Dedah Rahsia Pastri Sedap

PERSONALITINYA yang ceria, peramah dan pandai berjenaka membuatkan chef pastri terkenal, Anna Olson, mampu menukar suasana sekeliling menjadi lebih bertenaga diiringi gelak tawa hadirin yang menyaksikan demonstrasi masakan yang dipersembahkannya.

Berpengalaman selama lebih 15 tahun dalam bidang kulinari, Anna sering berkongsi bakat serta pengalamannya dalam bidang pastri menerusi buku masakan serta rancangan masakan terkenal, Bake with Anna Olson, Sugar dan Fresh with Anna Olson, yang boleh disaksikan menerusi Asian Food Channel (AFC).

Bertemu dengannya ketika demonstrasi memasak di Kolej Universiti Hospitaliti Berjaya baru-baru ini, Anna sempat berkongsi pengalamannya sepanjang lebih 12 tahun aktif dalam program masakan.

Menurutnya, apa yang dilihat penonton menerusi rancangan masakan dikendalikannya, tidak sama seperti yang sebenarnya berlaku di studio rakaman.

“Di studio, begitu banyak kerja memasak yang dilakukan sehingga kadangkala dalam satu episod saja, saya memasak sehingga 16 hidangan yang sama kerana rakaman membabitkan pelbagai sudut gambar yang perlu diambil.

“Walaupun nampak leceh, ia mudah dilakukan kerana saya sudah bekerja selama 12 tahun dengan pasukan kru yang sama sehinggakan saya tidak perlu cakap apa-apa, mereka sudah tahu apa bahan dan barangan memasak yang perlu disediakan,” katanya.

Katanya, penonton juga sering bertanya apa yang terjadi pada hidangan berlebihan, tetapi selalunya sebaik tamat penggambaran, kru ialah orang pertama akan merasainya dan membawa pulang ke rumah kerana sepanjang hari mereka sudah melihat masakan disediakan itu.

Makanan berlebihan juga didermakan kepada yayasan untuk golongan memerlukan.

“Pada masa sama, percayalah saya juga mempunyai jiran yang gembira. Jadi jangan risau, tiada makanan yang dibuang,” katanya.

Anna berkata, setiap kali program dirakam, dia melakukan proses memasak sebanyak dua kali kerana menurutnya, agak sukar untuk memasak sambil bercakap dan memandang kamera yang boleh menyebabkannya kadangkala hilang fokus dan terlupa proses seterusnya.

Justeru, bagi melancarkan proses rakaman, program dirakam sebanyak dua kali setiap kali memasak iaitu rakaman pertama menunjukkannya bercakap sepanjang proses memasak manakala ketika rakaman kedua, dia lebih memberi fokus memasak tanpa banyak bercakap.

“Apabila kamera perlu mengambil gambar jarak dekat, saya perlu melakukan pergerakan secara perlahan-lahan supaya gambar yang hendak diambil tidak terkeluar dari sudut kamera. Saya gembira bekerja bersama kru program kerana sudah lama bekerjasama,” katanya.

Menurutnya, program masakan diadakan hampir setiap hari dan berikutan terlalu sibuk, hanya ada satu hari dalam seminggu digunakan sepenuhnya bagi membuat rakaman proses memasak secara dekat dan terperinci.

Pada hari terbabit, seluruh studio menjadi gelap-gelita dan hanya ada satu lampu suluh yang terang ditujukan kepada makanan dimasukkan dalam ketuhar.

“Kamera yang diletakkan secara berdiri tanpa dipegang jurugambar kemudiannya akan membuat rakaman setiap lima saat mengenai apa yang berlaku dalam ketuhar.
Itulah yang disaksikan penonton apabila rancangan menunjukkan proses masakan dari awal hingga ia sedia dimakan.

“Kami sangat sukakan proses rakaman itu hinggakan kali pertama merakamnya, kami asyik datang untuk melihat apa yang berlaku. Malah apabila tamat rakaman, bayangan kami pada cermin ketuhar membuatkan seolah-olah ada hantu datang dan pergi kerana terlalu teruja melihat proses itu, menyebabkan rakaman terpaksa dilakukan semula,” katanya.

Anna akui, biarpun siaran program mempunyai masa yang terhad dan kadangkala tidak cukup masa untuk menunjukkan semuanya, dia tidak akan sekali-kali menipu atau melangkau proses memasak.

Memasak pastri juga sebenarnya mengambil masa yang lebih panjang daripada apa disaksikan penonton terutama dalam penyediaan adunan pastri itu sendiri.

Namun katanya, urusan memasak boleh dipermudahkan terutama jika mengadakan majlis besar kerana pastri boleh dibuat terlebih dulu dan dibekukan sebelum dimasak pada hari yang hendak dimakan. Ini sekali gus boleh menjimatkan masa dan memudahkan diri untuk melayan tetamu.

“Antara rahsia saya untuk menghasilkan pastri yang sedap adalah menggantikan air dengan jus oren tapi disebabkan saya sudah beritahu banyak kali kepada semua orang, ia bukan lagi satu rahsia,” katanya tertawa.

Menurut Anna, di negara asalnya Kanada, gaya memasak mengikut musim dan mereka banyak menggunakan cuka sebagai bahan masakan dan perasa bagi musim sejuk bermula September hingga Februari tetapi selepas itu, mereka memfokus kepada bahan lain pula.

Jika musim sejuk, mereka banyak memasak hidangan daging dan menggunakan cuka, tetapi apabila musim panas, masakan menggunakan bahan segar yang ditanam sepanjang musim itu lebih diutamakan.

“Ada dua alat di dapur yang amat saya gemari, ia tidak mahal tetapi banyak membantu iaitu bench scraper dan bowl scraper. Ia amat digemari chef terutama yang terbabit dalam pastri kerana ia boleh digunakan untuk mengemas tempat mengadun bahan tetapi ia juga boleh meratakan ising kek, membancuh secara rata adunan dan pelbagai lagi kegunaan,” katanya.

Sebelum menyedari bakat dalam bidang masakan, Anna pernah melanjutkan pelajaran dalam lapangan berbeza dan berjaya menggenggam ijazah dalam jurusan pengajian politik dan sosiologi dari Universiti Kingston, Queens, Ontario, Kanada.

Anna juga pernah bekerja dalam bidang perbankan sebelum menyedari ia bukan impiannya dalam hidup. Dia kemudian mengambil keputusan memasuki program kulinari di Universiti Johnson Wales di Denver.

Sejurus tamat pengajian, Anna mengembara mengelilingi Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan untuk terus menetap di Niagara, Kanada.

Dia memulakan karier sebagai chef pastri di sebuah restoran di ladang utama
di Niagara dikenali dengan nama Inn on the Twenty, yang juga menjadi tempat pertemuan dengan suaminya, Michael Olson.

Sepanjang kariernya, Anna sudah menghasilkan beberapa buku masakan yang menjadi rujukan ramai orang dan sehingga kini sudah ada enam buku masakan dengan yang terbaru bertajuk, Fresh with Anna Olson.

Pada 2004, Anna membuka perniagaan Olson Food Bakery yang terletak di Port Dalhousie, kawasan tasik bersejarah di St Catharines, Ontario. Ia menjual pastri, roti, daging deli, keju, sup, salad dan sandwic yang dibuat segar.

Lima tahun selepas itu, dia menjual perniagaannya kepada kawan baiknya,
Chef Andrea Poirier dan adiknya, Leesa Leshkewich.

Ketika ini, Anna menetap di Welland, Ontario dan gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan termasuk membeli-belah bersama ibunya, Donna dan anak tirinya, Mika.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

643 views