Disuntik Insulin Sejak Kecil

Sejak usianya empat tahun dia sudah disahkan menghidap diabetes jenis 1. Sejak kecil jugalah dia mengenali suntikan insulin yang bukan saja menyakitkan malah sering membuatkan Camilla Rossil yang kini berusia 37 tahun berasa kecewa.

Mana tidaknya, ketika kawan lain seronok menikmati keenakan pelbagai hidangan, dia pula terpaksa lebih berhati-hati dalam soal pengambilan makanan. Dia paling benci apabila perlu menyuntik insulin pada perutnya.

Ibu bapanya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan Camilla apabila pada usia itu dia kencing merata-rata sedangkan sejak berumur dua tahun dia sudah pandai buang air di tandas tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

“Kehidupan sebagai pesakit diabetes kanak-kanak memang sukar. Selepas 10 tahun mendengar leteran doktor mengatakan kawalan paras gula saya tidak cukup bagus dan fungsi buah pinggang pula semakin merosot, akhirnya pada usia 14 tahun saya mula mengambil suntikan insulin. Saya belajar mengenali lebih mendalam mengenai diabetes dan komplikasi yang mungkin saya hadapi jika tidak mengawal pemakanan.

“Oleh kerana masih kecil, jadi doktor lekatkan pam insulin pada perut bagi memudahkan saya suntik insulin. Pernah sekali ketika berada di lapangan terbang untuk lawatan sekolah, saya beritahu pengawal keselamatan bahawa di perut saya ada pam insulin. Malangnya pengawal keselamatan itu salah dengar dan ingat saya bawa bom di badan. Perkara itu menyebabkan saya ditahan dan mencetuskan masalah besar,” katanya sambil tersenyum.

Sebagai pesakit muda, cabarannya memang banyak. Pernah sekali ketika bercuti di Prague, dia mabuk selepas minum bersama rakannya dan ketika itulah jarum suntikannya dicuri. Dia segera menahan teksi dan meminta dibawa ke hospital. Malangnya jarum suntikan yang ada di hospital itu amat berbeza dengan yang selalu digunakan.

Tengah malam itu juga Camilla menghubungi kakitangan perubatan di Pusat Diabetes Steno di Copenhagen, Denmark untuk mendapatkan bantuan dan bertanya bagaimana hendak menggunakan jarum suntikan berkenaan.

Pernah juga dia mabuk dan terlupa untuk menyuntik insulin yang menyebabkan Camilla terlantar sakit selama tiga hari. Melihat keadaannya yang tidak berubah, ibu bapanya segera membawa dia ke hospital. Doktor yang menyambutnya di hospital memberitahu Camilla mungkin akan menghembuskan nafas terakhirnya jika lewat diberikan rawatan.

Namun yang paling menyedihkan ialah apabila kakitangan perubatan di Pusat Diabetes Steno di bawah penyeliaan syarikat pengeluar insulin terbesar dunia, Novo Nordisk, memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan matanya. Memang matanya ada masalah dan dia perlukan pembedahan. Bagaimanapun selepas dibedah, dunianya menjadi gelap. Apa yang dia nampak hanyalah sejalur cahaya dalam kegelapan.

“Ketika itulah juga saya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya tidak mahu lepaskan peluang belajar walaupun sudah hilang penglihatan. Selama setahun saya buta, setiap hari ada saja pinggan atau gelas yang pecah.

“Ibu dan ayah memang sedih melihat keadaan saya tetapi mereka tidak melayan saya seperti pesakit. Malah kawan sekelas juga banyak memberikan dorongan kepada saya untuk jalani kehidupan sebaik mungkin,” kata Camilla yang kini sudah menjalani enam pembedahan mata.

“Saya tidak mahu mengalah pada penyakit. Saya katakan pada diri sendiri, saya perlukan kehidupan yang lebih baik. Saya perlu berubah. Kini saya menyertai banyak acara larian, berbasikal, jaga makan dan bersenam setiap hari.

