Derita Isteri Muda

Ketika melarikan diri, Maimuna masih dalam kesakitan akibat keganasan suaminya. Walaupun perkahwinannya singkat iaitu tidak sampai setahun, ia penuh penderitaan.

Muka Maimuna bengkak teruk sehingga doktor yang melihat keadaannya bimbang jika pukulan suaminya itu menyebabkan rahangnya teralih. Belakang badan dan lengannya berbirat kesan sebatan ayahnya yang marah kerana dia balik ke rumah untuk mendapatkan perlindungan keluarga.

Ayahnya seolah-olah tidak berasa belas melihat anaknya yang kelaparan dan memakai baju kain guni lusuh.

Keganasan rumah tangga dan perceraian sesuatu yang pahit bagi mana-mana wanita, tidak kira berapa pun usia mereka. Semua ini dirasai Maimuna ketika berusia 14 tahun.

“Saya terlalu takut untuk balik ke rumah. Saya tahu keluarga akan memaksa saya balik ke pangkuan suami,” bisiknya sambil mengerutkan kening dan menggenggam tangan yang menunjukkan kegelisahannya.

Sebenarnya Maimuna antara ribuan remaja perempuan di Nigeria yang menjadi janda pada usia muda. Ramai kanak-kanak di Nigeria yang dipaksa berkahwin yang kemudiannya cuba melarikan diri atau dihalau suami sendiri.

Masyarakat Nigeria masih percaya lebih baik jika anak dara dikahwinkan awal daripada memberikan pendidikan kepada mereka. Perkara ini menarik perhatian dunia terutama selepas Boko Haram yang melarikan lebih 200 pelajar perempuan dua bulan lalu dan mengancam untuk mengahwinkan mereka. Sehingga kini sebahagian besar mangsa masih belum ditemui.

Bekas suaminya, Mahammadu Saidu menyalahkan Maimuna yang didakwa tidak patuh pada suami, semuanya disebabkan dia pernah bersekolah selama beberapa tahun. Lelaki berusia 28 tahun yang bangga menayangkan but paras buku lali itu tidak segan mengakui memukul isterinya.

“Dia terima terlalu banyak ABCD,” katanya.

Ramai menjanda

Nigeria sebuah negara muda dengan 170 juta penduduk, mempu-nyai kadar perkahwinan kanak-kanak paling tinggi di dunia walaupun ada undang-undang mengatakan had umur untuk membolehkan seseorang remaja berkahwin ialah 18 tahun.

Bagaimanapun, budaya perkahwinan kanak-kanak masih kukuh. Bahkan seorang senator pertengahan umur turut mengahwini lima remaja dan menceraikan sekurang-kurangnya seorang daripada isterinya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seorang daripada lima kanak-kanak perempuan Nigeria berkahwin sebelum mencecah usia 15 tahun. Di utara Nigeria yang dilanda kemiskinan teruk, jumlah perkahwinan bawah umur lebih tinggi yang membabitkan 50 peratus kanak-kanak.

Di sinilah Boko Haram cuba mengamalkan fahaman yang ekstrem dan secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada kanak-kanak perempuan. Sekarang kanak-kanak semuda lima tahun memakai hijab bagi menyorokkan wajah dan bahu mereka, satu keadaan yang jarang dilihat beberapa tahun lalu. Apa yang menyedihkan, ada kanak-kanak sudah memegang status isteri pada usia sembilan tahun.

Walaupun ia menjadi budaya di Nigeria, tiada data rasmi jumlah remaja ini yang menjadi janda, biasanya hidup melarat dan disisihkan keluarga. Namun kehadiran mereka boleh dikesan dengan mudah.

Beberapa kilometer dari tempat tinggal Maimuna, remaja seusianya malah ada yang lebih muda menjual diri kepada pemandu trak untuk menyara hidup.

Maimuna bagaimanapun terselamat daripada gejala tidak sihat itu apabila mengetahui kewujudan sekolah khas untuk remaja bercerai yang dikendalikan Saadatu Aliyu.

Di Tattalli Free School yang beroperasi dengan sumbangan badan swasta, 24 remaja perempuan berkumpul di laman sekolah untuk belajar menjahit. Ketika ibu sibuk belajar, beberapa bayi merang-kak sambil bermain.

