Dikurung ‘rahmat’ Untuk Kebebasan
Pengalaman pahit dirantai selama lebih dua minggu dan dikurung dalam kotak sebesar keranda di bilik bawah rumah di pinggir New York ketika berusia 10 tahun disifatkan sebagai ‘perkara paling baik yang berlaku dalam hidupnya’ kerana ia menjadi kunci untuk Katie Beers, 30, lari daripada penganiayaan.
Kini selepas 20 tahun, Katie bersama wartawan televisyen yang membuat liputan kisah penculikannya itu menulis buku bertajuk ‘Buried Memories: Katie Beer’s Story’. Cuma buku rakaman sejarah peribadi itu mempunyai pengakhiran yang menyenangkan hati pembaca.
Katie kini berusia 30 tahun, sudah berkahwin, dikurniakan dua cahaya mata, mempunyai ijazah pengurusan perniagaan dan bekerja di sebuah syarikat insurans di kawasan pedalaman Pennsylvania.
Kisah penculikannya pada awal 1993 mendapat perhatian ramai apabila kehidupan sebenarnya mula terdedah. Ketika polis masih mengesan kedudukannya, penderitaan yang dialami Katie terbongkar satu demi satu. Hidupnya ketika kecil penuh derita, diabaikan ibu sendiri dan berulang kali diperkosa suami ibu pembaptisannya sejak dia berjalan jatuh lagi.
Dulu dia digelar budak berkutu, budak terbuang yang tidak mempunyai kawan dan selalu dipaksa mengheret pakaian keluarganya ke kedai dobi, membeli rokok atau makanan ringan untuk orang tuanya.
Penculiknya, John Esposito, seorang kenalan keluarganya mengaku jenayah yang dilakukannya pada 13 Januari 1993. Dia menunjukkan kepada pihak polis di mana Katie dikurung dan disembunyikan selama 17 hari iaitu di bilik bawah tanah di rumahnya di Bay Shore, New York.
Gadis malang itu kemudian diletakkan di bawah penjagaan ibu bapa angkat, dibesarkan dengan penuh kasih sayang di rumah barunya di East Hampton dan istimewanya, Katie tiba-tiba mempunyai empat orang adik-beradik yang mesra.
Ibu bapa angkatnya bukan saja mengenakan disiplin dalam hidup barunya, malah dia juga dihantar ke sekolah dan diminta melakukan kerja rumah yang ringan. Bahkan mereka juga melindungi Katie daripada menjadi perhatian media sehingga ibu bapa angkatnya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah supaya kehidupan si gadis malang itu tidak diganggu. Mujurlah pihak media mematuhi arahan mahkamah untuk membolehkan Katie membesar dengan aman.
“Sebagai masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak ini, jika tidak pernyataan sayang kita pada anak sendiri adalah palsu dan rasa belas ihsan kita antara satu sama lain hanyalah pura-pura,” kata James Catterson yang menjadi pendakwa raya Suffolk County ketika itu.
Sejak itu, tiada sebarang kisah mengenai kehidupan Katie didedahkan sehinggalah baru-baru ini lensa jurugambar sekali lagi tertumpu padanya apabila ibu muda itu melancarkan bukunya. Malah, dia juga muncul dalam program Dr Phil dan menjadi tajuk utama rencana majalah People.
Dalam satu temu bual, baru-baru ini, Katie berulang kali menegaskan penculikan itu satu rahmat baginya.
“Itulah perkara paling baik yang berlaku dalam hidup saya. Tanpa penculikan itu, saya tidak mungkin dapat keluar daripada kehidupan dulu yang penuh dengan penganiayaan,” katanya.
Di sekolah, Katie pelajar yang aktif. Di sekolah menengah East Hampton, dia menjadi pemain bola tampar, terbabit dalam pementasan drama dan akhirnya menyambung pelajaran ke sebuah kolej di Pennsylvania dan berjaya menggenggam segulung ijazah. Di situlah dia bertemu dengan lelaki baik hati yang menjadi suaminya.
“Tiada guna saya bersedih atau memikirkan kejadian silam itu. Saya tidak mahu fikir apa akan terjadi kalau saya tidak diculik. Saya cuba untuk tidak bersedih atas apa yang berlaku kerana kejadian itulah yang menjadikan saya seperti hari ini. Saya berpuas hati dan gembira dengan kehidupan saya,” katanya tenang.
Katie memberitahu, empat tahun lalu dia bersetuju menjadi penulis bersama menghasilkan buku berkenaan yang diilhamkan wartawan televisyen WCBS, Carolynn Gusoff, walaupun cadangan untuk menulis itu sudah bertahun-tahun ada dalam hatinya.
“Saya mahu membantu orang yang tidak tahu ke mana hendak dituju apabila menemui jalan buntu. Sebenarnya laluan ke arah hidup yang lebih baik sentiasa ada,” katanya.
Walaupun tiada dendam di hati, Katie enggan memberitahu di mana kampung dia membesar, nama keluarga selepas bersalin atau sebarang perkara membabitkan zaman persekolahannya kerana keluarganya mahu semua maklumat berkenaan dirahsiakan.
