Destinasi Si Kacak, Jelita
MELANGKAH masuk ke butik Tangs yang baru dibuka di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor ini, pengunjung pasti teruja dengan ratusan pilihan gaya pakaian lelaki dan wanita, aksesori, minyak wangi serta kasut terkini.
Lembut, ceria, elegan, menarik, cantik dan bergaya. Itulah antara perkataan yang boleh menggambarkan suasana dan kepelbagaian produk di butik itu. Pendek kata, semuanya indah belaka.
Keindahan fabrik pelbagai warna daripada setiap jenis pakaian yang ditampilkan ditambah pula dengan dekorasi yang menghiasi butik menjadikannya satu destinasi sesuai untuk si kacak dan jelita memilih barangan kesukaan mereka dalam keadaan selesa.
Pembantu kedai juga tidak kekok untuk membantu pengunjung yang memerlukan bantuan atau pemahaman mengenai sesuatu produk.
Menariknya mengenai butik Tangs di 1 Utama ini, ia menggunakan konsep gabungan vintaj dan kontemporari yang menampilkan aliran fesyen global terkini dari luar negara serta barangan jenama sendiri.
Menurut Ketua Eksekutif Tangs Department Store Sdn Bhd, James Loke Chee Kwang, kebanyakan barangan di gedung Tangs 1 Utama adalah eksklusif untuk gedung berkenaan.
“Barangan Tangs 1 Utama diperoleh dari seluruh dunia mengikut aliran antarabangsa untuk memenuhi keperluan pelanggan yang turut menikmati pengalaman pembelian unik dan berkualiti menggunakan penanda aras ditetapkan Tangs
Singapura yang berpengalaman kira-kira 80 tahun dalam bidang peruncitan.
“Selain itu, kami juga mempunyai 65,000 ahli kad kesetiaan yang menikmati rebat lima peratus bagi setiap barangan serta berpeluang merasai pelbagai perkhidmatan sampingan termasuk rundingan fesyen secara percuma,” katanya sambil menambah, pembukaan gedung dua tingkat berkeluasan 3,809 meter persegi itu membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM8 juta.
Selepas cawangannya di Empire Subang menunjukkan sambutan memberangsangkan, Tangs 1 Utama ini diolah dengan gaya yang lebih unik yang mana semua barangan berkaitan fesyen dan gaya hidup boleh didapati di bawah satu bumbung.
Menariknya, butik ini juga menyediakan perkhidmatan spa untuk wanita yang ingin memanjakan diri dengan pelbagai rawatan estetik. Pelbagai pilihan haruman dan wangian daripada pereka antarabangsa juga ada di Tangs selain memuatkan barangan kelengkapan rumah dan tempat tidur yang selesa lagi bergaya.
Playlab yang juga dikenali sebagai sudut fesyen untuk individu kreatif dan cool turut disediakan. Tingkat bawah memuatkan sudut jam tangan daripada pelbagai jenama terkenal antarabangsa selain ruangan kasut dan beg kembara pelbagai warna serta fungsi.
Antara jenama lain yang terdapat di situ adalah Superdry, Daniel Hatcher, Island Shop, French Connection, Roxy, Quiksilver, Pandora, Decleor, Playboy, Pierre Cardin, Wacoal dan Blush.
Bagi jenama pakaian Island Shop yang popular dengan rekaan santai, longgar serta selesa, ia memilih untuk menterjemah identiti Asia, Eropah dan Afrika bagi rekaan terbarunya.
Elemen seperti eksotik diterapkan pada rekaan yang menyaksikan penyatuan identiti tamadun dunia melalui kepelbagaian fabrik seperti sutera, satin, kapas dan perhiasan.
Warna semula jadi bumi pula diganding bersama rona biru, putih, kuning dan merah menampakkan lagi kesegaran pilihan rekaan. Sesuai dengan cuaca Asia, Island Shop mengetengahkan penggunaan material yang lebih selesa.
Quiksilver pula memastikan setiap perincian serta koleksi pakaian praktikal mereka dan digemari semua. Ditambah dengan cuaca panas dan hujan di negara ini, tiada alasan untuk meminggirkan material yang digunakan pada kemeja-T dan seluar bermuda jenama itu.
Tambah Loke, andai pengunjung masih tercari-cari gaya sesuai, usah risau memandangkan jurujual sedia memberi khidmat penataan gaya bersesuaian.
Butik Tangs ini boleh dikunjungi di Lot F305 dan S305, Highstreet 1 Utama.
Layari www.tangs.com.my untuk maklumat lanjut.