“Tiada siapa tahu berapa ribu lagi remaja perempuan yang menjadi mangsa perkahwinan bawah umur. Inilah sebabnya negara ini mempunyai ramai pelacur dan di bahagian utara, pelacur terdiri daripada remaja belasan tahun,” kata Saadatu.

Sejak kecil dipanggil isteri

Berbalik kepada kisah Maimuna, dia dilahirkan di pinggir bandar Kaduna di kawasan kejiranan kelas pertengahan. Bapanya, Haruna Abdullahi bekerja sebagai petani. Pada usia 45 tahun, Haruna sudah berkahwin selama 30 tahun dan mempunyai lapan anak.

“Mengikut budaya, kami perlu mengahwinkan anak perempuan secepat mungkin. Apabila mencecah umur 12 tahun, seseorang perempuan itu sudah layak untuk berkahwin dan tinggal di rumah suaminya,” katanya.

Ibu Maimuna, Rabi Abdullahi yang duduk di sebelah Haruna mengangguk. Dia meminta izin suaminya sebelum bercakap dengan wartawan.

Katanya, dia juga berkahwin ketika masih kanak-kanak tetapi tidak ingat umurnya ketika dia dinikahkan.

“Ini sudah jadi cara hidup kami. Dulu tiada pengantin perempuan atau kanak-kanak yang berani melarikan diri,” katanya.

Ceritanya lagi, hidupnya memang susah tetapi dia bahagia dengan perkahwinannya. Rabi menegaskan, Haruna bukanlah lelaki yang kejam sambil jarinya menuding ke arah telaga yang digali sendiri oleh suaminya supaya dia tidak perlu berjalan sejauh dua kilometer untuk mendapatkan air.

Kemiskinan dilihat antara faktor yang mengukuhkan budaya mengahwinkan anak pada usia remaja. Di sini segala-galanya serba daif. Tiada kemudahan air paip, tenaga elektrik dan tandas dalam rumah. Malah kanak-kanak di sini hanya bersekolah selama tiga atau empat tahun saja. Jika anak perempuan dikahwinkan, keluarga akan menerima wang hantaran dan kurang satu mulut untuk ditanggung.

Jadi pada penghujung 2012, Haruna menguruskan perkahwinan Maimuna dengan anak sulung teman baiknya. Menantunya itu, Muhammadu Saidu memberi 35,000 naira atau RM672 sebagai hantaran untuk Maimuna, satu jumlah yang tidak pernah dimiliki Haruna sepanjang hidupnya. Ketika itu Maimuna baru berumur 13 tahun dan Muhammadu pula 26 tahun.

Muhammadu mengusahakan ladang sendiri dan memiliki motosikal yang menjadikan dia antara lelaki kaya dan paling diminati di situ. Dia memberitahu sudah kenal Maimuna sejak kecil dan bertahun-tahun menanti untuk mengahwininya.

“Ketika dia kecil, saya selalu belikan dia gula-gula dan memanggilnya isteri. Kami memang ditakdirkan untuk hidup bersama,” katanya.

Muhammadu berhenti sekolah selepas tamat gred lima iaitu gred tertinggi yang ada di kampungnya. Tetapi kini dia menyesal tidak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang terletak di kampung sebelah tetapi terlalu jauh untuk sampai jika berjalan kaki. Walaupun pernah bersekolah, dia buta huruf dan terpaksa mendapatkan bantuan untuk membacakan surat termasuklah surat peribadi.

Dia mengakui pernah berjanji membenarkan Maimuna terus bersekolah walaupun dia terpaksa mencari kerja di pekan. Namun jauh di sudut hatinya, terselit rasa bimbang.

“Kalau dia berpelajaran, dia akan memandang rendah pada saya sebab saya tidak bersekolah. Nanti dia yang jadi suami (mencari rezeki),” katanya.

Namun menurut Maimuna, dia tidak pernah cintakan Muhammadu dan merayu bapanya supaya membenarkannya terus bersekolah. Dia anak yang patuh, kuat bekerja dan popular dalam kalangan kawan-kawannya. Jadi penolakannya untuk dikahwinkan mengejutkan ibu bapanya.