Dalam buku itu, Katie menulis dia dicabul dan dirogol Sal Inghilleri suami ibu pembaptisannya sejak dia baru belajar berjalan. Atas kesalahannya itu, Inghilleri dipenjarakan 12 tahun dan mati dalam penjara pada 2009 selepas ditangkap kerana melanggar peraturan ketika dalam parol (tempoh pembebasan dan disyaratkan berkelakuan baik).
Katie juga merakamkan bagaimana Esposito merogolnya ketika dia dikurung dalam bilik bawah tanah, sambil menerangkan bagaimana dia berusaha memadamkan kenangan pahitnya itu untuk menguatkan hati meneruskan kehidupan.
Esposito, yang mengaku bersalah kerana menculik bagaimanapun tidak disabitkan dengan jenayah rogol. Dia dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan beberapa kali permohonan bebas dengan parol ditolak. Permohonan untuk dia mendapatkan parol sekali lagi dijangka akan dibawa ke mahkamah hujung tahun ini. Dalam perbicaraan mendapatkan parol pada 2007, Esposito mengatakan dia adalah aseksual (tidak mempunyai organ jantina yang jelas) dan ketika mencium mangsa (Katie), dia tidak pernah cuba melakukan hubungan seks dengan mangsa.
Dalam satu suratnya kepada Carolynn yang turut dicetak dalam buku berkenaan, Esposito berkata, dia berhak untuk dibebaskan.
“Saya fikir Katie tahu saya sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Saya kesal dengan apa yang saya lakukan. Saya rasa menyesal setiap kali memikirkannya. Itu benar-benar satu kesilapan besar,” tulisnya.
Katie menulis, dia masih ingat keadaannya ketika dikurung dalam bilik bawah tanah itu. Dia tidak boleh tidur, takut jika Esposito masuk ke bilik itu dan menderanya. Dia takut Esposito mencabulnya ketika dia tidur. Bahkan dia juga bimbang sekiranya Esposito mengambil gambarnya ketika dia tidur dan menghantar gambar berkenaan kepada polis. Dia bimbang polis akan berhenti mencarinya jika mereka menganggap dia sudah mati.
Dia ‘menyambut’ ulang tahun kelahiran ke-10 ketika pita rakaman yang megandungi lagu ‘Selamat Hari Jadi’ nyanyian Katie sendiri ditemui di bilik berkenaan walaupun wanita ini mengatakan tidak ingat mengenainya.
Esposito memberinya makanan ringan dan air soda yang menyebabkan sampai hari ini Katie tidak lalu hendak menelan coklat kerana ia dianggap makanan ruji untuknya dalam kurungan. Ketika dalam kurungan, Katie ada akses televisyen kecil dalam bilik bawah tanah itu, tetapi sampai hari ini dia tidak boleh mendengar lagu I Will Always Love You dendangan Whitney Houston kerana ia ditayang berulang kali di MTV dan VH1.
Menurut Katie, pada awalnya dia tidak cam siapakah Carolynn walaupun kerap melihat wajah wanita itu di televisyen. Carolynn ialah wartawan stesen New12 di Long Island yang membuat laporan mengenai kehilangan Katie.
“Terasa seperti kami sudah 16 tahun kenal,” kata Katie pada pertemuan kali pertama dengan Carolynn pada 2008 untuk memulakan projek buku itu.
Kata Carolynn, kebencian yang terbuku di hati Katie selepas berulang kali didera seksual dan diabaikan keluarganya sebelum diculik mungkin menjadi senjata menguatkan semangatnya untuk bertahan.
Dominick Varrone, detektif Suffolk County yang mengetuai penyiasatan, bersetuju dengan kata-kata Carolynn. Dia memberitahu Carolynn dalam bukunya, “Kerana cara dia dibesarkan, pengalaman (penderitaan) seksual, penderaan, biasa dengan persekitaran dan daya tahannya, Katie berada pada satu kedudukan lebih ke hadapan berbanding kanak-kanak normal berusia sembilan tahun. Kami percaya perkara inilah yang menjadi sumber kekuatannya.”
Dalam buku itu, ibu Katie, Marilyn Beers digambarkan sebagai wanita yang kuat bekerja, tetapi selalu tiada di rumah dan melepaskan tanggungjawab membesarkan Katie dan abangnya kepada orang lain termasuk Inghilleri dan isterinya. Dia bagaimanapun tidak membalas pesanan telefon apabila diminta memberikan komen terhadap buku berkenaan.
“Saya harap buku ini bermanfaat dan ada banyak kebaikan dengan terbitnya buku ini. Saya mahu membantu kanak-kanak, orang dewasa atau menjadi penceramah motivasi. Namun pada masa sama, saya tetap sukakan pekerjaan sebagai ejen insurans di kampung saya di Pennsylvania. Saya gembira dan bersyukur dengan hidup saya sekarang,” katanya. – AP