“Walaupun 48 jam selepas bersenam saya perlu buat banyak pemeriksaan terutama paras gula, tetapi itu tidak jadi masalah. Yang penting saya mesti teruskan gaya hidup sihat. Sekarang ni kalau hujan pun saya tetap bersenam, saya tidak mahu sakit lagi,” katanya.

Selesai sesi bersama Camilla, Benny Schatz, 65, tampil bersama selembar kertas. Ketika bekas guru ini menunjukkan senarai ubat yang perlu diambilnya selepas disahkan menghidap diabetes, ramai terkejut. Mana tidaknya setiap hari dia perlu makan 28 jenis ubat berbeza!

Dengan kaki berbalut dan dibantu alat sokongan berjalan, Benny memulakan kisahnya. Dia berjumpa doktor pada 1987 apabila berasakan hidupnya terganggu kerana terlalu kerap bangun kencing pada waktu malam.

Apabila berita dia disahkan menghidap diabetes disampaikan kepada keluarga, ibunya menangis kerana bimbang Benny mengikut jejak ayahnya yang juga penghidap diabetes dan ‘mati seketika’ kerana serangan jantung. Bagaimanapun Tuhan memberikan ayahnya peluang hidup kali kedua selepas mendapat rawatan kejutan elektrik.

“Ketika itu saya gemuk dan doktor kata saya kena diet. Saya gembira bila doktor beritahu saya tidak perlu ambil suntikan insulin, cukup dengan ubat (pil). Namun selepas 10 tahun doktor menyarankan saya bertukar kepada insulin pula kerana dalam tempoh itu saya mengalami pelbagai komplikasi saraf, masalah kolesterol dan luka pula lambat sembuh.

“Walaupun saya guru sukan, saya mengaku jarang bersenam. Saya bermain bola sepak dan bola baling, namun bukan setiap hari,” sambungnya lagi.

Sehari selepas membawa pelajarnya berjalan-jalan meninjau bandar Copenhagen, kakinya bengkak. Apabila diperiksa, dia didapati menghidap penyakit Charcot (disebut Shar-koh) – satu penyakit yang tidak pernah didengar sebelum ini. Sememangnya ia adalah penyakit jarang berlaku yang merosakkan saraf tangan dan kaki.

Enam bulan Benny terpaksa menggunakan topang ketiak untuk berjalan. Enam bulan jugalah dia tidak bekerja. Selepas setahun setengah kembali ke sekolah, penyakit Charcot menyerang semula tetapi kali ini pada kaki sebelah lagi. Lebih malang dua tahun selepas itu penyakit berkenaan menyerang semula dan dia diberhentikan kerja walaupun sudah berkhidmat 30 tahun.

“Jiwa saya tertekan dan kosong apabila jadi penganggur. Kemudian saya ditawarkan kerja sebagai jurugambar kembara. Kerjaya ini menukar hidup saya. Saya berpeluang melihat negara orang dan perlu banyak berjalan untuk mengambil gambar. Ia secara tidak langsung menjadi satu senaman.

“Ketika itu berat badan saya turun enam hingga tujuh kilogram. Saya gembira dan mula ubah tabiat makan. Begitu juga dengan keluarga saya. Oleh kerana saya tidak boleh berjalan terlalu lama, saya beralih kepada berenang sebagai riadah. Bagaimanapun perubahan ini tidak lama dan kami sekeluarga kembali ke tabiat pemakanan dan gaya hidup lama.

“Februari lalu saya mendapat serangan jantung namun syukur, Tuhan masih beri peluang untuk saya hidup. Bohonglah kalau saya katakan tidak sedih terutama apabila doktor mengatakan fungsi buah pinggang saya merosot teruk, kini tinggal 12 peratus daripada kadar normal. Inilah sebabnya sekarang saya perlu ambil 28 jenis ubat setiap hari. Keadaan mungkin jauh berbeza jika dari awal saya ambil suntikan insulin kerana ia dapat mengawal paras gula dengan lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

325 views