Dulu Malu Kini Bangga

Selepas pulang dari sekolah dengan pakaian kemas dan rambut disikat rapi, Shairazi Hariz Muhamad Arif, 18, akan menolak kereta sorong yang dibuat daripada papan dari satu tingkat ke satu tingkat untuk mengambil sampah.

Ada sampah berukuran kecil, tidak kurang juga besar dan berat. Setiap sampah yang dikutip dari rumah ke rumah hanya dikenakan bayaran RM1. Walaupun jumlahnya kecil, pendapatan diperoleh setiap hari mencecah RM50 sehingga RM400 terutama pada musim perayaan.

Jika remaja seusia enggan melakukannya kerana beranggapan sampah busuk, kotor dan menjijikkan, namun berbeza dengan Shairazi yang mesra disapa Putra. Ini kerana dengan pendapatan diperoleh hasil mengutip sampah, dia tidak lagi mengharapkan bantuan ibu bapa terutama bagi memenuhi perbelanjaan harian malah turut menyediakan keperluan untuk adik-adiknya.

Menurut ibunya, Syamsuriah Arif Yaakub, 37, tinggal berhampiran dengan pusat beli-belah MidValley menyebabkan anak lelakinya sering ke sana pada setiap hujung minggu. Setiap kali ke sana, dia pasti meminta duit daripada ibunya sebagai belanja. Dengan berniaga minuman ais kisar tentunya pendapatan tidak seberapa dan mencukupi untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

Atas dasar ingin mengajar Putra yang ketika itu berusia 14 tahun, bagaimana susah mencari rezeki lantas Syamsuriah mencadangkan dia mengutip sampah dari rumah ke rumah memandangkan kebanyakan keluarga yang tinggal di Apartmen Abdullah Hukum terdiri daripada warga emas dan mereka yang sudah berusia.

“Saya lalu meminta suami membuatkan kereta sorong yang besar bagi memuatkan sampah yang dipungut. Ia diperbuat daripada papan dan beroda bagi menyenangkan Putra menolaknya. Selepas menyelesaikan kerja sekolah, selepas Asar tiga kali seminggu Putra menolak kereta sorong dari satu tingkat dan mengetuk dari rumah ke rumah untuk meminta sampah. Pada hari pertama, dia memperoleh pendapatan RM30 dan semakin meningkat setiap hari,” jelasnya.

Menurut Syamsuriah, pada mulanya Putra keberatan melakukannya mungkin kerana malu pada kawan-kawan tetapi selepas melihat hasilnya, lama-kelamaan dia sendiri membuat dengan rela. Malah Syamsuriah mengajar anaknya supaya memakai baju yang bersih dan kemas kerana ingin lari daripada anggapan orang ramai yang pemungut sampah itu kotor dan busuk.

Lama-kelamaan selepas dikenali, Putra turut diminta mengangkat barang terutama membabitkan ukuran yang besar serta berat ke tingkat atas. Dia juga membantu meringankan bebanan orang tua terutama yang tidak berkemampuan juga ibu hamil mengangkat barang ke rumah mereka.

“Di kawasan perumahan ini ramai yang sudah mengenali Putra sehinggakan dia terkenal dengan panggilan ‘budak sampah’. Ada orang bertanya sama ada saya malu dengan panggilan itu. Tidak sedikitpun wujud rasa malu sebaliknya saya berbangga kerana anak saya mahu melakukan kerja kotor sebegini yang saya anggap juga sebagai kerja amal.

“Secara tidak langsung, Putra belajar menghormati orang tua dan tahu melayan mereka dengan penuh rasa kasih sayang,” katanya yang mempunyai empat anak.

Perkhidmatan diberikan Putra turut mendapat perhatian daripada jabatan pengurusan apartmen apabila mereka memanggil Putra untuk bersama-sama mengutip sampah di setiap tingkat terutama plastik sampah yang diletakkan di tangga.

“Apartmen ini mempunyai 14 tingkat dan empat tangga jadi apa yang Putra lakukan adalah pergi ke setiap tangga dan melihat sama ada terdapat sampah atau tidak.

Dia akan menandakan tangga yang mempunyai sampah kemudian membawa troli untuk mengutip sampah yang ada di situ. Ini bagi mengelak dia kepenatan kerana perlu melalui setiap tangga. Untuk tugasan ini, dia menerima RM100 daripada jabatan pengurusan,” ujar Syamsuriah.

