Daya Imaginasi Tinggi

BERTEMAKAN Gerakan Dalam Kreativiti: Botswana pada Minggu Fesyen London, pelajar dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (Limkokwing) mencipta sejarah sebagai universiti pertama Malaysia dan Asia menjadi tuan rumah pameran fesyen pada minggu fesyen berkenaan, Februari lalu.

Acara yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Tinggi Botswana, United Kingdom dan dianjurkan bersama Fesyen British Council memaparkan himpunan menakjubkan daripada lima pereka paling menyerlah dan berbakat di Botswana, juga kali pertama menyertai pertunjukan Fesyen dan Pameran Antarabangsa pada Minggu Fesyen London.

Pameran buat julung kali ini diadakan di kampus Universiti Limkokwing, London, mendapat kerjasama daripada Majlis Fesyen British serta menjadi sebahagian daripada program fesyen dan budaya 2012.

Ini sekali gus meraikan acara tahunan Sukan Olimpik dan Paralimpik dalam menghormati nilai kecemerlangan, kesaksamaan dan persahabatan antara semua negara di dunia.

Mewakili Botswana adalah pereka Tlhagwane Thato, Botho Chalebgwa, Beryl Phala, Black Trash dan Motshwane Sela manakala selebihnya paparan koleksi pereka daripada pelajar Limkokwing Iran, Korea, Indonesia, India termasuk Malaysia.

Pereka Malaysia, Shakira Idorah Jangir mempersembahkan rekaan segar dan memikat menerusi padanan blaus hitam putih gaya masa hadapan dipadankan skirt pendek corak abstrak manakala rekaan kedua, ilusi jaket berbelang bersama skirt labuh.

Lai Shwu Chin pula tampil dengan gaun pendek beropol mengambil inspirasi rumpai laut daripada rona coklat dan biru memikat.

Bagi pereka Botswana, Botho Chalebgwa, rekaan gaun labuh menggunakan fabrik lembut dan abstrak mencuri tumpuan ramai.

Hadir dengan imej dedaun pada bahagian baju dan kain, ia memberi unsur segar dan lain daripada yang lain.

Beryl Phala pula tampil ringkas dengan dua padanan gaun seksi terdedah belakang daripada fabrik polos. Mengambil warna keemasan berpotongan labuh, ia menyerlahkan gaya si pemakai manakala gaun kemban berkedut nyata menampilkan rekaan berbeza daripada Phala.

Blaus menawan dipadankan skirt kembang daripada fabrik berbunga memberi ilham kepada pereka Black Trash yang menonjol menerusi potongan unik dan berseni.

Ternyata semua pereka mempunyai daya imaginasi tinggi dalam menghasilkan rekaan terutama dari segi potongan serta fabrik digunakan.

Hadir pada majlis berkenaan, Naib Presiden Bersekutu Universiti Limkokwing, Datuk Tiffanee Lim dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Botswana di London, HE Mabedi Mothlabani.

Selain acara pertunjukan fesyen pada Minggu Fesyen London ini, Limkokwing juga bakal mencipta sejarah apabila menganjurkan pertunjukan fesyen terbesar di Menara Berkembar Petronas, Sky Bridge dengan kerjasama agensi peragaan, J Model Management.

Gaya pengenalan pertunjukan fesyen musim bunga akan diadakan di jambatan tertinggi di dunia dengan ketinggian 558 kaki dengan landasan penghubung sejauh 190 kaki itu bakal mempamerkan 10 koleksi hebat pelbagai negara.

Ini termasuk England, Portugal, Belanda, Ireland, Sepanyol, Amerika Syarikat, Hong Kong, Georgia, India dan Malaysia pada pertunjukan fesyen yang akan diadakan pada 19 Mac ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,108 views