit seseorang.

Bagi mereka yang mempunyai parut terutama bekas jerawat pada muka, kaedah ini mampu mengurangkan kesan parut selepas tiga minggu. Selain itu, PRP boleh bertindak sebagai isian (filler) semula jadi yang berupaya mengisi ruang pada garis dan lekuk pada wajah.

“PRP akan diaktifkan dengan campuran kalsium sehingga berubah bentuk menjadi filler semula jadi. Filler bererti bahan atau matrik kulit yang mengisi wajah. Penuaan membuatkan garisan pada wajah menjadi ketara. Garis ini akan membuatkan wajah tampak murung. Garisan di antara kening misalnya menjadikan kita tampak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu,” katanya.

Bagi mereka yang mengalami masalah botak, PRP mampu mengatasi masalah keguguran rambut dengan merangsang pertumbuhan sel rambut sehingga tumbuh semula.

Bagi pesakit kencing manis pula, biasanya mereka mudah mendapat luka serta lambat sembuh. Ini kerana kurangnya faktor rangsangan sel endotelium. Oleh kerana pesakit kencing manis mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam tubuh, kuman juga mudah menyerang. Suntikan PRP pula mampu merangsang penyembuhan luka sekali gus membantu pesakit diabetes.

“Bagi pesakit yang mempunyai masalah ketara, mereka dinasihatkan menjalani rawatan sebanyak enam bulan atau setahun sekali. Hasilnya akan bertahan selama setahun sehingga dua tahun setelah suntikan dihentikan. Bagi mereka yang baru kali pertama melakukannya, mereka akan merasa sedikit sakit dan kurang selesa manakala kulit akan menjadi sedikit sembap disebabkan bekas suntikan serta proses reaksi yang mengambil masa sehari atau dua hari,” ujarnya yang menasihati pesakit supaya mendapatkan rawatan daripada pakar bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,129 views