Paling menggembirakan anaknya adalah pada musim perayaan kerana pendapatan Putra akan turut meningkat lantaran banyak sampah yang perlu dikutip. Tambahan pula apabila syarikat mengutip sampah, Alam Flora bercuti jadi Putra ditugaskan untuk mengutip sampah yang ada di kawasan perumahan untuk diletakkan di satu tempat. Bayaran diterima sangat lumayan malah dia pernah menerima RM100 dan adakalanya sehingga mencecah RM400 sekiranya banyak sampah yang perlu dikutip daripada Alam Flora serta penduduk setempat.

Dia juga diminta mengangkat sofa, almari atau tilam lama untuk dibuang. Kebanyakan mereka akan menelefon Putra untuk mendapatkan bantuan.

“Memang rezeki Putra bertambah apabila tiba Aidilfitri. Oleh kerana kami berhari raya di sini, jadi Putra diminta untuk mengutip sampah daripada Alam Flora terutama sampah yang diletakkan bukan di tempat yang sepatutnya. Begitu juga sampah dari rumah ke rumah kerana ia akan berlipat kali ganda apabila tiba hari raya,” ujarnya.

Menurut Syamsuriah, selain mengajar Putra mencari wang dia juga ingin menerapkan nilai-nilai murni kepada anaknya supaya tidak berasa malu melakukan kerja yang boleh memberikan pendapatan sampingan, sama seperti dirinya yang turut melakukan kerja sambilan. Selain berniaga, Syamsuriah juga mengambil upah membasuh dan mengemas rumah juga memandikan orang tua.

“Untuk perkhidmatan memandikan orang tua, saya tidak mengenakan bayaran tetap terpulang kepada mereka. Apa yang saya lakukan adalah ingin membantu terutama orang tua yang tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri. Saya mendukung, mengangkat dan memandikan mereka pada setiap hari,” katanya yang setakat ini memandikan tiga orang tua pada setiap pagi.

Bagi Syamsuriah, banyak kerja yang boleh dilakukan apa yang penting sama ada seseorang itu mahu atau pun tidak. Kebanyakan anak-anak muda sekarang malu untuk bekerja terutama sekiranya membabitkan pekerjaan seperti mengutip sampah, surat khabar dan tin kosong tetapi itu semua rezeki yang dapat digunakan untuk membantu keluarga.

Perkhidmatan yang dilakukan Putra setiap Isnin, Rabu dan Jumaat itu kini sudah memasuki tahun keempat dan dia masih lagi melakukannya. Walaupun sudah menjadi ikutan berikutan ada beberapa kanak-kanak yang turut mengutip sampah seperti dirinya, Putra masih mendapat perhatian terutama bagi mereka yang ingin mengangkat barang ke atas.

“Dengan mengajar Putra mencari rezeki sendiri, kini dia menjadi lebih berdikari. Menerusi pendapatan diperoleh, dia langsung tidak pernah meminta wang daripada saya malah membantu membelikan keperluan untuk adik-adiknya pula,” katanya.

Menurut Putra, walaupun ada rasa malu apabila digelar ‘budak sampah’, lama-kelamaan melihat hasilnya timbul rasa bangga kerana dia dapat membantu keluarga selain meringankan bebanan warga emas yang tidak lagi mampu mengangkat sampah ke bawah.

“Mulanya memang ada rasa malu kerana kawan-kawan saya tidak melakukannya. Tetapi apabila difikirkan, untuk apa malu kerana saya mendapat duit yang halal dan wang ini dapat digunakan untuk belanja sekolah. Lagipun ia langsung tidak mengganggu pelajaran kerana dilakukan pada waktu petang malah saya gembira dapat membantu mereka yang tidak berkemampuan,” katanya.

Jelas anak sulung empat beradik ini, duit diterima itu disimpan, selebihnya digunakan untuk perbelanjaan harian. Malah dia turut memberikan duit belanja kepada tiga adiknya yang lain Shairazi Haziq, 17, Shairiza Khairunnisha, 15, dan Khairiza Qistina, 6.

“Saya gembira kerana dapat membantu meringankan bebanan ayah dan ibu. Selepas ini saya akan meneruskan perkhidmatan mengutip sampah sementara menunggu tawaran untuk menyambung pelajaran,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,517 views