Bagaimanapun, rayuannya tidak diendahkan. Bapanya menegaskan tindakannya itu ‘baik untuk keluarga dan masyarakat’.

Kemiskinan mengukuhkan budaya

Kaitan antara perkahwinan kanak-kanak dan pendidikan memang amat jelas. Berdasarkan laporan PBB, hanya dua peratus kanak-kanak perempuan yang berkahwin awal di Nigeria pergi ke sekolah berbanding 69 peratus yang tidak berkahwin. Kira-kira 73 peratus remaja yang berkahwin langsung tidak pernah bersekolah dan tiga daripada empat pula buta huruf.

Ramai rakan Maimuna di sekolah sudah berkahwin, ada yang tidak bahagia tetapi tidak tahu bagaimana hendak keluar daripada ikatan perkahwinan itu. Malah bagi Maimuna sendiri, dia tidak bersedia untuk berkahwin. Tiada siapa yang memberi nasihat atau berkongsi maklumat mengenai perkahwinan walaupun ibu dan rakan yang sudah berumah tangga.

Akhirnya Maimuna menjalani hidup seperti hamba. Jika tidak ke ladang, dia membersihkan rumah, meng-angkut air, mencari kayu api, memasak dan memenuhi semua keperluan ibu bapa mentuanya. Suami bukan saja tidak membantu, malah menuntut Maimuna melayan semua kehendaknya.

Dia juga tidak dibenarkan bersekolah. Apabila dia melawan, suami mengurungnya di dalam rumah kecil mereka selama beberapa hari. Bahkan dia juga tidak dibenarkan melawat ibu bapanya.

Sembilan bulan lalu Maimuna nekad melarikan diri dan balik ke rumah. Malangnya apabila sampai ke rumah, ayahnya pula memukul dan memaksanya untuk balik ke pangkuan suami.

Muhammadu yang berasa malu menampar Maimuna berulang lagi dan menggoncang kepalanya dengan kuat. Sekali lagi Maimuna terpaksa melarikan diri untuk berlindung di rumah ibu saudaranya dan kemudian menumpang di rumah sepupunya di Kaduna, tidak jauh dari Tattalli Free School.

“Hari pertama Maimuna datang ke sekolah ini, keadaannya sungguh teruk. Kami bawa dia ke hospital dan doktor beritahu dia mengalami masalah kekurangan zat yang teruk,” kata gurunya, Victoria Dung.

Walaupun melalui perjalanan hidup yang menyedihkan, Maimuna masih menganggap dirinya bertuah kerana sekarang dia dapat belajar menjahit dan menghasilkan pakaian untuk dijual di pasar. Malah dia juga berminat dalam bidang rawatan dan mahu menguasai bahasa Inggeris dan Arab.

“Saya masih belum tetapkan cita-cita saya. Apa yang pasti, saya mahu ada pelajaran supaya boleh berdikari kalau ditakdirkan saya berkahwin lagi. Saya berdoa semoga apa yang saya lakukan ini akan membantu adik-adik dan ibu bapa saya sedar kesilapan mereka,” katanya.

Dalam satu kes lain, seorang remaja 14 tahun yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia 39 tahun nekad meletakkan racun dalam makanan seminggu selepas bernikah yang meragut empat nyawa termasuk tiga rakan suaminya.

Sememangnya kejadian ini membuka sedikit mata ayah Maimuna. Dia mengakui gembira Maimuna berada di tempat yang lebih baik dan dapat belajar banyak perkara baru.

Cuma hatinya sedikit terkilan kerana tindakan Maimuna itu menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menanggung hutang baru. Ini kerana bekas suami Maimuna menuntut supaya wang hantarannya dipulangkan semula tetapi wang berkenaan sudah digunakan untuk membeli tanah.

Sementara itu, bekas suami Maimuna, Muhammadu berkata, dia mahukan wang hantarannya semula supaya boleh berkahwin dengan gadis lain. Kali ini dia mahu mencari isteri yang lebih muda iaitu berusia 12 tahun yang dianggap lebih patuh dan mendengar kata berbanding gadis lebih berusia! – AP

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,943 views